Apa faedahnya menipu sijil vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Apa faedahnya menipu sijil vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila 1,306 daripada 11,108 jemaah umrah yang pulang dari Mekah didapati positif Covid-19 dan sebahagian kecil pula didapati tidak mengambil vaksin, ramai yang menggeleng kepala dan berasa hairan.

Hairannya, bagaimana mereka boleh terlepas sempadan negara dan Arab Saudi sedangkan pengambilan dua dos vaksin antara syarat yang perlu dipatuhi.

Apa pun cara yang mereka guna untuk melepasi sempadan kedua negara tanpa memenuhi syarat vaksinasi, bolehlah dikatakan jemaah umrah terlibat melakukannya dengan cara yang tidak betul.

Mana mungkin mereka yang tidak mengambil vaksin Covid-19 mempunyai sijil vaksin. Amat malang jika jemaah terlibat memilih cara salah untuk memenuhi syarat vaksinasi tersebut. Ketika ini pun sudah terbukti ada pihak yang menjual sijil vaksin palsu dan memutar belit status kesihatan.

Mungkin jemaah terlibat fikir mereka sihat, kebal daripada Covid-19 dan percaya dengan pelbagai teori antivaksin, maka tidak perlu untuk mereka mengambil vaksin dan mengisytihar status kesihatan mereka menerusi aplikasi MySejahtera.

Aplikasi MySejahtera mungkin ada kelemahannya tetapi itu bukan alasan untuk memanipulasinya lebih-lebih lagi jika mahu ke tanah suci. Sebenarnya boleh sahaja pesakit Covid-19 menipu status kesihatan mereka seperti menafikan mengalami simptom tertentu. Ini kerana tiada siapa pun yang memantau mereka. Ia dilakukan secara kendiri. Malah klinik juga boleh membantu jika mereka mahu bersubahat dalam penipuan.

Mereka hanya ‘tertangkap’ apabila menjadi contact rapat dengan individu yang positif Covid-19 atau mereka sendiri dijangkiti virus itu.

Status positif Covid-19 mungkin menakutkan sesetengah orang kerana kebebasan mereka akan terbatas seketika kerana perlu menjalani kuarantin termasuk yang tiada simptom.

Bagi yang sudah merancang jadual perjalanan jauh seperti umrah, sudah pasti ada yang sanggup memanipulasi aplikasi MySejahtera. Segalanya kelihatan elok.

Tetapi apa faedahnya berbuat demikian kerana akhirnya jika tak bernasib baik, mereka atau ahli keluarga sendiri yang dijangkiti virus itu.

Jika ramai yang melakukan demikian, tak mustahil kes positif Covid-19 akan mencanak semula.

Ketika penawar mujarabnya belum ditemukan, mutasi varian baharu terus menular dan pergantungan kepada pemeriksaan secara kendiri diperluaskan, mampukah Covid-19 dapat ditangani dengan berkesan ?

Mahu atau tidak, setiap orang perlu jujur dengan mengambil vaksin, jangan menipu status kesihatan dan peka sebarang perubahan pada diri sendiri.

Mungkin ramai yang tidak kisah dengan langkah membendung pandemik itu tetapi hormati hak orang lain yang mahu hidup sihat.

Lelaki perempuan, dewasa atau bayi, cantik atau tidak, semua orang terdedah risiko dijangkiti Covid-19.

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.