GEMPAR seluruh isi kandang. Berita yang sampai kepada mereka benar-benar tidak masuk akal. Sudah bertahun-tahun mereka hidup secara harmoni tanpa diganggu oleh sesiapa.
Sudah bertahun-tahun juga mereka bahagia dengan cara mereka, mengikut semua peraturan kandang yang ditetapkan tuan mereka.
Tiada sesiapa yang berani ingkar kepada peraturan, hatta mangga kunci pada pintu pagar sekalipun tidak pernah disentuh. Sama ada berkunci ataupun tidak, mereka akur dengan arahan tuan untuk tidak keluar dari kandang kecuali disuruh.
Katanya, tuan mereka akan membawa masuk anjing untuk tinggal bersama-sama di dalam kandang. Mereka tidak setuju. Anjing tidak boleh tinggal di kandang. Tidak sesuai. Barangkali lebih banyak kemudaratan akan terjadi kepada penghuni kandang. Mereka bukan mahu berburuk sangka, tetapi anjing yang akan ke kandang itu memang sudah terkenal dengan sikapnya yang buruk dalam kalangan haiwan yang lain, tetapi tidak pernah diketahui oleh manusia. Mereka membentak sesama sendiri.
Anak-anak ayam gelisah dengan khabar itu. Biri-biri juga sama, mengeluh panjang, tetapi terpaksa akur. Lembu-lembu yang ada pula, tampak bersahaja. Sibuk meragut rumput yang sudah kekuningan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Pun begitu, perutnya tetap boroi, gemuk-gemuk dan sihat.
Apabila menjadi penghuni paling besar dan berkuasa di dalam kandang, lembu-lembu menganggap diri mereka sebagai ketua walaupun tidak pernah sesiapa melantik mereka. Lembu-lembu yang perasan sendiri.
“Kau tak kisah lembu?” Anak ayam bertanya. Meluahkan kegusaran hatinya.
“Hmmm,” jawab lembu tidak acuh sahaja.
“Mudarat kita seisi kandang nanti,” anak ayam cuba meluahkan lagi.
“Bukan kacau kita pun. Anjing tu tak ada tempat tinggal, kena masuk ke kandang segera. Biarlah. Kita raikan sahaja tetamu baharu. Kita hidup secara majmuk. Berbaik-baik dengan anjing nanti.
Barulah kandang kita sejahtera,” lembu masih dengan lagak buta, pekak dan bisunya tanpa sedikitpun kerisauan.
“Kau ketua di sini. Sepatutnya kau lebih cakna dengan keselamatan kami. Paling penting, keharmonian kandang ini tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa. Kita ada peraturan yang perlu dipatuhi,” anak ayam mula tidak keruan dengan reaksi lembu. Nadanya berbunyi cemas.
Lembu sekadar menjeling kepada anak ayam dengan wajah amat menjengkelkan. Selepas itu mengorek hidungnya dengan lidah beberapa kali. Anak ayam seperti halimunan di situ.
Enggan berbalah walaupun sudah cuba menasihati lembu, anak-anak ayam terus sahaja berlalu pergi meninggalkan lembu.
***
“Lembu, kami boleh mengikut arahan tuan, tetapi kami tidak mahu mengikut telunjuk anjing,” biri-biri cuba memprotes.
“Ah, anjing bukan ketua kita,” lembu menjawab ringkas.
“Kami tahu anjing akan naik tocang nanti. Kau sepatutnya bersedia dari sekarang,” biri-biri cuba memberikan peringatan.
“Anjing sekadar menumpang. Dia tahu asal-usulnya,” lembu masih tidak cakna.
“Kau ketua di sini. Sepatutnya kau lebih peka dengan apa yang bakal terjadi kalau anjing tinggal bersama-sama kita. Kita ada peraturan yang perlu dipatuhi,” biri-biri juga tidak keruan. Lembu ditinggalkan sahaja.
“Geram sungguh dengan lembu. Apalah yang mereka fikir agaknya. Memang binatang tak berakal!” biri-biri mendengus.
***
Lembu-lembu mula mendabik dada. Kedatangan anak ayam dan biri-biri kepada mereka meluahkan kerisauan membuatkan mereka berasa lebih berkuasa dan diperlukan.
“Jangan hiraukan anak ayam itu. Dia tak tahu apa-apa. Biar sahaja anjing itu ke sini. Tuan sudah suruh kita melayan sahaja anjing sebaik mungkin. Turutkan sahaja kemahuan anjing. Tidak salah kita meraikan tetamu. Yang penting, tuan kita sudah janji, kalau kita ikut katanya, rumput paling segar yang diambil dari padang hijau di hujung negeri sana akan diberikan kepada kita,” kata lembu.
“Lumayan. Lepas ini tak perlu meragut rumput kering lagi. Aku sudah jemu makan rumput tak ada khasiat. Jangan khabarkan kepada biri-biri. Nanti terpaksa pula kita berkongsi,” kata lembu yang lain pula.
“Kita ketua. Hidung kita yang dicucuk ini bukti setianya kita kepada tuan. Jangan khianati tuan. Tuan sayang kita. Sebab itu, diberikan rumput yang enak sahaja,” ujar lembu dengan lagaknya sambil mengusap-usap hidung yang dicucuk dengan gelung besi.
***
Pagi itu, tuan mereka datang ke kandang bersama-sama anjing yang diperkatakan. Warna tubuhnya hitam, tampang wajahnya nampak garang dan pergerakannya cukup cergas. Dari jauh lagi, salakan anjing kedengaran di kandang. Terjerit-jerit anjing seperti hilang pedoman.
Hanya lembu-lembu beria-ia menyambut kedatangan anjing ke kandang. Dibentangkan rumput kering untuk dilalui anjing. Sekeliling kandang dikemas dan dibersihkan. Anak-anak ayam dan biri-biri terus menjauhi anjing. Katanya tuan, anjing ini baik dan boleh hidup bersama-sama dengan penghuni kandang yang lain.
“Tuan arahkan aku untuk menjaga penghuni kandang,” anjing memberitahu lembu sebaik sahaja tuan beredar dari situ.
“Tak banyak pun penghuni. Cuma ada kami, biri-biri dan anak-anak ayam,” jelas lembu.
“Mulai sekarang, aku ketua di sini,” anjing mula angkuh. Lembu-lembu tergamam. Tuan tidak pernah katakan kepada mereka bahawa anjing akan menjadi ketua.
“Kau mungkin tersilap. Aku ketua di sini. Lihat hidung kami yang dicucuk ini. Ini tanda kesetiaan kepada tuan dan kamilah ketua,” lembu cuba mempertahankan diri.
Anjing tidak menghiraukan lembu dan terus mengatur langkah melihat setiap sudut kandang. Lembu terpinga-pinga.
***
Biri-biri dan anak ayam tidak keruan melihat anjing menggonggong mangga kunci pagar yang dibuka. Tidak pernah ada sesiapa yang berani melawan tuan dan menyentuh mangga kunci pagar kandang yang mengunci mereka semua.
Anak-anak ayam mundar-mandir. Biri-biri menoleh ke kiri dan ke kanan beberapa kali.
“Kau melanggar peraturan kandang kami. Penghuni kandang tak boleh menyentuh mangga kunci pagar itu. Kalau kau langgar, nanti tuan akan sebat dengan ranting pokok,” biri-biri memberikan amaran.
“Kandang ini ada peraturan. Jangan sesekali kau mencabar kedaulatan peraturan kandang kami,” anak ayam juga bersuara.
“Maaf, aku tak sengaja,” anjing membalas sambil gelak kecil. Kata-kata biri-biri dan anak ayam tidak sedikitpun menakutkannya.
Malah anjing lebih berani dan mempersendakan sahaja penghuni kandang termasuk lembu-lembu. Anjing membiarkan kandang tidak berkunci. Mangga kunci dilempar jauh-jauh.
“Tuan suruh aku jaga semua penghuni kandang. Tak perlu lagi magga kunci pagar untuk menjaga kamu semua,” anjing membalas lagi.
Lembu-lembu tidak langsung berani bersuara. Pada mereka, asalkan anjing tidak mengganggu dan habuan yang mereka terima daripada tuan lumayan, mereka biarkan sahaja. Semua tingkah dan onar anjing dibuat-buat tidak terlihat, tidak terdengar dan tidak diketahui.
****
Beberapa bulan berlalu. Anak-anak ayam sentiasa dibayangi ketakutan. Banyak kali anjing sengaja menyergah anak-anak ayam dan mengejar mereka sekeliling kandang dengan laju. Anjing kerap kali menakut-nakutkan anak-anak ayam. Ada masanya, anjing mengugut akan memakan anak-anak ayam jika mereka tidak lari menyelamatkan diri.
Biri-biri pula asyik dihambat dek anjing yang semakin menyerlah sisi serigalanya. Biri-biri tidak ada pilihan yang lain. Setiap kali dihambat, biri-biri terpaksa mengikut sahaja. Disuruh keluar kandang, keluarlah biri-biri. Disuruh makan rumput, makanlah biri-biri. Disuruh beratur, beraturlah biri-biri. Mereka tidak suka dengan cara anjing yang banyak menekan, memaksa dan menggunakan kekerasan yang melampau.
Lembu-lembu tahu semua itu, tetapi tetap terus berlakon seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Lembu tidak pernah mengadu kepada tuan akan nasib penghuni kandang yang lain. Lembu-lembu biarkan sahaja. Yang penting perut kenyang, bertambah boroi. Makanan terhidang sentiasa, tidak perlu meragut rumput-rumput kering lagi.
***
Setiap kali tuan datang ke kandang, anjing sentiasa kelihatan sibuk bekerja. Anjing berlari ke sana, berlari ke sini. Setiap sikap buruk anjing tidak pernah diketahui oleh tuan. Mangga pagar yang dibukanya, pagar kandang yang tidak berkunci, pernah dibongkarkan oleh biri-biri kepada tuan.
Biri-biri sengaja keluar dari kandang sebaik sahaja tuan sampai untuk memberitahu bahawa pagar tidak berkunci. Tetapi anjing sangat licik.
Anjing terus mengampu tuan dengan pelbagai cara sehingga akhirnya kesalahan itu disabitkan kepada biri-biri. Hasilnya, biri-biri disebat dengan ranting berkali-kali, sedangkan anjing yang hanya meminta maaf dilepaskan sahaja tanpa sebarang denda.
“Memang tidak adil. Anjing juga wajar disebat kalau melanggar peraturan kandang,” ujar anak ayam.
“Tak perlu keruhkan isu yang kecil sebegini,” lembu membalas.
“Kita mahukan hidup yang harmoni. Kenalah saling bertolak ansur,” balas lembu yang satu lagi.
“Aku akan bawa ke muka pengadilan,” biri-biri berkata tegas.
“Anjing tak sengaja,” lembu masih cuba mempertahankan anjing.
“Sudah berbulan-bulan tinggal di kandang, tak mungkin peraturan kandang masih tak tahu,” biri-biri menyangkal lembu.
Anak-anak ayam hanya menggeleng-gelengkan kepada melihat reaksi lembu yang terlalu berpihak kepada anjing.
“Jangan-jangan kau dah disuap rumput oleh tuan kan!” anak ayam yang berasa geram melontarkan tuduhan kepada lembu. Lembu terbungkam, air liur ditelan berkali-kali. Peluh jantan tiba-tiba terembes di dahi.
***
Langit pagi itu tidak cerah seperti selalu. Awan kelabu, angin kencang dan udara terasa sejuk. Ada tanda-tanda seperti akan hujan sebentar sahaja lagi. Seperti biasa, lembu-lembu akan menanti tuan dengan penuh setia tanpa mengira keadaan cuaca.
Lembu-lembu begitu bahagia dan selesa dengan semua yang mereka peroleh daripada tuan sejak anjing berada bersama-sama di dalam kandang.
“Tuan datanglah. Pasti dia bawa rumput enak lagi. Rumput yang berkhasiat untuk kita,” lembu tersengih-sengih sendiri sambil bertepuk tangan.
Dibayangnya kesedapan menikmati rumput segar sehingga kenyang, rasa yang lazat dan mengiurkan untuk dijamu bersama-sama rakan lembu yang lain.
Anjing sekadar melihat tenang. Sejak awal lagi dia sudah tahu hasrat tuan, tetapi tidak dikhabarkan kepada lembu-lembu. Anjing juga perlu menjaga periuk nasinya.
Selepas ini, tuan mahu anjing menjaga dusun buah-buahan miliknya pula di kampung sebelah sungai sana. Anjing turutkan sahaja. Yang penting dia akan berkuasa di dusun itu untuk menghalau sesiapa sahaja yang menceroboh kelak. Reputasi anjing dilihat cemerlang oleh tuan.
Tuan semakin menghampiri kandang. Selalunya seorang diri, tetapi kali ini datang berdua dengan seorang lelaki lain. Lelaki itu berpakaian segak, tampak seperti orang kenamaan. Mereka berjabat tangan, mengangguk-angguk.
“Nah, dua ekor lembu ni dah cukup sihat dan gemuk. Banyak isinya. Dua-dua dah sesuai untuk dibuat kenduri sekampung. Saya jual kedua-duanya,” suara tuan terdengar jelas.
“Saya beli,” balas lelaki itu.
Lembu tergamam. Tiba-tiba tidak lagi buta, pekak dan bisu. – UTUSAN