fbpx

Apa pun berlaku, LCS mesti disiapkan

Kemelut pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memasuki episod baharu apabila bekas panglima angkatan laut itu didakwa di mahkamah berhubung projek tersebut semalam.

Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor, 78, bukan didakwa atas jawatan tersebut yang dipegangnya dari 13 Oktober 1996 sehingga 13 Oktober 1998 tetapi kerana beliau adalah bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS), syarikat yang dilantik untuk menyiapkan enam buah LCS.

Beliau didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM21.08 juta berkaitan perolehan projek pembinaan LCS.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Ke­seksaan sebelum dibebaskan dengan Jaminan RM500,000.

Sudah menjadi tradisi, pegawai kanan tentera yang bersara bakal menerajui pula syarikat-syarikat berkaitan pasukan keselamatan negara antaranya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan juga BNS.

Ini kerana mereka mempunyai kepakaran, pengetahuan mendalam dan pengalaman luas untuk melaksanakan projek berkaitan dengan Kementerian Pertahanan.

Selain dipertanggungjawab untuk melaksanakan projek-projek strategik negara, kepada mereka juga diletakkan harapan pemindahan teknologi daripada negara maju kepada anak-anak tempatan.

Ratusan tenaga profesional tempatan terlibat dalam projek berkenaan seperti pembinaan kapal ronda generasi baharu (NGPV) dan LCS, pembekalan sistem radar dan juga kapal terbang.

Dalam kes Ahmad Ramli, beliau pernah menerajui BNS dan terlibat dalam pembinaan kapal ronda generasi baharu (NGPV) sebelum pelaksanaan LCS.

Namun di sebalik kebanggaan dan kejayaan pemindahan teknologi, berlaku pula ketirisan dan kelewatan. Dalam kes LCS, pendedahan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang projek berkenaan amat serius. Lebih malang apabila RM6 bilion sudah dibelanjakan tetapi satu kapal pun belum dapat disiapkan.

Pembinaan LCS dibina dengan matlamat untuk memperkukuhkan keselamatan perairan negara dan memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin. Pemilikan aset baharu kapal perang moden itu sesuai dengan cabaran semasa.

Ketika Laut China Selatan menjadi perhatian kuasa besar ekoran berlaku pertikaian sempadan dan ancaman keselamatan di Laut Sulu serta Selat Melaka, TLDM tidak boleh dibiar dengan aset-aset lama.

Kedaulatan dan keamanan negara tiada nilainya. Pepe­rangan bukan pilihan kebanyakan negara pada era moden ini tetapi ia tetap berlaku. Lihat Russia dan Ukraine. Malah negara juga pernah diserang kumpulan militan Sulu.

Sebab itulah apa pun yang berlaku terhadap projek LCS, pertimbangan utama yang perlu diberi perhatian ialah menyiapkan juga kapal tersebut. – UTUSAN

  • Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia