68 tahun merdeka, tulisan jawi hilang ke mana?

68 tahun merdeka, tulisan jawi hilang ke mana?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jawi adalah tulisan pertama yang menjadi medium komunikasi di kepulauan Melayu dan kemudian ke seluruh nusantara.

Dari era batu bersurat Terengganu kepada zaman kesultanan Melaka hingga kepada zaman awal kita merdeka, jawi adalah tulisan kita. Tulisan orang Melayu.
Selepas kejatuhan kesultanan Melaka, tulisan jawi terus menjadi medium perantara di zaman kesultanan Pasai dan Johor Riau.

Apabila penjajah menguasai nusantara, jawi kekal sebagai tulisan untuk berkomunikasi. Dan beberapa perjanjian antara penjajah dengan raja-raja serta pemimpin Melayu menggunakan tulisan jawi.

Ketika rakyat bengun menentang penjajah, masej-masej perjuangan semuanya menggunakan tulisan jawi. Ia termasuk penerbitan-penerbitan awal seperti Warta Malaya dan kemuncaknya adalah kelahiran akhbar Utusan Melayu pada tahun 1939.

Namun, selepas merdeka tulisan Jawi kian lama kian terhakis ditelan arus moden menggunakan tulisan rumi.

Akhirnya, jawi tidak lagi menjadi tulisan untuk komunikasi. Akhbar Utusan Melayu hanya mampu bertahan sebagai akhbar harian hingga tahun 1990an. Kemudiannya ia dijadikan penerbitan mingguan atas semangat untuk mempertahan tulisan jawi (walaupun tidak menguntungkan). Disebabkan orang Melayu tidak menyokong tulisan jawi, maka akhbar Utusan Melayu ming­guan terpaksa dikecilkan lagi sekadar menjadi sisipan hinggalah ke hayat teralhir syarikat Utusan Melayu (M) Berhad pada tahun 2019.

Apabila akhbar Utusan Malaysia dilancarkan semula di bawah pengurusan Media Mulia Sdn. Bhd., pada bulan Julai tahun 2020, tulisan jawi dikekal dalam bentuk panduan menulis pada setiap hari Jumaat.

Ini ada komitmen Media Mulia untuk memastikan tulisan jawi dalam bentuk penerbitan tetap kekal di negara. Dan pada masa sama berharap kepakaran Munsyi Jawi, Ustaz Sabri Azit dapat dijadikan penduan terutama dalam kalangan murid-murid kelas agama atau sekolah-sekolah agama.

Tetapi harapan itu tidak menjadi kenyataan kerana orang Melayu tetap tidak peduli sama ada tulisan jawi wujud atau tidak.

Berbanding kaum lain di negara ini, mereka sangat menyajung tinggi tulisan ibunda mereka. Sebab itu akhbar berbahasa Cina kekal dengan edaran yang tinggi dan akhbar Tamil kekal relevan walaupun negara susah 68 tahun merdeka.

Malangnya, jawi yang menjadi tulisan utama dalam meniupkan semangat perjuangan menuntut kemerekaan boleh dikata­kan lenyap ketika ini.

Kita hanya berbangga dengan tulisan jawi pada papan-papan tanda jalan sahaja. Setakat itu sahaja standard orang Melayu dalam menyokong tulisan Jawi. Cukup sekadar jadi papan tanda jalan. Sedang pada setiap hari Jumaat ada penerbitan yang memuatkan jawi mereka tidak hargai.

Walaupun ada hasrat dalam kalangan pengurusan Media Mulia untuk menerbitkan semula penerbitan menggunakan tulisan jawi dalam bentuk sisipan, tetapi terpaksa ditangguhkan atas faktor kos dan tiada sokongan orang Melayu.

Malah korporat Melayu pun tidak sanggup untuk berkongsi sedikit keuntungab mereka bagi menghidupkan tulisan jawi.

Ketika tulisan ibunda kaum lain kekal subur dan terpampang di sana-sini, jawi yang merupakan tulisan asal-asul orang Melayu kini berada dalam keadaan sakaratul maut, menunggu masa untuk menghembuskan nafas terakhir.

Bukan penjajah yang menguburkan tulisan jawi, tetapi sikap orang Melayu sendiri. – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia