Apa yang ditemui hanya kegelapan - Utusan Malaysia

Apa yang ditemui hanya kegelapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA meneliti sejarah, evolusi dan tamadun manusia tidak pernah statik. Evolusi membawa kebaikan kepada manusia sejagat. Daripada mencipta api untuk memanaskan diri kepada penemuan elektrik motor tenaga elektrik alternatif (AC) dan transmisi elektrik puluhan ribu kilometer jauhnya.

Daripada petani berulang-alik mengambil air menggunakan baldi dari sungai kepada sistem irigasi (graviti) yang bermula di Mesopotamia dan Mesir pada 6,000 BC. Kemudian terusan, perparitan dan pengagihan air bersih.

Di kawasan kering kontang kehidupan dapat bertapak. Ia memberi harapan bahawa di gurun paling kering sehingga enam tahun tanpa hujan, kehidupan wujud. Manusia menternak jutaan biri-biri, unta, dan lembu.

Daripada tinggal di dalam gua atau bergerak menggunakan haiwan, manusia membina struktur tertinggi iaitu piramid di Giza, Mesir. Struktur paling tinggi kini adalah Burj Khalifa di Dubai setinggi 828 meter. Menara PNB118 di negara kita akan mencapai 644 meter dan menjadi struktur buatan manusia kedua tertinggi di dunia, 12 meter lebih megah berbanding Menara Shanghai pada ketinggian 632 meter.

Manusia bergerak menggunakan kaki sebelum kuda dan unta. Hari ini kenderaan elektrik mencapai jarak 770 kilometer dengan sekali caj, cukup untuk pergi balik ke Tanjung dan menikmati nasi kandar Line Clear tanpa mengisi setitik minyak.

Kedatangan Islam berkurun-kurun dulu menjadikan manusia lebih baik, bijak, pandai dan berusaha ke arah kebaikan sama ada dunia dan akhirat. Muhammad al-Idrisi dikatakan bapa peta dunia, Muhammad al-Shaybani bapa perundangan Islam antarabangsa, Jabir ibn Hayyan bapa kimia dan Al-Khawarizmi sebagai bapa algebra.

Sudah jauh dunia dan manusia berubah kerana cendekiawan. Pencapaian manusia hari ini disebabkan tamadun lampau serta keinginan untuk berubah supaya menjadi yang lebih baik.
Negara Islam seperti Turki dan Iraq menghasilkan teknologi, pesawat pejuang serta kelengkapan ketenteraan. Turki yang ada tradisi Empayar Ottoman yang menakluk dunia, menguasai teknologi serta tidak gentar dengan barat.

Malaysia pula seperti memasuki gear reverse atau melalui era kegelapan. Ketika kawasan tandus gurun di Asia Barat subur ditumbuhi tanaman, negeri Kelantan bergelut menyediakan air. Selepas merdeka 62 tahun, alasan masih sama.

Paip lama, paip bocor, tekanan rendah, dan keluaran loji air terhad. Nasib baik ramai tidak pulang beraya dua minggu lagi.

Ketika rasuah dikutuk dan dikeji, kita dihidangkan kisah jutawan yang merasuah penguat kuasa seperti Datuk Nicky. Berapa ramai seperti Nicky ini dan mereka yang menerima suapan?

Malaysia sebuah negara Islam yang kononnya dihormati di seluruh dunia, tetapi jatuh dalam persepsi rasuah. Ketika keterbukaan membawa kepada pencernaan idea, Malaysia susut dalam indeks kebebasan media. Sekali lagi media digelak masyarakat awam.

Apabila pentadbiran kerajaan di seluruh dunia semakin telus dan berorientasikan dinamik baharu, kita diberitahu Suruhanjaya Pasukan Polis tidak mempunyai pejabat dan hanya bersidang seperti di kedai kopi. Ini suruhanjaya yang menentukan hala tuju 130,000 anggota polis.

Ketika yang terbaik dipilih, pelantikan ahli politik dan ketua eksekutif ke GLC dan GLIC kembali seperti di era batu. Ia seperti permainan musical chair. Apabila muzik berhenti, orang sama duduk di kerusi. Dasar DEB menghantar puluhan ribu anak muda terpelajar ke luar negara dan ke universiti terbaik tetapi ini hasilnya – permainan musical chair.

Malaysia hari ini seperti satu hidangan sangat lazat yang sedang dimasak tetapi terhenti apabila kayu api dialihkan. Yang ada pada akhirnya hanya kekecewaan.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya