Adakah Malaysia akan terus ‘recycle’ pemimpin lama?

Adakah Malaysia akan terus ‘recycle’ pemimpin lama?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh kira-kira seminggu dari sekarang, Singapura akan mempunyai perdana menteri yang baharu. Lee Hsien Loong, 72, yang menerajui republik itu selama dua dekad akan melepaskan jawatan kepada timbalannya Lawrence Wong, pada 15 Mei ini.

Wong yang berusia 51 tahun akan menjadi pemimpin ge­nerasi keempat (4G) dalam menerajui ekonomi 32 terbesar di dunia bernilai AS$522 bilion itu.

Lee telah membayangkan niat untuk bersara sejak tahun lalu dan memulakan proses peralihan kepimpinan. Lee dilaporkan berkata Wong sudah bersedia memimpin negara dengan 5.6 juta penduduk itu.

Wong juga telah mendapat sokongan penuh Anggota Parlimen (AP). Lee menyatakan niat untuk berundur sebelum pilihan raya umum 2025. Satu keunikan Singapura adalah peralihan kuasa di negara yang bersaiz separuh daripada bandar London itu. Ia tersusun, terpilih dan dilakukan atas dasar ke­relaan pemimpin terdahulu untuk bersara tanpa paksaan.

Apa yang lebih menarik, terdapat sekumpulan pemimpin yang sememangnya dilatih dan akhirnya dipilih pada masa yang sesuai untuk diberikan kedudukan tertinggi dalam pemerintahan negara itu. Malaysia sepatutnya belajar daripada jirannya yang sebelum ini pernah menjadi sebahagian negara ini dalam merencana pemimpin masa depan.

Kita selepas lebih enam dekad merdeka masih dengan Di, Din, Lim, Zaid dan Sabu serta banyak lagi golongan yang tidak lagi relevan dalam senario ekonomi hari ini. Politik seperti dadah kepada sesetengah ahli politik ini. Mereka tidak boleh hidup tanpa jawatan dan sanjungan.

Parti-parti politik masih bergantung kepada pemimpin lama. Mereka ini lahir sebelum merdeka tetapi masih berada dalam kancah politik negara ketika dunia sudah dikuasai ‘artificial intelligence’, kereta elektrik dan orang ke angkasa untuk tujuan rekreasi.

Kepada Generasi Z, ada tidak kenal atau sudah tidak lagi peduli siapa mereka ini. Apa yang lebih membimbangkan, siapa antara ramai ramai pemimpin yang ada, benar-benar berkaliber memimpin negara pada masa depan? Ini era telefon mudah alih sama atau lebih laju daripada komputer.

Ya, kita ada 222 ahli Parlimen tetapi Perdana Menteri Malaysia mesti di kalangan Melayu. Ini bukan rasis tetapi faktor 70 peratus penduduk negara ini adalah bumiputera.

Ia juga ditunjukkan dengan lebih 129 kerusi Parlimen di Semenanjung mempunyai lebih 45 peratus pengundi Melayu. Itu tidak termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini siapa pemimpin Melayu yang mampu menyatukan lebih 33 juta penduduk dan membawa Malaysia menjadi gergasi ekonomi dunia? Siapa yang terbukti mempunyai karisma, kepintaran, ketokohan, kepimpinan, keyakinan, keikhlasan, kepandaian dan dapat menjadi inspirasi kepada generasi masa kini dan masa depan?

Kita harus sedar menerajui negara dengan lebih 33 juta penduduk dengan pelbagai kaum, agama dan kecenderungan bukan tugas mudah. Ia bukan mengenai dari parti politik mana tetapi keupayaan menerajui negara. Ia mengenai CEO yang bertanggungjawab kepada belanjawan bernilai RM300 bilion dan ekonomi RM1.4 trilion.

Namakan siapa yang duduk di Dewan Rakyat atau ahli politik Melayu sedia ada yang mampu menjadi Perdana Menteri ke-11 atau ke-12 atau ke-13?

Kita boleh berborak mengenai politik 365 hari setahun tetapi adakah negara akan terus ‘recycle’ ahli politik lama atau memulakan pencarian dan menyediakan kumpulan pemimpin tertentu masa depan untuk menerajui negara? Tanpa pengorbanan tidak akan ada kejayaan.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd