Ramai harap pengeluaran KWSP sekali lagi - Utusan Malaysia

Ramai harap pengeluaran KWSP sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara perkara yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar rakyat Malaysia dalam kategori pekerja adakah kerajaan akan membenarkan sekali lagi pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Setakat ini, rayuan pengeluaran KWSP itu turut diluahkan melalui media sosial milik Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Pada 16 Mac lalu, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan bagi membina semula kehidupan.

Realitinya, masih ramai rakyat yang berharap pengeluaran KWSP dibenarkan meskipun terdapat tentangan daripada segelintir pihak.

Memang diakui, wang KWSP itu asalnya adalah untuk simpanan semasa persaraan. Namun, beban yang ditanggung oleh rakyat masa kini akibat inflasi yang membawa kepada kenaikan kos sara hidup amat membebankan.

Ini tidak termasuk bebanan yang ditanggung rakyat selepas Bank Negara Malaysia mengumumkan kenaikan OPR sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1.75 hingga ke 2.25 peratus.
Pendek kata, nilai wang hari ini sudah kecil berbanding 10 tahun lalu. Kalau dulu, dengan wang RM200 anda boleh membeli penuh troli barangan keperluan rumah untuk sebulan kini jumlahnya sudah meningkat sekali ganda atau lebih.

Malah, dalam laporan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, Indeks Harga Pengguna (IHP) Jun 2022 meningkat 3.4 peratus kepada 127.4 berbanding 123.2 pada bulan yang sama tahun 2021. Kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 (1.9%).

Ketua Perangkawan Malaysia , Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada Jun 2022.

Justeru, dengan pengeluaran khas ini, ia dapat menampung perbelanjaan isi rumah untuk jangka pendek di samping menggalakkan kitaran wang dalam negara. Sebabnya, rakyat akan mula membeli apabila terdapat aliran tunai, seterusnya memberi kesan positif kepada pusingan kitaran ekonomi

Seperti biasa, pakar ekonomi tidak bersetuju dengan alasan pengeluaran khas KWSP sekali lagi ibarat membenarkan ramai jatuh miskin selepas bersara pada umur 55 atau 60 tahun.

Menurut KWSP, hasil pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai baki kurang RM10,000, dan 2 juta atau 25 peratus mempunyai baki kurang RM1,000.

Namun, bagi rakyat yang terkesan, apalah ada pada simpanan persaraan jika untuk meneruskan hidup hari ini pun sudah cukup tertekan.

 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.