Di luar hujan masih lebat. Selebat itu juga air mata yang membasahi pipi Salmah. Dalam tangis, Salmah sempat juga merenung meja yang dipenuhi fail-fail. Segalanya hitam dan putih, seperti hitam dan putihnya warna kehidupan. Kosong.
Sungguh Salmah tidak menjangka, hampir 27 tahun membesarkan anaknya itu. Baru kali ini dia menggugurkan air mata sederas dan selebatnya. Selama ini, dia dikenali sebagai ibu keras, sabar dan tabah serta sentiasa mempamer senyum. Namun, hati ibu tetaplah ibu. Meski terpaksa berpura-pura, dia harus bertahan agar tiada hati yang terluka.
Sejujurnya, Salmah tidak pernah mengimpikan jika keajaiban itu berlaku. Akan tetapi sebagai manusia yang berpegang dan patuh ajaran agama, Salmah tetap menyimpan percaya, segala yang berlaku atas kehendak tuhan sekalian alam.
Dek kerana itu, hilang jugalah rasa malunya menghambur tangis yang paling hodoh sehingga menghadirkan lenja di hidung. Dia berusaha menenangkan diri dengan beristighfar beberapa kali.
“Bagaimana, puan?”
Kata-kata itu memancung tangis dan istighfarnya.
Dia menyambut helaian tisu, entah ke berapa kali kepadanya.
Dia menoleh sosok tubuh yang berdiri sisi kanannya. Kemudian, pandangan itu dialihkan pula kepada yang bertanya soalan.
“Kalau puan bersetuju, kita boleh mula esok.” Katanya lagi.
“Secepat itu?”
Salmah terperangah. Benar inilah kehendak tuan sekalian alam.
“Bukankah lebih cepat, lebih baik, puan?” Katanya lagi bersama senyuman manis.
Salmah kehilangan kata. Dia tiba-tiba menjadi pemikir yang hebat. Antara mahu dan enggan. Antara takut dan ragu. Semuanya menjadi satu dan berkumpul di kotak fikirnya.
Beberapa jam yang lalu. Entah bagaimana dia boleh terleka. Anaknya yang menghidap kelainan upaya tiba-tiba hilang daripada pandangannya. Seluruh pasaraya dicarinya bersama tangisan dan melaung-laung memanggil anaknya.
Suasana menjadi kecoh seketika kerana perlakuannya. Beberapa waktu sudah berlalu. Pengumuman sudah dibuat oleh pihak pasar raya, kalau-kalau ada yang melihat anaknya. Pihak keselamatan pasar raya juga sudah dimaklumi. Mereka bekerjasama mencari. Namun segalanya hampa.
Ketika dia hampir hilang separuh kewarasan dan keletihan kerana terlalu banyak menangis, melaung, berlari ke sana ke mari, tiba-tiba anaknya muncul bersama lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Zaki.
Mereka berkenalan dan dia diajak untuk ke pejabat ini. Di pejabat inilah dia menghambur tangis.
“Anak puan sangat istimewa,” ujar Zaki sebaik tangis Salmah mulai reda.
Salmah memandang wajah Zaki. Maksud ‘sangat istimewa’ benar-benar menarik perhatian dan pendengarannya.
Semenjak 27 tahun membesarkan anaknya. Tidak pernah dia mendengar jika anaknya itu dikatakan ‘sangat istimewa’. Apakah ini hikmah di sebalik sebuah kehilangan beberapa jam lalu? Bisik Salmah di hati.
Zaki seolah-olah mengerti akan pandangan Salmah.
“Anak puan ada sindrom Asperger?” Tanya Zaki tanpa teragak-agak bersama senyuman.
Pertanyaan itu benar-benar mengejutkan Salmah. Wajah Zaki dipandangnya bersama kedutan di dahi yang berlipat-lipat.
Bagaimana dia tahu? Getus Salmah lagi di hati.
Zaki ketawa kecil melihat pandangan Salmah.
“Puan jangan risau, saya bukan ahli nujum.” Usik Zaki.
“Jadi, bagaimana encik Zaki boleh tahu?”
Terpacul juga pertanyaan itu dari bibir tuanya.
“Kerana saya menghidap sindrom yang sama. Oh, maaf… saya pernah menghidap sindrom yang sama dan sekarang saya semakin pulih puan.” Kata Zaki tanpa berselindung.
Salmah terkesima.
Sindrom Asperger adalah kelainan neurologis di mana anak mengalami kesulitan memahami orang lain dalam hubungan sosial.
Misalnya, penderita tidak faham bentuk komunikasi halus seperti bahasa tubuh, humor, dan sarkasme. Meskipun begitu, mereka yang mengidap gangguan saraf ini masih dapat melakukan aktiviti seharian seperti orang lain dengan tingkat kecerdasan yang sama.
Dalam hal-hal tertentu pula pengidap sindrom Asperger cenderung tidak menyukai perubahan sehingga melakukan sesuatu yang sama secara terus-menerus atau berulang-ulang kali. Perilaku seperti ini akan berkembang menjadi obsesi yang mengganggu kegiatan mereka.
Sindrom Asperger boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Namun dalam kebanyakan kes anak lelaki didapati lebih banyak menghidap sindrom ini. Lazimnya gangguan saraf ini pun biasanya dikenalpasti ketika anak berusia lima hingga sembilan tahun.
Begitulah yang terjadi kepada Umar.
Ketika diumumkan kehilangan Umar. Zaki seperti yang lain, juga turut membantu. Dia menemui Zaki di dalam sebuah stor penyimpanan makanan kering di pasar rayanya. Kebetulan stor itu terbuka dan masih dalam proses susun atur semula.
Entah mengapa Zaki tergerak hati untuk masuk ke stor. Ketika melangkah, dia melihat sosok tubuh sedang bekerja mengemas kotak-kotak yang bersepah di sana sini.
Zaki cuba memanggil nama-nama pekerja yang dikenali. Namun tidak juga memberikan sebarang tindak balas, apa lagi hendak menjawab panggilannya.
Sosok tubuh itu tetap terus bekerja menyusun atur kotak-kotak yang bersepah.
Sebaik menghampiri dan Sudah mengenal pasti bahawa sosok itulah yang sedang dicari, akhirnya Zaki hanya membiarkan sahaja perilakunya.
Ketika memerhati, Zaki seakan-akan dapat mengenalpasti akan setiap tingkah laku yang dilakukan oleh Umar. Kerana enggan meninggalkan Umar sendirian di situ, Zaki memutuskan untuk menghubungi pembantunya agar mencari ibunya pula.
“Saya memahami apa yang dialami oleh anak puan kerana saya pernah berada di tempatnya. Mujur ibu dan ayah tidak pernah berputus asa terhadap saya. Saya dipulihkan dengan pelbagai ubat dan terapi. Tapi… kadang-kadang saya masih juga melakukan perihal yang sama secara berulang. Meletihkan juga,” ujar Zaki dengan senyuman.
“Tapi ramai yang mengatakan anak saya sakit, encik.” Sebak Salmah saat menuturkannya dan menundukkan kepala.
“Betul. Mereka yang menghidap sindrom ini memang di anggap sebagai pesakit,” Zaki pantas.
Salmah mendongak. Rasa kecewa bergayut di tangkai hati,
“Tapi pesakit atau penghidap sindrom ini sebenarnya sangat istimewa. Mereka dapat melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh sehingga tugasan yang diberikan kepada mereka selesai.
Oleh sebab mereka tidak mahu atau resah melihat keadaan bersepah atau tidak betul pada tempatnya, maka mereka akan sentiasa memastikan tempat itu kemas dan terjaga.”
Salmah akhirnya mengangguk-angguk sahaja. Selama ini dia tidak pernah diberitahu perihal sebenar akan sakit anaknya. Pernah juga dia mendengar doktor menyebut nama sindrom itu dan cuba membaca itu ini tentang masalah yang dihidap oleh anaknya. Namun, pemahamannya hanya setakat itu sahaja, apa lagi tidak pendedahan langsung.
Akhirnya, Salmah memutuskan untuk membesarkan Umar begitu sahaja. Mengharapkan keajaiban berlaku. Mengajar Umar itu ini tentang perihal menguruskan kehidupan asas sudah memadai baginya. Setidaknya, apabila dia meninggal kelak. Umar dapat meneruskan kehidupan dan menguruskan hidup sendiri.
“Sebenarnya, sindrom ini boleh dirawat puan. Walaupun tidak 100% pulih tetapi masih tetap boleh dirawat,” ujar Zaki yang dapat mengesan riak keliru di wajah Salmah.
“Tapi saya tidak tahu bagaimana caranya, Encik Zaki. Lagipun Umar ini sudah 27 tahun usianya. Sudah terlambat.” Luah Salmah. Kesal.
“Tiada istilah terlambat puan. Apa yang penting kita berusaha.” Ujar Zaki lagi. Berusaha memberikan keyakinan kepada Salmah.
“Tapi saya tidak tahu apa-apa tentang sakit anak saya ini, Encik Zaki. Hanya dahulu sahaja saya pernah mendengar kata sakit itu. Selepas itu saya tidak tahu apa-apa.” Ujar Salmah lagi dengan suara yang bergetar.
Zaki melepaskan keluhan. Sejujurnya dia juga kesal kerana pendendahan tentang sindrom-sindrom terpencil ini memang amat kurang dalam kalangan masyarakat. Justeru, jika ada anak-anak yang menghidapnya maka mereka akan kematian akal.
Zaki bersyukur kerana, kedua ibu bapanya berkemampuan dan berusaha merawatnya. Bahkan tujuan pasaraya ini dibangunkan kerana usaha ibu dan ayahnya untuk melihat dia pulih. Akan tetapi, bagaimana dengan mereka yang tidak berkemampuan dan tidak berpengetahuan seperti ibu Umar? Zaki akhirnya mengigit bibir sendiri.
“Izinkan sahaja, Umar bekerja di sini, Puan.” Begitu akhirnya kata Zaki.
“Tapi anak saya tidak pernah bekerja di mana-mana sebelum ini encik. Dia tiada pengalaman. Dan… dan…” Salmah tidak dapat menghabiskan kata.
“Dan…” Zaki menyambung.
“Bolehkah Umar menjalankan setiap kerjanya nanti. Saya bimbang, Umar akan lebih banyak menimbulkan masalah. Dia tidak mahu bercakap dan mendengar kata orang. Hanya saya.” Jelas Salmah.
“Puan silap. Umar bukan tidak mahu bercakap. Cuma kurang diajak berkomunikasi kerana dianggap sakit. Umar tidak sesakit itu, puan. Sebenarnya dia mampu berkomunikasi dengan baik. Dia akan bercakap setelah semua kerjanya selesai. Itu fokus dalam bekerja namanya. Tidak membuang waktu. Bergosip itu dan ini di tempat kerja.” Tambah Zaki dengan senyuman.
Zaki teringatkan peristiwa beberapa jam lalu. Dia sempat berbual bersama Umar. Bertanya itu ini kepada Umar akan sebab dan perihal yang dilakukannya. Umar dapat menjelaskan dengan baik.
Walaupun komunikasi itu agak perlahan dan tiada tautan mata.
“Jika diberikan peluang, Umar akan menjadi pekerja yang baik dan amanah, puan. Kelemahan yang dia miliki bukanlah satu penghalang. Kelemahan itu sebenarnya kekuatan.” Zaki cuba meyakinkan Salmah.
Zaki tahu, ibu seperti Salmah yang tidak berpengetahuan tentang Sindrom Asperger ini amatlah sukar hendak mempercayai kata-katanya.
Pesakit Asperger ini ada Algoritmanya jika mereka diberikan peluang untuk melakukan sesuatu. Gabungan algoritma dan asperger dalam diri pesakit akan memberikan mereka satu kelebihan yang tidak ramai orang mengetahuinya.
Namun Zaki tidak berniat untuk menangguk di air yang keruh, mengambil kesempatan atas keistimewaan Umar. Zaki mahu, Umar bekerja dengannya sekali gus memberikan pendedahan kepada orang ramai bahawa pesakit asperger bukanlah tidak mampu melakukan apa-apa. Mereka juga seperti orang biasa. Mereka harus di terima dalam kalangan masyarakat. Tiada domininasi dan manipulasi.
“Atau puan hendak datang bersama-sama Umar terlebih dahulu? Puan boleh memantau dan melihat perkembangannya sendiri.” Zaki memberikan tawaran.
Entah mengapa, jauh di lubuk hatinya dia sangat ingin membantu Umar. Mungkin kerana dia melihat dirinya sendiri dalam sosok Umar. Umar harus dibantu dan diberikan peluang yang sama rata seperti orang lain.
“Bolehkah encik?” Tanya Salmah ragu-ragu setelah lama mendiamkan diri mendengar kata-kata Zaki.
“Tentu sahaja boleh. Untuk beberapa waktu, puan datanglah menenami dia, melihat dan memantau perilakunya. Setelah puan yakin, puan boleh meninggalkannya supaya dia merasakan dirinya tidak terlalu bergantung kepada puan.”
Salmah tidak terus menjawab.
“Puan, Umar sudah cukup dewasa. Selama ini, puan menjaga dan mengawal tindakannya sehingga dia menjadi tidak yakin pada dirinya sendiri.
“Percayalah puan, Umar mampu mengurus dan mengubah masa hadapanya. Umar tidak selamanya dapat bergantung harap kepada puan. Berilah dia peluang. Saya berjanji akan menjaga segala kebajikannya sepanjang dia bekerja di sini.”
Salmah tiba-tiba merasakan ada tangan yang memaut lengannya. Dia menoleh ke sisi. Umar mengangguk dengan wajah tanpa reaksi tapi matanya kelihatan bersinar
Mata Salmah pula yang kembali berkaca-kaca.
“Baiklah encik Zaki. Saya setuju.”
Zaki menguntum senyuman lebar.
“Tahniah, Umar. Mulai esok, awak boleh mula bekerja di sini.” Zaki bingkas bangun dan menghulur tangan kepada Umar.
Umar turut bangun dan menyambut huluran tangan Zaki. Mereka bergenggaman tangan dan mengoyangnya beberapa kali. Umar dilihat seperti menguntum secebis senyuman.
Salmah mengurut dada memerhati situasi itu. Dia terharu bercampur sebak kerana Umar dengan beraninya menjabat tangan orang yang baru sahaja dikenalinya. Ada sinar bahagia. – UTUSAN









