Apa harapan mangsa scammer kepada bank, polis? - Utusan Malaysia

Apa harapan mangsa scammer kepada bank, polis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya kena scam, habis duit RM50,000 hanya kerana dijanjikan pinjaman RM150,000. Apa harus saya buat, duit yang diharap tidak menjadi kenyataan, duit yang ada pula sudah licin.

Seperti jenayah lain, si rakan menasihati mangsa buat laporan polis dan juga kepada bank yang dimanipulasi.
Penipuan tersebut berlaku hanya tiga hari selepas BNM mengumumkan lima langkah membendung penipuan siber.

Lima langkah tersebut ialah beralih kepada kaedah lebih kukuh daripada penghantaran kata laluan menerusi OTP, meningkatkan keselamatan ketika aktiviti pembukaan akaun bank, membuat pindahan dana, memohon pertukaran maklumat peribadi dan penetapan akaun.

Namun, mendengar kisah mangsa scammer terbaharu itu, langkah BNM dilihat belum menyeluruh kerana scammer bijak mengubah taktik. Ada mendakwa masih banyak kelemahan dan kelompongan dalam sistem perbankan yang perlu direvolusi.

Contoh mangsa penipuan ditawar pinjaman. Menerusi ceritanya, mangsa memohon pinjaman tersebut menerusi sebuah laman sosial yang memaparkan laman web berlogo sebuah bank yang dikenalinya.

Dokumen kononnya surat tawaran kelulusan pinjaman memiliki kepala surat bank selain melihat sendiri duit RM150,000 pinjaman diluluskan floating dalam akaun mangsa.

Kerugian RM50,000 itu didakwa scammer sebagai yuran proses, pembayaran pendahuluan ansurans dan lain-lain urusan teknikal.

Justeru, bagaimana atau bahagian mana lima langkah di­umumkan bank Pusat itu mampu menyekat penjenayah siber menggunakan modus operandi sebegitu?

Sepatutnya institusi kewangan wajib menaik taraf laman web masing-masing agar tidak boleh ditiru walaupun de­ngan apa cara sekali. Paparan laman web institusi bank secara psikologi mempengaruhi mangsa terpedaya dengan scammer.

Selain itu, ketika mangsa bekejar ke sebuah cawangan bank tersebut, seorang kakitangan di situ tidak pelik dengan cerita mangsa. Malah dimaklumkan sudah sebulan sistem perbankan tersebut digodam sehingga laman web institusi kewangan itu dimanipulasi penipu.

Sampai sebulan, tergamak pengurusan perbankan tidak melakukan sesuatu untuk melindungi pelanggannya daripada risiko ditipu. Jadi bolehkah mangsa menyaman bank yang tidak melindungi sistem sendiri sehingga merugikan mangsa?

Bagi polis pula, timbul tanda tanya apa motif mangsa penipuan disuruh membuat laporan jika akhirnya diberitahu kes-kes seperti itu sukar diselesaikan. Adakah selama ini, tugas mangsa scammer membuat laporan polis sekadar menambah bilangan kes yang kemudian dikumpul sebelum pegawai polis membuat hebahan angka mangsa penipuan.

Bayangkan hasilnya jika polis, bank dan mangsa bersungguh-sungguh menjejaki scammer menerusi keldai akaun yang lengkap maklumat, semak CCTV di ATM lokasi duit dikeluarkan scammer, penahanan dan seterusnya mencari ketua sindiket.

Mungkin tidak mustahil, kepala scammer boleh tumpas seperti polis berjaya menyelamatkan jurujual komestik yang dilarikan ke Thailand. Usaha itu perlu ada kerana bank dan polis memikul tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.