Bella berdiri di tepi jendela apartmen sewaannya, memandang renik-renik salji yang mula berguyuran. Sudah tiga bulan dia menyewa apartmen di lereng bukit di Basiktas. Ini bermakna dia sudah tiga bulan melanjutkan pengajian sarjana pendidikan di Yildiz University, Istanbul.
Salji pertama itu tidak dapat mengubat perasaannya kini. Khabar yang lewat di media sosial tentang banjir di kampung halaman benar-benar mengocak perasaan anak rantau itu. Khabarnya, banjir tahun ini lebih buruk berbanding banjir 2014.
Bella mengenakan busana musim dinginnya buat pertama kali. Dia turun dan menyusuri lorong kecil ke arah barat ketika cahaya neon mula terpasang. Begitulah rutinnya setiap petang. Dia akan menelusuri Lorong, menikmati pemandangan rumah-rumah di sekitar. Jika pada musim bunga, halaman rumah dipenuhi jalaran pohon anggur di atas tembok pagar. Kini, kebanyakan pohon yang berdaun jingga hampir gondol menyambut musim dingin.
Di tepi pantai di bawah bukit kecil yang menempatkan apartmennya, terdapat sebuah dataran yang bernama Ortakoy. Di situlah Bella menghabiskan masa. Makan malam dengan berbual di gerai-gerai pinggir jalan ala-Eropah. Ada sebuah masjid kecil menganjur ke Selat Bosphorus, tempat Bella menumpahkan kerinduan lewat doa dan solatnya.
Di setiap halaman itu, Bella tertarik dengan kucing-kucing peliharaan yang dibiarkan berada di luar rumah. Bekas-bekas makanan kucing berderet di sepanjang lorong. Ada yang penuh berisi dan ada yang kekosongan. Seringkali Bella mengisi ulang bekas-bekas yang kosong dengan makanan kucing yang dibawanya.
Begitulah kegemarannya. Kucing-kucing di Ortakoy benar-benar mengubat kerinduan terhadap Bubu dan Bambam, kucing peliharaan kesayangannya di kampung dahulu. Dua ekor kucing baka
Siam miliknya itu membawa seribu kenangan dalam hidupnya.
“Air dah naik!!” Teriak adik-adiknya setelah hujan tidak henti-henti sejak dua hari yang lalu. Ketika itu Bella balik bercuti seminggu sebelum peperiksaan akhir semester bermula.
Paras air meningkat dengan mendadak. Orang-orang kampung sudah ada yang mula mengemaskan barang-barang. Arahan pemindahan sudah disampaikan kepada semua penduduk.
Bella mula panik. Kalau boleh dia tidak mahu berpindah. Sejak beberapa tahun yang lalu rumah mereka tidak pernah terjejas. Kedudukan di lereng bukit yang sedikit tinggi menyebabkan rumah mereka selamat. Akan tetapi keadaan kali ini lain benar. Bandar Kuala Krai sudah ditenggelami air. Khabarnya Tangga Bradley tempat menyukat banjir Kuala Krai juga tidak kelihatan lagi. Tenggelam.
Arus banjir semakin deras. Rumah pusaka yang didiami Bella dengan adik-adiknya sudah tidak selamat.
“Cepat! Kita pindah!” adik-adik Bella mengaut apa-apa benda yang difikirkan penting. Sebentar lagi sampan pasukan penyelamat akan datang, kerana sebelum ini pun sudah berpuluh-puluh sampan keluar masuk untuk menyelamatkan mangsa di hujung kampung.
“Mana sangkar kucing?” tanya Bella kepada adik-adiknya. Semasa ketiadaannya ketika dia di kampus, adik-adiknyalah yang merawat kucing-kucing kesayangannya itu.
“Kita nak bawa kucing sekali ke?” tanya Seri, adik bongsu Bella.
“Habis, takkan kita nak tinggalkan…?” tanya Bella kembali. Entah mengapa Bella terlalu suka akan kucing. Selain Bubu dan Bambam, ada juga kucing-kucing jalanan yang dibawa balik untuk dirawat dan diberi makan.
Setelah bertungkus-lumus, akhirnya kucing-kucing montel Bella sedia untuk dibawa ke pusat pemindahan. Bellalah yang mengusung sangkar besi itu masuk ke sampan pasukan penyelamat.
Tubuhnya yang kecil menjadikan usaha membawa sangkar berisi dua ekor kucing itu kelihatan sangat sukar.
Hujan masih lebat. Banjir semakin memburuk. Banyak rumah dihanyutkan arus. Ada beberapa tragedi mangsa lemas. Ada yang diselamatkan pada saat-saat akhir. Ada yang berada di atas bumbung rumah sebelum pasukan penyelamat datang.
Akhirnya Bella tiba di pusat pemindahan. Wajah-wajah mangsa kelihatan sugul dan murung. Anak-anak kecil berlarian di pusat itu, tidak memahami situasi genting yang dialami barangkali.
Semua mata memandang apabila Bella terhegeh-hegeh mengusung sangkar kucing masuk ke dalam pusat pemindahan. Beg pakaiannya meloyot di belakang tubuhnya yang kuyup. Kucing-kucing comel itu kebasahan, menggigil di dalam sangkar besi. Kehadiran Bella dengan sangkar kucingnya menarik semua mata di pusat pemindahan banjir itu.
“Tak payahlah bawa kucing ke sini…” terdengar suara entah dari mana. Kata-kata itu diringi gumaman suara seakan-akan memberikan sokongan dari belakang. Bella seolah-olah tidak mendengar walaupun hatinya berasa sesuatu yang tidak enak.
“Busuklah pusat ini nanti…” terdengar suara lain pula memprotes. Bella tetap tidak mempedulikan. Baginya kucing itu sebahagian daripada hidupnya. Haiwan kesayangan yang dijaga dengan penuh kasih sayang.
Hari sudah lewat malam. Dia perlu mengurus diri dan adik-adiknya. Dan malam itu, tidurnya seperti tidak nyenyak. Kedinginan, kebisingan, suara-suara sumbang bersipongang menggetarkan gegendang telinganya. Bella tidak sedar pukul berapa dia terlelap.
“Kucing siapa ini…?” tiba-tiba terdengar keriuhan di dapur pusat pemindahan. Bella terbangun. Alangkah terkejutnya apabila mendapat Bubu dan Bambam tidak ada di dalam sangkar.
Barangkali ada budak-budak yang membuka sangkar itu. Dia bergegas bangun. Suara orang daripada dapur tadi mengumpan keinginan Bella untuk ke sana.
“Jangan pukul…!” jerit Bella ketika ternampak seorang lelaki sedang mengejar Bubu dengan batang penyapu. “Ini kucing saya…” tambah Bella.
“Kenapa kau bawa kucing sekali ke sini. Kau tengok apa atas beras itu!?” balas lelaki tukang masak pusat pemindahan itu.
Alangkah terkejutnya Bella melihat selonggok najis kucing di atas beras yang akan dimasak pagi itu. Bella terkedu. Barangkali sudah kebiasaan kucing-kucing menggunakan pasir ketika dikurung di rumah. Tukang masak itu masih memburu Bubu yang ketakutan. Kelibat Bambam tidak kelihatan. Bubu juga akhirnya menghilangkan diri entah ke mana.
Maka kecohlah seluruh pusat pemindahan itu dengan berita sensasi yang dicetuskan oleh kucing Bella. Tidak cukup dengan itu, ada gambar Bubu ditularkan. Semuanya tersebar dengan pantas.
Malah, wajah Bella turut ditularkan dalam media sosial.
Malu. Hanya itulah perasaan yang menyelubungi Bella luar dan dalam. Cemuhan demi cemuhan bermain di pendengaran Bella. Cerita-cerita tambahan turut beredar. Akhirnya, Bubu dan
Bambam tidak dapat dikesan di pusat pemindahan itu.
Bella mengongoi kesedihan akibat kehilangan kucingnya. Di manakah kucing-kucing itu membawa diri dalam keadaan banjir yang semakin memburuk? Bella jatuh sakit dan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas kejadian itu.
Air mata Bella menitis tanpa sedar. Tangannya masih mengusap kucing-kucing Ortakoy di sisi masjid kecil yang sering dikunjunginya. Dia menghabiskan masa terluangnya menyusuri lorong
Basiktas. Kucing-kucing itu membangkitkan ingatan, kerinduan, dan rasa bersalahnya terhadap Bubu dan Bambam.
Kini bencana banjir berulang kembali. Kampungnya di Kuala Krai sekali lagi ditenggelami air bah seperti 10 tahun yang lalu. Bezanya, kini dia berada jauh di perantauan. Sepuluh tahun yang lalu, universitinya menangguhkan peperiksaan akhir. Namun, akhirnya dia berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang pendidikan.
Setahun selepas itu, dia memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik. Setelah beberapa tahun bertugas Bella mendapat tajaan untuk melanjutkan Pelajaran peringkat sarjananya di Istanbul.
Memikirkan kejadian banjir di kampung halaman, Bella terasa ingin terbang pulang. Biarpun, ibu dan ayah sudah tidak ada lagi, adik-adiknya masih tinggal di rumah pusaka mereka. Setiap kali berasa tertekan, dia akan menyusuri lorong-lorong ke Pantai Ortakoy. Memerhatikan manusia yang memenuhi pinggir Selat Bosphorus, menikmati kumpir iaitu kentang bakar yang dimakan dengan jeruk zaitun, menghiburkan hari dengan melihat gelagat penjual aiskrim bergurau dengan pelanggan-pelanggan.
Uniknya, di bumi Turki itu terdapat banyak kucing dan anjing jalanan. Semuanya jinak-jinak dan comel. Penduduk memberi makan di setiap lorong, di depan rumah, di kaki lima kedai dan di mana-mana.
Malahan di Pantai Ortakoy itu ada mesin jualan makanan haiwan peliharaan secara layan diri. Bella yang menyukai kucing sudah tentu sering melepaskan kerinduannya terhadap Bubu dan
Bambam yang hilang dalam kejadian yang mengesankan hidupnya dahulu.
Hanya kucing-kucing yang berkeliaran di lorong-lorong Pantai Ortakoy itulah yang mengubat kerinduannya terhadap kampung halaman. Dia hanya duduk-duduk dan melihat sekeliling.
Kadang-kadang sempat bersolat Maghrib di masjid kecil di tepi selat itu. Selepas makan malam dia akan kembali ke apartmennya.
Petang itu, ketika senja mula jatuh di muka Selat Bosphorus, Bella ternampak kelibat dua ekor kucing berlari ke arah masjid.
“Bubu!! Bambam!!” jerit Bella sekuat tenaga. Semua pengunjung Pantai Ortakoy memandangnya tunak. Bella tunduk memekup muka dan menangis semahu-mahunya.- UTUSAN










