Apabila beras akhirnya tiada - Utusan Malaysia

Apabila beras akhirnya tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 28 Ogos lalu penulis mencoretkan mengenai kealpaan kita yang menganggap bahawa makanan utama seperti beras, roti dan gula akan sentiasa terhidang di atas meja.

Cukup sebulan, Malaysia bergelut dengan krisis kecil mengenai kekurangan beras tempatan. Apa yang menarik bekalan beras tidak pernah tidak cukup di negara ini.

Sebaik sahaja harga beras import dinaikkan maka beras putih tempatan seperti dimamah tentera tikus, bekalan merudum dan pengguna dinafikan beras murah. Ada pengilang dikatakan lebih cenderung menjual beras import kerana margin keuntungan lebih tinggi.

Ada mendakwa beras tempatan dibungkus semula seperti beras import. Ada berpendapat golongan tertentu menyorok beras tempatan untuk memaksa kerajaan menaikkan harga keluaran tempatan supaya keuntungan lebih tinggi.

Untuk rekod, harga beras telah meningkat ke paras tertinggi dalam 13 tahun. Kenaikan tidak dapat dielakkan dan ia bukan salah kerajaan. Begitu juga bagaimana kerajaan tidak dapat me­ngawal harga minyak mentah dunia, gula mentah dan gandum.

Kerajaan melaksanakan pelbagai usaha termasuk terbaharu menggunakan beras import untuk fasiliti kerajaan seperti kem tentera dan hospital bagi meredakan tekanan terhadap beras tempatan.

Jualan Rahmah diadakan bagi membolehkan masyarakat mendapatkan beras tempatan pada harga ditetapkan.
Apa yang menjadikan keadaan semasa lebih menekan adalah barangan lain turut naik. Sebuah syarikat pembuat roti diminta memberi penjelasan kenapa barangan lain keluarannya yang bukan barang kawalan dinaikkan harga. Bila pula kementerian campur tangan dalam operasi perniagaan sehingga mahu menge­tahui secara terperinci kos pengeluaran sesuatu barangan.

Adakah kita menanam gandum untuk dibuat mi apabila harga gandum telah naik. Jika itu menjadi satu langkah normal, kementerian itu harus menggaji 10,000 orang untuk meminta semua syarikat memberi penjelasan apabila setiap kali setiap barang atau perkhidmatan dinaikkan.

Contoh paling nyata harga roti yang dijual di kedai biasa adalah tertakluk sebagai barang kawalan. Roti yang dikeluarkan ba­keri dan dijual di pusat beli-belah tidak dikawal. Di mana keadilan dalam perniagaan?

Masalah kekurangan dan kenaikan barang seperti beras di­sebabkan terdapat dua kasta harga. Harga keluaran tempatan dikawal manakala yang diimport ditetapkan pada harga lebih tinggi. Ia tidak menjadi masalah jika keluaran tempatan mengatasi permintaan. Dalam isu beras, keluaran negara tidak sampai 70 peratus dan perbezaan harga ini menyebabkan ia mudah dieksploitasi.

Perkara sama berlaku kepada gandum, minyak paket, gula, minyak dan gas petroleum cecair. Ia murah kerana dikawal harga atau disubsidi.

Pemberian subsidi atau kawalan harga mendedahkan negara kepada penyeludupan atau tindakan membungkus semula sebagai barangan bukan subsidi untuk meraih keuntungan lebih tinggi.

Masalah ini akan berterusan selagi kewujudan dua kasta barangan, harga dikawal walaupun kos sebenar jauh lebih tinggi dan subsidi dianggap tiket mendapatkan sokongan setiap lima tahun. Pokok yang akarnya terlalu dalam tidak akan mati seba­nyak mana rantingnya dicantas. Begitu juga subsidi, rasuah, dan kawalan harga.

 

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.