Apa jadi hubungan media-polis? - Utusan Malaysia

Apa jadi hubungan media-polis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika lebih separuh rakyat Malaysia sedang sibuk bincang siapa dan parti mana nahu dipilih menjelang hari pengundian 19 November ini, tiba-tiba tercetus seperti ‘gangguan’ hubungan antara media-polis.

Perkara itu menimbulkan persoalan kenapa Bukit Aman sejak kebelakangan ini sangat ‘garang’ dan seperti mengawasi ketat aktiviti pengamal media.

Agensi media ini bukan umur setahun jagung tetapi yang pasti hampir seusia dengan penubuhan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum merdeka.

Mengimbau hubungan media-polis sebelum ini, kedua-dua organisasi tersebut bergerak seiring, saling lengkap melengkapi dan lebih bermakna saling percaya mempercayai.

Membuktikan keakraban tersebut apabila hampir setiap tahun PDRM dari peringkat kontinjen dan Bukit Aman mempunyai hari khas polis bersama media.

Hari istimewa itu meriah dan segala-galanya ke arah memperkukuhkan titik persamaan antara media-polis demi kesejahteraan negara.
Jadi jika tiba-tiba dasar polis terhadap media bagai ada ‘duri dalam daging’ sudah tentu ia mencetuskan kemusykilan.

Apa punca dan kenapa sampai begitu. Kemuncak kemusyikan timbul apabila pengarang kumpulan NST dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Rabu lalu untuk memberi keterangan berhubung laporan berita mengenai operasi Mossad yang menculik rakyat Palestin di ibu negara.

Salahkah laporan tersebut, sejauh mana ia mengganggu ketenteraman awam atau mengganggu siasatan polis?
Polis sudah membawa 11 suspek ke mahkamah manakala mangsa culik pula khabarnya tiada lagi di Malaysia. Jadi kes selesai dengan polis berjaya menyelamatkan mangsa.

Bulan lalu, bekas Ketua Pengarang The Edge Communications Sdn. Bhd. dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memfitnah seorang individu dan syarikat sehingga mendapat reaksi Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berpendapat kedua-dua pihak sepatutnya menyelesaikan pertikaian mereka melalui proses sivil.

Bekas Perdana Menteri itu turut menyifatkan tindakan polis menggari bos media ketika dibawa ke mahkamah sebagai ‘menakutkan’.

Beginilah, tugas media ada ketikanya perlu berperanan mengejutkan kealpaan agensi-agensi kerajaan yang terlalu selesa sehingga tidak boleh ditegur.

Lihat sahaja, ketika kecoh ejen Mossad melakukan operasi membanteras aset Palestin di Malaysia, seorang Youtuber lelaki Israel juga mampu berseronok di Melaka dengan menggunakan pasport negara lain.

Memang kemasukan lelaki itu menggunakan pasport sah tetapi isunya ia lelaki Israel dan orang biasa sahaja mampu memperkotak-katikkan sistem keselamatan negara.

Hubungan dingin media-polis sudah dirasai lebih awal apabila semakin banyak sekatan ke atas media yang memerlukan maklumat berkaitan pasukan keselamatan itu.

Pendekatan PDRM tersebut sekali gus seolah-olah menyekat kebebasan media sebagai medium menyebarkan maklumat kepada rakyat.

Namun seperti warga PDRM, warga media di seluruh dunia turut diasuh menjunjung etika kewartawanan dari hari pertama dianugerah jawatan sebagai wartawan.

Justeru soal sensitiviti, mencetus kegusaran, mengganggu siasatan dan mengancam keselamatan adalah sempadan dalam setiap laporan didedahkan kepada umum.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia