Hairul Bin Razak, kamu dijatuhi hukuman satu tahun penjara dan denda sebanyak RM50,000 setelah didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Alam Sekeliling 1974. Untuk kesalahan utama di bawah Seksyen 53a (1)(a) Akta Racun Makhluk Perosak, kamu dikenakan hukuman penjara satu tahun. Hukuman dijalankan serentak.
“Pap!…” palu hakim di ketuk tanda muktamad.
Sunyi yang memenuhi ruang mahkamah mula menyusup terbang keluar melalui celahan pintu dan tingkap. Tangisan dan teriakan berpusu-pusu mengambil alih ruang yang ditinggalkan kosong.
Wajah Hairul kelihatan seperti mega mendung yang sarat menahan hujan. Matanya hinggap ke muka isteri dan tiga anaknya di kerusi kayu panjang yang menempatkan orang awam. Wajah-wajah itu dulu ceria di hatinya kini turut berduka. Dan Hairul tunduk menjamah lantai penuh penyesalan.
7 Januari 2016
Ladang Sayur Jati Sdn. Bhd.
Ladang sayur-sayuran dan buah-buahan milik Hairul menghijau di hujung desa berhampiran pekan Behrang. Hairul, lelaki awal 40-an merupakan seorang bekas jurutera setelah menghabiskan pengajian peringkat ijazah muda di universiti.
Dia mula beralih kerjaya setelah diberikan sebidang tanah oleh bapanya kira-kira enam tahun yang lalu. Minatnya pada pertanian bukanlah baru saja bermula. Dari kecil lagi dia sudah bergelumang dengan tanah, parit, baja dan racun ketika membantu abangnya Azrul yang memiliki perniagaan pertanian, Hati kemas Sdn. Bhd. Sejak itu dia mula memperlajari selok belok menanam dan menjaga pokok buah, sayuran dan juga menternak kambing.
“Saya tengok awak punya ladang banyak cantik,” puji Ah Jie Goh, seorang peraih sayuran dari Tanjung Malim. Awak guna baja apa? Ah Jie Goh masih mengagumi tanaman di kebun Hairul.
“Baja biasa-biasa saja lah apek, mana ada yang special,” Hairul menjawab sambil menghulur sebatang rokok kepada Ah Jie Goh.
Namun, pelawaan Hairul hanya dijawab dengan isyarat kepala yang bergerak ke kiri dan kanan sebanyak dua kali, tanda tidak merokok.
“Tapi awak punya pokok banyak cantik, daun hijau tak ada lubang-lubang,” Ah Jie Goh kembali memuji. Dia amat hairan kerana tiada daun yang dimamah ulat. Hairul hanya tersenyum sambil menampakkan pagar-pagar kuning di batas gigi.
“Apek, minggu depan awak datang, saya mahu jual semua buah dan sayur.” Perasaan yakin mula membesar dan membiak di hati Hairul setelah melihat hasil tanamannya hampir masak dan matang. Hairul mencongak di dalam kepala, kemungkinan hasil tuaian tahun ini boleh mencecah hampir RM300,000. Berlipat kali ganda dengan tiga tahun lepas.
Manakan tidak, tiga tahun lepas dia kerugian hampir RM100,000 setelah hasil tanamannya diserang penyakit bawaan ulat daun dan serangga perosak. Hampir-hampir Hairul menjadi gila. Kereta
Wira kesayangan semasa bujang telah dijual untuk dijadikan modal. Tapi serangan ulat pula merencatkan perancangannya untuk menikmati hasil tanaman kebunnya.
“Okay, minggu depan saya mari angkut semua buah dan sayur.” Berlalu pergi lelaki berbangsa cina itu terhencut-hencut menyeret kakinya yang sebelah tempang, bersama terik matahari kian hilang di sebalik awan gempal di langit Behrang.
“Naz, Muadz, aku hendak kau berdua sembur guna racun Tengkorak. Biar mati semua ulat. Jangan ada seekor pun hinggap di atas tanaman dalam kebun ini.” Hairul nampak tegas memberi arahan kepada dua pekerja ladangnya.
“Ok bos.” Naz tersengih sambil mengangkat tong racun dari belakang kenderaan pacuan empat roda. Cuma Muadz melahirkan wajah yang sedikit tidak suka akan arahan bosnya. Namun tetap mematuhi seperti biasa. Muadz, remaja lepasan kolej pertanian amat mengenali racun-racun yang dibeli oleh tuannya.
Matahari mulai condong di Mukim Behrang, namun Naz dan Muadz masih menyembur racun-racun di ladang seluas sepuluh ekar.
“Naz, aku tak berapa setuju dengan bos sebab beli racun-racun ini.” Keluh Muadz sambil merebahkan punggung ke tepi batas.
Naz berhenti, “Kenapa pula? Racun-racun inikan bagus, tiada lagi serangga perosak menyerang ladang ini.” Kata-kata yang terpacul daripada kotak suara Naz seolah-olah cuba membenarkan perbuatan tuannya. Naz menjeling ke arah Muadz sambil meletakkan mesin penyembur racun ke tanah.
Kebun tanaman milik Hairul sudah lama sunyi. Sejak dua tahun kebelakangan ini, tiada lagi burung-burung singgah bertenggek di atas kayu dan pohon yang beranting di sini.
“Betul, memang dapat mengawal serangga tapi racun ni ada Endosulfan, ini yang mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar dan bahaya kepada manusia.” Penjelasan Muadz seperti angin lalu, tidak dipedulikan rakan baiknya itu. Naz bersandar pada tiang pancang yang menjadi penguat pada tali di batas sambil meneguk kopi o panas yang dibancuh oleh isterinya, Mazni.
“Negara kita dah bersetuju mengharamkan penggunaan racun yang ada Endosulfan ni. Kita dah tandatangan Konvensyen Stockholm,” Muadz menerangkan kembali apa yang dipelajarinya di dewan kuliah dahulu.
Mengikut kajian, kesan penggunaan racun terlarang itu terlalu besar pada semua, termasuk manusia.
“Kau tengok, tak ada seekor burung pun berani hinggap di kebun ini…kau tak rasa pelik?” Soal Muadz dengan nada yang agak tegas. Mulutnya muncung ke arah sayur-sayur yang menghijau.
“Betapa kuat bahan kimia dalam racun ini sampai seekor ulat pun dah tak jejak di atas daun itu.” Muadz teringat kembali kisah-kisah kesan racun kepada alam sekitar menerusi buku Silent Spring tulisan Rachel Carson.
“Ahhh… Itu semua kajian orang putih, tidak nampak pun orang Malaysia yang mati makan sayur dari kebun ini.” Kali ini Naz seperti melepaskan segala kata-kata yang terlintas di hatinya seperti limpahan kepala air musim banjir.
“Tiga tahun dah bos suruh kita racun pakai racun tengkorak ni, tengok… aku sihat, kau sihat saja…” Matanya hinggap pada hijau daun-daun yang bergayut pada ranting dan batang pokok.
“Hari-hari keluarga kita makan sayur dari kebun ini,” ujar Naz.
24 Jun 2016
Kampung Gangsa, Behrang
Selesai menggadai peluh di kebun milik Hairul, Naz pulang membawa sedikit bayam, sawi dan kacang panjang. Semuanya dari kebun milik Hairul. Ini adalah sedikit rezeki yang dikongsi kepada pekerja. Walau sedikit namun memberi kelegaan kepada Naz dan Mazni, isteri yang beliau kahwini kira-kira dua tahun lalu.
“Mazni, ini ada sedikit sayur, masaklah untuk esok lusa.” Seperti biasa, sayur-sayur itu memang menjadi kegemaran Mazni, tambah-tambah kacang panjang. Kadang-kadang dijadikan ulam, terus dimakan bersama sambal belacan campur bacang.
“Organochlorine – Agen Oren yang terdiri dari DDT, landrin, Endosulfan…” tajuk rencana yang tertulis di dada majalah.
“Dahsyat betul, peperangan pun pakai senjata kimia?” Monolog Naz ketika membelek helaian majalah di ruang tamu dengan kipas yang berputar laju ketika pijar mentari seperti menguasai udara di dalam rumahnya. Musim hujan baru saja berlalu dan musim panas mula bertandang di pantai barat semenanjung Malaysia, termasuk di pekan Behrang.
“Khusyuk belek majalah…cerita perang ke tu?” Mazni sudah mengagak, suaminya memang suka membaca kisah-kisah perang.
“Aah, ni rencana tentang Perang Vietnam, tentera guna bahan kimia untuk putuskan bekalan makanan kepada musuh,” jawab Naz yang pernah bercita-cita menjadi pegawai tentera namun gagal dalam pemilihan kerana masalah berat badan.
“Ngeri pula baca kisah ini, ada yang tiga keturunan terkesan akibat kesan buruk senjata kimia Organochlorine ini,” sambung Naz sambil matanya menjeling pada meja makan. Bau lauk pauk yang dimasak oleh Mazni menusuk ke dalam rongga hidung dan menggoda nafsu laparnya dengan penuh rakus.
12 Disember 2016
Ladang Sayur Jati Sdn. Bhd.
“Muadz, kau tahu apa penyakit Mazni, isteri Naz?” Tanya Hairul ketika memeriksa sayuran yang telah dituai oleh pekerjanya.
Awal pagi Naz telah menghubungi Hairul dengan nada yang kurang ceria. Naz memohon cuti satu hari kerana pihak hospital menyuruh dia dan isteri berjumpa dengan doktor pakar mengenai masalah kesihatan yang dialami oleh Mazni.
“Katanya, Mazni kerap demam, muntah-muntah, kadang-kadang sampai pengsan.” Balas Muadz dengan mukanya masih mengadap bakul-bakul sayuran sambil tangan memilih sayuran untuk diagihkan kepada peraih.
Bilik pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Daerah Muallim, Perak seperti kuburan. Hanya detik jam kedengaran. Naz Dan Mazni terdiam setelah doktor mengesahkan kedua buah pinggang isterinya 70 peratus sudah rosak.
“Melalui ujian klinikal dibuat, terdapat unsur bahan kimia yang tinggi di dalam buah pinggang isteri kamu.” Naz hanya menadah telinga. Namun keterangan doktor seperti bilah-bilah pisau yang menusuk hatinya. Luka teruk yang tidak berdarah, namun mengalirkan adalah air mata.
“Mengikut statistik, penduduk di daerah Muallim, terutama di kawasan encik dan isteri tinggal telah mengalami penyakit kerosakan buah pinggang yang tinggi secara mendadak dalam tempoh dua tahun ini.
“Ia seperti unsur yang terdapat di dalam racun serangga perosak atau dikelaskan di dalam kumpulan Organochlorine,” Doktor menunjukkan kertas risalah dari Jabatan Pertanian dan Jabatan Alam Sekitar tentang pengharaman penggunaan racun serangga perosak kepada Naz dan Mazni.
Mata mereka galak mengecam jenama di tong racun. Naz menelan air liur. Manik-manik gelisah mula lahir di dahi dan wajahnya seperti bulat embun di hujung rumput. Gelisah menanti dibakar pijar mentari.
“Ini racun yang bos saya beri untuk saya guna di kebun,” suara Naz makin terketar-ketar, dan dadanya berombak kencang seperti ada sesuatu yang menggocak di jiwa.
13 Disember 2016
Ladang Sayuran Jati Sdn Bhd
Serbuk jingga bertebaran di kebun. Sunyi lebih didengar berbanding suara alam. Muadz sedang mengangkat pam racun dari setor. Pemilik ladang, Hairul baru sahaja sampai. Masih di dalam pejabat diperbuat daripada kontena.
“Selamat pagi, boleh saya berjumpa dengan Encik Hairul Bin Razak? Kelihatan tiga orang berpakaian kemas mengucap salam di hadapan pintu kaca pejabat kontena.
“Ya tuan, saya Hairul, tuan dari mana? Hairul kelihatan sedikit kebingungan. Jarang orang berpakaian kemas datang ke kebunnya.
Terakhir kali pun kira-kira enam tahun lalu ketika dia memohon bantuan pinjaman dari Jabatan Pertanian. Selepas gagal, tiada lagi pegawai datang melawat ke kebunnya lagi.
Kini tiga pegawai pertanian menggeledah setor dan bangsal kebun. Tong-tong yang berlambang tengkorak manusia bergelimpangan di belakang bangsal. Ada yang tidak tertutup, ada yang terbalik. Kelihatan sisa racun tumpah ke tanah yang tidak dilitupi hijau rumput dan mengalir ke alur air.
12 Oktober 2019
Mahkamah Tinggi, Daerah Mualim
Longgokan tong racun yang tidak diuruskan seperti mana di dalam peraturan Bahan Terjadual 2005, Akta Alam Sekeliling 1974 menjadi bahan bukti kesalahan yang telah Hairul lakukan. Paling utama, dia telah melakukan kesalahan di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 dengan memiliki dan menggunakan racun tengkorak yang telah diharamkan di negara ini.
Hakim dengan tegas dan adil menjatuhkan hukuman terhadap Hairul.
“Hairul, kamu sedar tak kemewahan yang kamu cari dengan cara yang salah telah membawa kamu ke pintu besi.
“Saya berharap kamu mengambil iktibar daripada kesalahan ini. Dan saya percaya kamu akan menjadi manusia yang lebih baik,” Pesan hakim dengan penuh hikmah.
“Ya Allah, aku zalim,” Hairul menadah tangan dan berdoa pada yang Esa. Mahkamah bersurai. –UTUSAN










