Amalkan langkah pencegahan sendiri - Utusan Malaysia

Amalkan langkah pencegahan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOAL pelancongan atau pertumbuhan ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan mengawal dan merawat rakyat dari segi wabak dan jangkitan termasuk Covid-19. Itu jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat kemasukan pelancong asing termasuk warga China ke negara ini tetapi akan mengetatkan pemeriksaan kesihatan dan saringan di pintu-pintu masuk.

Kekurangan data penularan Covid-19 di China di ketika negara itu membenarkan rakyatnya melancong ke luar negara, memaksa banyak negara mengambil langkah lebih berhati-hati.

Ada negara yang mengenakan larangan masuk sepenuhnya dan ada negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia, mewajibkan keputusan negatif ujian Covid-19 sebelum rakyat China dibenarkan menaiki pesawat.

Walaupun langkah itu mengundang kemarahan China tetapi negara-negara terbabit nampaknya tidak berani mengambil risiko. Tentu sekali, pengalaman lalu yang menyaksikan perintah kuarantin secara meluas terpaksa dikuatkuasakan sehingga melumpuhkan ekonomi menjadi asas kepada peraturan itu.

Pakar-pakar kesihatan awam di negara ini turut mencadang­kan langkah ujian sebelum penerbangan turut diwajibkan oleh pihak berkuasa negara ini. Ia dilihat langkah ke hadapan terbaik bagi mendepani ancaman Covid-19 tetapi kerajaan memilih pendekatan lain.

Tentu ada sebab dan perkiraan yang diambil kira oleh kerajaan. Yang pasti Kabinet mengambil maklum situasi Covid-19 ketika ini.

Ramai yang mempersoalkannya. Kata mereka, apakah kerajaan sudah lupa kepayahan yang dilalui rakyat semasa Covid-19 memuncak. Apakah kerajaan lupa kes tiga warga China masuk melalui Johor pada 23 Januari 2020 yang kemudian disahkan positif koronavirus (2019-nCoV) dan menjadi kes pertama di negara ini.

Namun, kerajaan sudah buat keputusan dan kita perlu akur kepada ketetapan itu. Langkah terbaik ialah setiap rakyat mengambil sendiri langkah-langkah pencegahan seperti yang kita amalkan sebelum ini.

Jangan tunggu arahan kerajaan atau penularan virus ini kembali serius.
Kembali pakai pelitup muka, elak berada di tempat sesak, kerap cuci atau sanitasi tangan dan paling utama, ambillah dos penggalak vaksin Covid-19 yang masih diberikan secara percuma.

Mengikut data Kementerian Kesihatan, sejumlah 28,120,894 orang mengambil dos pertama dan 27,532,308 orang dos kedua tetapi hanya 16,280,153 mengambil dos penggalak pertama dan hanya 636,861 orang mengambil dos penggalak kedua.

Sikap ambil mudah rakyat Malaysia apabila melihat jangkitan semakin berkurangan menjadi punca pengambilan dos penggalak tidak begitu memberangsangkan.

Dengan kebimbangan jangkitan kembali menghantui kita, inilah masanya kita mempercepatkan suntikan dos penggalak. Jangan tunggu arahan sesiapa. Usah persoalan keputusan kerajaan membenarkan pelancong masuk.

Prosesnya pun mudah sahaja. Hanya beberapa klik pada apli­kasi MySejahtera untuk membuat janji temu. Kita jaga kita.

 

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.