Apa yang kita mahu tunjukkan kepada dunia?

Apa yang kita mahu tunjukkan kepada dunia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh seminggu ini hingga ke minggu hadapan, negara kita, Malaysia berada pada titik tumpuan di peta global. Kuala Lumpur sibuk menerima tetamu dari seluruh dunia terdiri daripada pemimpin-pemimpin utama, tokoh korporat dan kewangan selain tumpuan media-media antarabangsa.

Ini kerana sidang Kemuncak ASEAN yang sedang berlangsung di ibu negara ketika ini bukan sekadar pentas untuk membincangkan isu dan kepentingan serantau, malah ia sudah menjadi medan untuk para pemimpin dunia bertemu dan mencari jalan untuk menyelesaikan pelbagai isu global sama ada yang membabitkan perdagangan, politik mahupun pertikaian wilayah.

Kebetulan ketika Malaysia mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN dan menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak ini, dunia berhadapan dengan pelbagai isu yang memerlukan perbincangan yang boleh membawa kepada penyelesaian atau sekurang-kurangnya mengendurkan ke­tegangan.

Dalam hal perdagangan isu utama sudah tentu berkaitan dengan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) khususnya oleh Presiden Donald Trump terhadap negara-negara rakan dagangnya.

Boleh dikatakan semua negara ASEAN terkena tempias tarif ini selain negara Asia yang lain seperti Jepun dan Korea Selatan serta yang paling teruk adalah China dan India. Perang dagang membabitkan dua negara ini dengan AS nampak seperti tidak ada kesudahan dan pentas ASEAN khususnya Kuala Lumpur akan menjadi medan pertemuan rasmi pemimpin negara yang bertelagah ini untuk membincangkan isu berkenaan.

Geopolitik yang tidak stabil di beberapa bahagian dunia dijangka akan turut disentuh oleh pemimpin yang hadir ini terutama krisis Russia-Ukraine, isu kemanusian di Palestin terutama Gaza dan masalah berlarutan di Laut China Selatan.

Isu-isu rentas sempadan yang membabitkan pertikaian Thailand-Kemboja dan jenayah penipuan rentas sempadan yang berpusat di Myanmar pasti tidak akan terlepas daripada radar perbincangan pada sidang kemuncak ini selain penyertaan Timor Leste ke dalam ASEAN.

Sebab itu, semua mata di seluruh dunia ketika ini tertumpu di Malaysia kerana mereka mahu melihat apakah hasil daripada pertemuan para pemimpin itu.

Dua pemimpin utama dari blok pakatan BRICS iaitu Pre­siden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa turut berada di negara ini dan dunia sudah tentu mahu melihat apakah reaksi Trump apabila sepentas dengan mereka.

Ketika mata dari seluruh dunia tertumpu ke Malaysia, sudah tentu kita juga perlu mengambil kesempatan untuk menonjolkan keunikan, kekuatan, kelebihan dan keupayaan kita. Lebih-lebih lagi tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia, sudah tentu Sidang Kemuncak ASEAN ini sedikit sebanyak boleh dijadikan modal untuk membawa pelancong ke negara ini.

Jadi, apakah yang mahu tunjukkan kepada dunia yang sedang memandang dengan penuh minat kepada kita ketika ini?

Adakah perhimpunan yang dirancang oleh pembangkang akan menjadi salah satu sisi yang kita mahu tonjolkan? Adakah kita mahu hiasi skrin-skrin televisyen di seluruh dunia dengan insiden rusuhan jalanan kerana membantah Trump?

Trump hadir bukan kerana Malaysia tetapi kerana ASEAN. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin lain.

Jika pembangkang yang menjadi kerajaan ketika ini adakah mereka akan menghalang kehadiran Trump dan apa kesannya kepada rantau ini yang berhadapan dengan kenaikan tarif?

Jika hendak teruskan juga demonstrasi ikutlah nasihat polis dan fikirkanlah apa yang kita mahu tunjukkan kepada dunia.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia