Apabila baja yang ditunggu pesawah dijadikan bom? - Utusan Malaysia

Apabila baja yang ditunggu pesawah dijadikan bom?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESAWAH tunggu baja untuk suburkan padi, tetapi ada pula pihak yang didakwa suburkan poket sendiri dengan menjualnya ke negara jiran. Lebih mengejutkan, baja itu dikatakan mempunyai permintaan untuk dijadikan komponen bahan letupan.

Kalau benar, ini bukan lagi soal baja hilang di tengah jalan.

Ini soal subsidi, keterjaminan makanan dan keselamatan negara.

Pendedahan Utusan Malaysia semalam mengenai kegiatan membawa keluar baja urea ke Selatan Thailand wajar diberi perhatian serius. Kerana ia pembongkaran yang mengejutkan. Baja dijadikan bom untuk memusnahkan nyawa dan harta benda. Jangan sampai isu ini hangat sehari dua, kemudian senyap tanpa jawapan.

Siapa yang buat? Siapa yang membekalkan? Bagaimana bekalan yang sepatutnya sampai kepada pesawah boleh keluar negara? Sejak bila kegiatan ini berlaku dan berapa banyak yang sudah dibawa keluar.

Semua persoalan itu perlu dijawab. Menurut sumber pesawah, individu yang menjalankan kegiatan tersebut membeli baja secara borong di Malaysia sebelum membungkusnya semula untuk dijual ke Thailand pada harga jauh lebih tinggi.

Baja yang dibeli sekitar RM2,450 satu tan metrik dikatakan boleh dijual sehingga RM5,700 satu tan metrik. Untung lebih RM3,000 satu tan.

Kalau berpuluh-puluh tan yang diperdagangkan, bukan sedikit wang yang masuk ke poket. Yang untung mungkin orang tengah, tetapi yang menanggung kesan akhirnya negara dan pesawah.

Lebih membimbangkan apabila bekalan itu dikatakan dibawa keluar melalui lori atau laluan sungai di kawasan sempadan. Jika benar berlaku, sampai bila mahu dianggap sebagai kebocoran biasa.

Kalau seguni, mungkin boleh dikatakan terlepas. Tetapi kalau sudah berguni-guni dan bertan-tan? Aduhai.

Janganlah ada yang cuba menuding jari kepada kerajaan terdahulu. Kerajaan yang berada di tampuk pemerintahan hari ini perlu menyelesaikan apa juga kelemahan yang ada. Rakyat tidak memilih kerajaan untuk mendengar alasan, tetapi untuk melihat masalah diselesaikan.

Apatah lagi kerajaan menyasarkan kadar sara diri (SSR) beras negara sebanyak 80 peratus.

Sasaran itu memang wajar disokong. Tetapi jangan sekadar pandai menetapkan angka jika masalah asas di bendang masih tidak selesai. Kawasan sawah semakin terhad. Tenaga kerja semakin berkurangan. Kos baja, racun dan buruh pula meningkat. Anak muda semakin kurang berminat meneruskan pekerjaan di bendang.

Dalam keadaan itu, setiap kilogram baja yang bocor keluar negara adalah kerugian kepada usaha memperkukuh pengeluaran makanan negara.

Kerajaan perlu memperketat kawalan rantaian bekalan subsidi, daripada pembekal hingga kepada pesawah. Jika wujud sindiket mengambil kesempatan, bongkar dan dakwa.

Pada masa sama, kawasan tanaman padi mesti dipertahankan dan kawasan baharu diteroka secara terancang, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Beras bukan sekadar komoditi. Ia makanan ruji dan soal keselamatan negara.

Baja sepatutnya menyuburkan sawah, bukan menyuburkan sindiket. Dan lebih-lebih lagi, jangan sampai baja yang ditunggu pesawah akhirnya ia sendiri menjadi ‘bom’ kepada keterjaminan makanan negara.

 

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Berita Utusan Malaysia. – UTUSAN

×