Agromakanan: Bukan senang untuk jadi senang - Utusan Malaysia

Agromakanan: Bukan senang untuk jadi senang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sektor pertanian memang perlu dirancakkan bukan sahaja kerana Malaysia masih ada banyak tanah pertanian terbiar tetapi lebih kritikal apabila negara terpaksa import makanan yang menelan kos sehingga lebih RM75 bilion pada tahun lalu.

Nilai import makanan pada tahun 2021 sekitar RM63 bilion manakala pada 2020 RM55.5 bilion. Antara jenis makanan banyak diimport termasuk kopi, koko, teh, rempah, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Melihat trend import tersebut, keterjaminan makanan penduduk Malaysia terus merosot manakala semakin tahun import makanan terus melonjak. Kesan import makanan tidak baik lebih-lebih lagi ketika Ringgit semakin mengecil nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat.

Jadi dalam hal ini di mana dan salah siapa kerana beberapa siri kerajaan sebelum ini masing-masing mengakui sedar bahawa import makanan negara terus meningkat? Setiap kerajaan menguar-uarkan sudah memperkenalkan pelbagai program untuk mengurangkan kebergantungan import makanan. Namun hasilnya, tidak menjadi kenyataan.

Begitu juga Kerajaan Madani menerusi Kementerian Ekonomi tiga hari lalu mengumumkan projek pertanian dan pemakanan melibatkan 1,000 ekar tanah di bawah Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) bagi membantu kalangan B40.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, program tersebut lain daripada program di bawah kerajaan-kerajaan terdahulu yang memberi bantuan awal menyuruh orang ramai bercucuk tanam namun kemudian membiarkan petani itu menguruskan sendiri untuk memajukan pertanian mereka.

Menerusi program di bawah INTAN kata Rafizi, kerajaan dengan kerjasama beberapa agensi pelaksana akan mencari tanah dan tanah tersebut akan dilengkapi seluruh infrastruktur pertanian untuk diusahakan kalangan B40 untuk menjana pendapatan.
Mengikut perancangan fasa pertama program tersebut membabitkan 1,000 ekar tanah di

seluruh negara yang bakal memanfaatkan 4,000 penerima berdasarkan setiap orang akan diberi suku atau setengah ekar tanah. Tanaman yang disarankan bentuk kontan seperti cili yang mana kadar tu­aiannya tidak lama dan mendapat permintaan tinggi.

Meneliti program tersebut, terdapat kalangan yang teruja menunggu inisiatif tiba di kawasan mereka. Ini kerana program pertanian itu dikhabarkan menyediakan infrastruktur lengkap ke atas tanah-tanah yang mahu dimajukan.

Ini kerana menjerumuskan diri dalam bidang pertanian tidak semudah yang digembar-gemburkan. Individu dengan kudrat empat kerat mengerjakan tanah tidak memberi apa-apa kesan kepada lonjakan import makanan negara.

Usaha tersebut sekadar menampung sara hidup harian ahli keluarga itu sahaja. Sektor pertanian memerlukan modal besar dan bukan sekadar berbekalkan semangat.
Bermula kerja membersih tapak, menggembur, saliran, benih dan baja semua makan kos besar.

Ini belum mengambilkira faktor cuaca dan serangan serangga, bab kata ‘tidak senang untuk jadi senang’. Jadi kerajaan harus fokus untuk membantu rakyat memajukan pertanian tanpa ada birokrasi.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia