2023 tahun berjimat cermat

2023 tahun berjimat cermat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun depan pakar-pakar ekonomi meramalkan Malaysia mengalami tempias ekonomi global yang bergerak perlahan. Ini sekali gus menyebabkan kenaikan kos sara hidup apabila negara terpaksa berbelanja lebih untuk mengimport masuk barangan makanan yang kini mencecah RM65 bilion setahun.

Sebenarnya, sekarang pun rakyat sudah terasa bahang kenaikan harga. Contoh paling mudah, makanan utama iaitu ayam harganya sudah naik. Harga ayam semakin tidak terkawal apabila mula dijual dari RM10.40 sehingga RM11.50 sekilogram, sekali gus melepasi had siling RM8.90 yang ditetapkan.

Meletakkan harga melebihi harga siling walaupun melebihi satu sen tetap menjadi kesalahan. Namun, itulah realiti yang terpaksa dilalui oleh masyarakat. Ibarat “ditelan mati emak, diluah mati bapak”.

Nak makan ikan, harganya sekali ganda lebih mahal daripada ayam. Harga ikan kembung atau mabung misalnya dijual sekitar RM18 ke RM22 sekilogram. Bagi keluarga yang ada enam anak, sekilo ikan kembung tidak cukup untuk sajian tengah hari dan malam. Sebabnya, sekilo itu hanya dapat sekitar tujuh ke sembilan ekor.

Mahu tidak mahu, ayam juga yang paling murah dan seekor ayam berharga sekitar RM18 dan dipotong 18 boleh dimakan untuk lapan beranak.

Inflasi sudah diramal dan pada 2021, laporan Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) merekodkan bahawa harga makanan bagi seluruh dunia naik secara purata sebanyak 30 peratus pada tahun berkenaan.

Sejak berlakunya pandemik Covid-19, negara-negara pengeluar dan pengeksport dikatakan turut mengalami sumber pengeluaran yang terhad, rantaian bekalan makanan menjadi sukar. Logiknya, permintaan dalam negara adalah lebih diutamakan berbanding permintaan eksport.

Untuk itu, kerajaan mesti memfokuskan keselamatan makanan yang bertujuan mengurangkan kebergantungan import makanan. Langkah ini akhirnya dapat mengurangkan perbelanjaan negara untuk membeli barangan dari luar negara di samping mengelakkan kenaikan perbelanjaan rakyat.

Dalam masa sama, rakyat dinasihatkan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat. Selain itu, jangan lupa membuat tabungan wang kecemasan sebagai persediaan akan datang. Ini kerana ketidaktentuan ekonomi tahun depan yang dianggap terlalu mencabar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi di peringkat global.

Utamakan barang keperluan berbanding kehendak. Barang keperluan adalah untuk kelangsungan hidup dan juga pendidikan anak-anak. Sebaliknya barang kehendak walaupun sangat mengujakan hendaklah diketepikan buat sementara waktu.

Pembelian barang kehendak dalam talian juga perlu dihentikan. Ini kerana statistik oleh iPrice Group, iaitu sebuah laman perbandingan harga yang beroperasi di Malaysia menunjukkan jumlah pelawat ke syarikat e-dagang iaitu Shopee bagi suku pertama 2021 adalah seramai 46.9 juta orang. – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.