Apa masalah di Imigresen?

Apa masalah di Imigresen?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara berita panas yang menarik perhatian orang ramai dua tiga hari lalu adalah tentang kualiti perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia.

Imigresen adalah petugas barisan hadapan di pintu-pintu masuk negara baik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau di pintu sempadan tanahair.

Antara kayu ukur keefisienan Jabatan Imigresen adalah tempoh masa berurusan pemeriksaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) KLIA atau pintu-pintu masuk jalan darat yang lain.

Senang cakap, efisien itu dinilai dengan berapa lama tempoh pelancong atau rakyat tempatan yang terpaksa bersidai menunggu sebelum pasport dicop.

Isu kelewatan ini mendapat perhatian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang pada 24 Januari lalu mengulangi desakan supaya isu prosedur pemeriksaan imigresen di KLIA dan KLIA2 diatasi segera.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ketibaan pelancong ke negara ini yang ‘disambut’ dengan perlu beratur selama dua jam untuk pemeriksaan imigresen, amat tidak masuk akal.

Sifirnya mudah. Sudahlah pelancong melalui perjalanan yang jauh berjam-jam dalam penerbangan, apabila sampai di kaunter imigresen, mereka terpaksa menempuh ‘perjalanan’ berjam-jam sebelum pasport dicop.

Padahal imigresen kita sudah lama dilengkapi sistem komputer dan peralatan canggih. Kalau ada kerja manual pun hanya untuk mengecop pasport. Semakan maklumat diri pelancong semuanya dilakukan secara berkomputer.

Kita berharap situasi ini dapat diatasi segera untuk keselesaan pelancong dan juga rakyat tempatan. Untuk rekod, Malaysia mempunyai 229 kaunter masuk dan 232 kaunter keluar di lapan lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara. Bagi pintu darat pula, kita ada 224 pintu masuk dan 228 pintu keluar.

Satu lagi rungutan masyarakat ialah tempoh masa lama untuk memohon pasport antarabangsa sehingga sembilan jam. Itu pengalaman dilalui oleh wartawan Utusan Malaysia di imigresen Putrajaya, Jumaat lalu.

Orang ramai sudah beratur panjang seawal pukul 7 pagi sebelum kaunter dibuka pukul 8 pagi. Walaupun permohonan memperbaharui dokumen itu sudah dibuat secara dalam talian, pemohon tetap perlu menunggu giliran dan nombor diberi berdasarkan ‘first come first serve’ (siapa dahulu, dia dapat).

Difahamkan ada 24 kaunter di situ tetapi hanya enam kaunter untuk urusan permohonan pasport. Lebih malang, tiada kaunter khas bagi mereka yang sudah membuat permohonan secara dalam talian.

Sepatutnya, kalau sudah ada janji temu secara dalam talian tak perlulah lagi beratur untuk mendapatkan angka giliran. Sistem dah baik tetapi pelaksanaan nampaknya gagal.

Kaunter-kaunter yang melibatkan perkhidmatan kepada orang ramai seharusnya lebih mesra dan sentiasa berusaha agar lebih efisien. Teringat kepada slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ yang pernah diamalkan dalam perkhidmatan awam tahun 1982 dahulu. – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

 

 

 

 

 

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.