Akhlak Jepun yang perlu dicontohi orang kita - Utusan Malaysia

Akhlak Jepun yang perlu dicontohi orang kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU dunia terpegun dengan akhlak penonton Jepun di Piala Dunia Qatar 2022. Selain terkejut dengan kejayaan Jepun menewaskan Jerman 2-0, sikap para penontonnya menjadi bualan dan liputan seluruh dunia.

Mereka telah menunjukkan akhlak terpuji dengan memastikan kawasan tempat duduk mereka ketika menonton perlawanan itu bersih dan tidak ada sampah yang ditinggal.

Mereka membawa plastik untuk mengumpul bekas makanan dan minuman semasa menonton perlawanan dan memastikan sisa-sisa yang menjijikkan itu tidak ditinggalkan begitu sahaja.

Sebaik sahaja perlawanan tamat plastik sampah berwarna biru diedarkan oleh para penyokong Jepun untuk mengemas dan mengutip sampah yang tertinggal di bawah tempat duduk.

Begitu juga dengan bilik persalinan pasukan Jepun selepas perlawanan. Meraikan kejayaan menewaskan Jerman bukan alasan untuk mereka menyepahkan bilik persalinan, sebaliknya ia ditinggalkan dalam keadaan bersih dan teratur.

Ini bukan kali pertama para penyokong Jepun berbuat demikian.Mereka melakukan perkara yang sama pada Piala Dunia di Rusia empat tahun lalu, terutamanya selepas kekalahan 3-2 oleh Belgium pada pusingan 16 terakhir. Dan sekali lagi pada pembukaan kejohanan 2022 antara tuan rumah Qatar dan Ecuador pada Ahad – walaupun pasukan mereka tidak terlibat.

Di Jepun, kebersihan adalah sebahagian daripada budaya dan dilatih kepada masyarakatnya sejak awal kanak-kanak. Profesor sosiologi di Universiti Osaka, Scott North pernah memberitahu BBC bahawa mengemas adalah cara orang Jepun “menunjukkan kebanggaan dalam cara hidup mereka”.

Kemas bersih selepas perlawanan bola sepak adalah lanjutan daripada tingkah laku asas yang diajar di sekolah, di mana kanak-kanak membersihkan bilik darjah dan lorong sekolah mereka.

Ini amat berbeza dengan majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam di mana menjaga kebersihan amat dituntut oleh agama. Dalam al-Quran dan hadis perkara ini diberi penekanan, namun ia tetap gagal menjadi amalan kita seharian. Kita langsung tidak peduli dengan kebersihan. Sebab itu selepas setiap kali berlangsung acara, perlawanan sukan dan sebagainya sampah ditinggalkan bersepah-sepah.

Buktinya selepas perlawanan antara JDT dan Selangor malam tadi. Sebelum perlawanan Stadium Nasional Bukit Jalil bersih cantik. Tetapi selepas perlawanan, sampah merata-rata. Hanyir dan menjijikkan. Sebagai orang Islam itu tidak sepatutnya berlaku.

Berbeza dengan rakyat Jepun. Apa yang mereka lakukan bukan ajaran agama. Tidak ada ganjaran dosa pahala. Mereka me­lakukannya kerana disiplin, prinsip, maruah dan kebanggaan diri.

Akhlak penyokong Jepun ini perlu ditiru oleh rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam kerana ia sememangnya dituntut oleh agama. Tetapi daripada mematuhi ajaran agama ini, membuang sampah merata-rata hingga mencemarkan alam sekitar seolah-olah sudah menjadi budaya.

Mungkin tabiat ini boleh diserapkan semula di sekolah-sekolah seperti mana yang dilakukan oleh Jepun. Dan hasilnya walaupun pasukan mereka tidak menang Piala Dunia, tetapi para penyokongnya berjaya menambat hati masyarakat di seluruh dunia.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.