Apabila ‘Covidflasi’ melanda dunia

Apabila ‘Covidflasi’ melanda dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang peniaga memandu kereta mewahnya dan menye­rahkan kepada bank kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan. Ia berlaku ketika krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Ketika itu Malaysia berhadapan krisis kewangan terburuk dalam sejarahnya. Nilai ringgit merudum sehingga RM4.88 kepada AS$1 berbanding purata RM2.42.

Pasaran saham Malaysia yang ketika itu ketiga besar di rantau ini selepas Jepun dan Hong Kong, menjunam daripada 1,077 mata kepada 262.7 mata. Sepanjang tempoh krisis itu, pasaran ekuiti negara hilang nilai pasaran AS$225 bilion. Ramai bilionair terutama elit Melayu hampir hilang segalanya. Kadar pinjaman tinggi meranapkan apa yang dibina. Kerana mengikut teori ekonomi dan nasihat bank antarabangsa apabila inflasi naik dan matawang susut, kadar faedah mesti dinaikkan sehingga hampir 16 peratus.

Kenaikan itu ‘membunuh’ kehidupan jutaan rakyat. Nasib baik ketika itu ada yang bijak bertindak menetapkan nilai ringgit dan menurunkan kadar faedah. Ia mengelak lebih ramai daripada jadi B40.

Untuk kali pertama sejak 1985, ekonomi mengecut kepada negatif 6.7 peratus. Inflasi pada Jun 1998 melonjak ke paras 6.2 peratus. 100,000 orang dikatakan hilang pekerjaan. ‘Parut’ pa­ling nyata krisis itu yang masih boleh dilihat hari ini adalah Plaza Rakyat berhampiran Puduraya. Projek bangunan kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Berkembar Petronas masih tinggal rangka. Ia mengingatkan kita kesan dahsyat krisis itu.

Kurang 16 bulan lalu, seluruh dunia dilanda krisis Covid-19. Ekonomi Malaysia sekali lagi menguncup. Kesannya tidak kurang dahsyat. Pengangguran naik ke tahap tertinggi sejak ia mula diukur. Ratusan ribu kehilangan pekerjaan. Cuma bezanya, tiada lonjakan inflasi. Ekonomi negara ‘ranap’ seperti rumah kayu usang di tepi pantai semasa musim tengkujuh.

Hari ini, dunia berhadapan krisis inflasi. Hampir semua negara menunjukkan kenaikan inflasi berganda. Inflasi United Kingdom tertinggi dalam 40 tahun. Ia juga tertinggi dalam tujuh tahun di Jepun. Tiada negara bebas demam ‘Covidflasi’. Di Malaysia harga barangan meningkat dan menimbulkan kemarahan rakyat.

Ada menyalahkan harga minyak global yang naik hingga AS$120. Tetapi ada yang lupa, harga minyak pernah naik hingga AS$148 setong. Penganalisis global menyatakan harga minyak sebenar hanya AS$60. Tidak mungkin dua tahun Covid-19, penduduk dunia bertambah sekali ganda dan menghirup minyak seperti mendapat air sejuk di padang pasir. Apa yang diperlukan kini ialah kerajaan yang mampu merangka pelan konkrit dan lebih menyakinkan. Tidak perlu dibincang kajian subsidi bersasar seperti minyak RON95 ketika keresahan rakyat memuncak. Ia seperti mencurah minyak ke api. Kerahkan penguatkuasaan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan.

Jangan dinaikkan kadar faedah seperti dicadangkan ahli ekonomi yang tidak pernah menguruskan syarikat. Kenaikan kadar faedah hanya membunuh perniagaan dan perjawatan. Kenaikan OPR tidak akan mengelak kejatuhan ringgit.

Sebahagian besar rakyat telah melalui beberapa keperitan ekonomi. Kelebihan manusia selain akal dan daya tahan ialah kemampuan ‘menyesuaikan’ diri. Kita akan menyesuaikan diri sekali lagi dan keluar daripada kemelut ini. Ia fitrah manusia.

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd..

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.