Anwar sampaikan hati nurani Islam di pentas antarabangsa

Anwar sampaikan hati nurani Islam di pentas antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang mengkritik, malah ramai juga yang memperlekehkan lawatan Anwar Ibrahim ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Selain hadir dan berucap di UNGA, jadual Anwar juga padat dipenuhi dengan atur cara yang berkaitan dengan mempromosikan Malaysia dalam kalangan pemegang dana di bandar raya itu.

Semua orang tahu, New York adalah antara pusat kewangan dunia. Dana pelaburan bernilai trilion dolar ada di sana yang dikawal oleh pemeganag-pemegang dana utama dunia.

Bagi mana-mana pemimpin negara sekali pun adalah tidak bijak jika kesempatan berada di New York tidak digunakan untuk bertemu dan melobi pelabur berpotensi ini.

Namun kehadiran Anwar di New York kali ini lebih daripada sekadar menjual Malaysia kepada pelabur dunia. Ini adalah kali pertama beliau tampil di New York, di UNGA sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Anwar pernah berucap di PBB iaitu sekitar tahun 1971 ketika mewakili Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Himpunan Belia Sedunia (WAY). Isu yang dibangkitkan ketika itu tentang Islam iaitu Palestin dan kekejaman Israel. Islam sekali menjadi teras kepada pidato Anwar di UNGA kelmarin.

Seperti kata Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, Islam yang dibawa Anwar ke pentas dunia bukan dalam kerangka hukum dan hukuman.

“Tetapi Islam sebagai misi ketamadunan. Islam yang berani hidup, memuliakan insan, menangani kemiskinan, menjamin pendidikan, menghargai kebudayaan, seni dan sastera, menjamin keamanan dan persaudaraan kemanusiaan,” kata Noor Amin.

Malaysia adalah negara Islam yang dihormati di dunia. Sebab itu tidak kira siapa menjadi pemimpin, kita tidak boleh biarkan rasa hormat dunia itu hilang semata-mata kerana kebencian melulu kita kepada pemimpin sendiri.

Anwar mengambil kesempatan berucap di UNGA bagi menyampaikan hati nurani Islam. Kebimbangan akan kemunculan bentuk perkauman baharu yang dicirikan xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam, perbuatan membakar al-Quran telah disentuh oleh beliau supaya diberi perhatian oleh komuniti antarabangsa kerana ia jelas untuk mencetuskan kebencian.

Isu Palestin juga tidak ditinggalkan dengan komuniti antarabangsa diminta  menghentikan hipokrasi mereka.

Memang Anwar bukan pemimpin dari Pas, bukan dari Bersatu atau Perikatan Nasional (PN), tetapi di pentas antarabangsa Anwar adalah pemimpin Malaysia. Apa yang dilakukannya termasuk menyampaikan khutbah di Pusat Islam New York adalah cerminan kepada penghormatan yang diberikan kepada pemimpin Islam dari Malaysia.

Penampilan beliau di New York itu dimurnikan lagi dengan kesempatan yang diberikan kepadanya untuk mengislamkan seorang saudara baharu.

Berhenti sekejap mencemuh. Berhenti sekejap mencaci dan memaki hamun. Sebaliknya cuba kita ikhlas bertanya kepada diri sendiri, selepas Anwar siapa pemimpin yang akan berkesempatan untuk mengulangi apa yang dilakukannya ini?

Sebagai orang Islam, hati nurani kita perlu disampaikan kepada komuniti antarabangsa yang salah faham atau pun jahil tentang agama kita. Untuk melakukannya kita perlukan seorang pemimpin. Buat masa ini Anwar dapat melakukannya. Itu perlu kita akui dan hormati walaupun berbeza ideologi, pandangan dan parti politik. – UTUSAN

  • Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia