Nyamuk

Nyamuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kau baru sahaja hendak melelapkan mata sewaktu liang pendengaran kau menangkap bunyi dengungan seekor nyamuk yang halus dan tajam. Namun demikian, bunyi dengungan itu lenyap begitu sahaja sewaktu serangga itu mendarat di leher kau. Kau cepat-cepat menamparnya tatkala terasa ada tusukan tajam mulai menembusi pangkal leher kau.

“Mampus kau!” Kau menyeranah dengan suara kuat sambil melihat bangkai serangga itu hancur di tapak tangan kau. Namun lontaran suara kau itu tidak mampu mengejutkan isteri kau yang sedang berdengkur. Barangkali dia sedang enak dibuai mimpi.

Kau mengiringkan tubuh ke kanan. Pandangan mata kau tertumpu pada tubuhnya yang terlentang dengan mulut sedikit ternganga. Dalam mata kau, tubuh yang besar gedabak itu tak ubah bagai seekor anak gajah kekenyangan. Tidak lagi genit sebagaimana sewaktu baru mengahwininya dahulu. Beberapa detik kemudian, kelopak mata kau terasa amat berat sekali. Kau pun terlena.

Kau terbangun dari tidur sewaktu liang pendengaran kau kembali menangkap bunyi dengungan nyamuk yang halus dan tajam. Kau menggosok-gosok mata lalu menumpahkan pandangan pada jam yang tergantung pada dinding. Jam yang cantik yang kau beli sewaktu melancong di Switzerland itu sedang menunjukkan pukul tiga pagi. Kau berasa amat marah, geram dan terganggu.

Apatah lagi, kali ini bunyi dengungan nyamuk itu datang dari pelbagai hala: kiri, kanan, atas, bawah katil dan hujung kaki. Kau pun membuat kesimpulan bahawa yang sedang mengganggu kedamaian tidur kau kali ini bukan lagi seekor tetapi sekawan nyamuk. Berebut-rebut pula serangga itu mendarat pada mana-mana bahagian tubuh kau yang terdedah: telinga, hidung, dahi, lengan, betis dan hujung kaki.

Bahkan turut mendarat di atas perut gendut kau yang terdedah. Sebaik-baik sahaja mendarat, nyamuk-nyamuk itu segera menujahkan jarumnya tajam lalu menyedut darah kau dengan rakus sekali. Kau pun menampar nyamuk-nyamuk itu dengan rasa marah dan geram. Dan setiap kali kau melepaskan tamparan, kau mengiringi kematian nyamuk-nyamuk itu dengan maki hamun dan sumpah seranah.

Kau sebenarnya dilanda perasaan hairan yang teramat. Kau merasakan hawa pada malam itu terlalu panas lagi merimaskan. Padahal kamar tidur kau itu sentiasa dihembus udara dingin pada tahap maksimum daripada alat pendingin hawa yang besar kuasa kudanya. Yang peliknya, isteri kau tidur berselimut penuh, menandakan dia tidak pun merasakan hawa panas dan rimas seperti kau.
“Hei, bangun, bangun!” kau melepaskan suara keras sambil menepuk-nepuk punggung isteri kau yang besar dan padat dengan isi itu.
“Awak dah kenapa ganggu saya tengah-tengah malam buta ini?” Isteri kau menguak kelopak mata, berasa tidak selesa punggungnya ditepuk keras berulang kali.
“Nyamuk!” Jawab kau ringkas.
“Nyamuk?”
“Hmm.”
“Mana ada nyamuk? Saya tak kena gigit pun. Lagipun. rumah kita bersih. Rumah kita di tepi padang. Luas dan lapang. Sentiasa ada angin kuat bertiup. Mana ada nyamuk yang dapat bertahan?”
“Habis, yang gigit badan saya sampai bintat-bintat ini, apa? Takkan belalang pula!” Kau mula naik darah. Tubuh kau terasa kian panas dan membahang.
Isteri kau kehilangan kata. Dia menggosok-gosok kelopak mata yang masih berat untuk dibuka.
“Pergi ambil Ridsect, Bygon atau apa-apa saja. Sembur serata bilik. Biar nyamuk-nyamuk itu mampus!” Kau mengeluarkan arahan keras.
“Di rumah kita ini, mana ada simpan benda-benda itu lagi. Rumah kita sudah lama tidak diserang serangga. Lalat, lipas semua sudah tidak nampak bayang. Nyamuk lagilah tiada. Rumah kita sentiasa bersih. Pak Abu tukang kebun kita itu pun sentiasa pastikan tak ada air bertakung,” isteri kau berceloteh panjang lebar.
Kau terdiam. Mengerah seluruh akal fikiran untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Akhirnya, kau dapat satu akal. Kau segera mencapai kunci kereta mewah yang tergelak di atas meja di tepi tingkap. Kau bergegas menuruni tangga untuk ke tingkat bawah banglo mewah yang tersergam megah di puncak bukit itu. Pantas kau melangkah ke garaj yang dipenuhi deretan kereta mewah milik kau. Pantas juga kau masuk ke dalam kereta Honda Acura, mengunci pintu kereta itu, menghidupkan enjin dan penyaman udara. Tidak lama kemudian, kau pun terlena di tempat duduk pemandu.
Kau hanya tersedar tatkala mendengar bunyi ketukan kuat pada cermin kereta. Kau melihat mulut isteri kau kumat-kamit berkata sesuatu. Sesekali hujung jari-jemari tangan kanannya dikuncupkan dan disuakan ke mulut, menghantar isyarat mengajak kau bersarapan.
Di meja makan, kau dilanda perasaan hairan sekali lagi. Sekawan nyamuk berlegar-legar di sekeliling kau sambil mengeluarkan bunyi yang menyakitkan liang pendengaran. Sedangkan isteri dan anak-anak kau langsung tidak diganggu. Kau berasa amat tidak selesa dan terganggu kerana sambil mengunyah makanan atau menghirup minuman, kau terpaksa menepis dan menampar-nampar kawanan nyamuk yang ingin menghisap darah kau. Kau juga terpaksa menggaru-garu tubuh kau yang dipenuhi bintat dan terasa sangat gatal.
“Serangga bodoh, bahalul!” Kau menyeranah penuh geram dalam hati. “Bukankah tubuh aku ini kurus kering saja, macam cicak kubin? Pergilah serbu tubuh bini aku tu. Badannya yang besar gedabak macam anak gajah, tentu banyak darah!”
“Barangkali darah awak itu manis, bang. Sebab itu, nyamuk suka. Tak macam darah saya. Agaknya, darah saya ini kelat dan pahit,” tiba-tiba isteri kau bersuara, menyebabkan kau terkejut besar. Isteri kau seolah-olah dapat membaca detikan hati kau sebentar tadi.
Malam-malam berikutnya, kau terus dihimpit masalah sama. Kau terus dihurung oleh kawanan nyamuk. Padahal kau telah menyembur seluruh ruang rumah dengan Ridsect. Kau juga menyalakan berpuluh-puluh lingkaran ubat nyamuk yang kau letakkan di serata ruang sehingga isteri kau membebel. Berasa amat tidak selesa kerana terpaksa menyedut gumpalan asap yang banyak. Kini kau berasa tiada ruang selamat dan selesa lagi buat kau. Kau cuba tidur di dalam kereta yang ditutup rapat. Namun entah bagaimana dan dari mana, nyamuk-nyamuk itu dapat juga menyusup masuk untuk mengganggu ketenteraman hidup kau.
‘Hairan sungguh. Mengapa aku seorang saja yang diserang nyamuk? Mengapa orang lain tak diusik?’ Kau menyoal dalam diri. Namun kau masih tak menemukan jawapan.
Esoknya, kau sampai di ladang ternakan ayam milik kau dalam keadaan mengantuk. Ladang ternakan itu letaknya di kawasan yang terpencil supaya tidak mengganggu keselesaan penduduk. Sudah bertahun-tahun kau mengusahakannya. Kau mengaut untung sebanyak-banyaknya dan sepuas-puasnya di tanah milik kerajaan yang kau teroka secara haram itu. Bahkan bukan di kawasan itu sahaja.
Di suatu kawasan lain, kau turut meneroka kawasan tanah milik pihak berkuasa secara haram jua. Kau jadikannya kebun sayur yang luas. Beberapa rakan kau yang tahu akan perlakuan buruk kau itu pernah mengingatkan agar menghentikan perbuatan tidak beretika itu. Kau hanya mentertawakan mereka.
Kau tahu, jika perlakuan kau dapat dihidu pihak berkuasa sekalipun, kau cuma perlu menghentikan segala aktiviti dengan serta-merta dan berdiam diri. Kata orang, buat bodoh sahaja. Rugi? Oh, tidak. Kau mencipta kekayaan luar biasa setelah bertahun-tahun melakukannya.
Ketibaan kau pada pagi yang redup itu, disambut oleh lima pekerja kau dengan tikaman mata penuh pengharapan.
“Kami butuh uang, pak,” seorang daripada pekerja kau bersuara.
“Tolong kami, pak. Keluarga saya udah putus belanja,” tokok seorang pekerja kau lagi.
“Kamu semua tak boleh bersabarkah? Nanti aku bayarlah. Sudah, pergi kutip telur. Sekejap lagi, lori sampai. Kemudian bersihkan reban!” Kau membalas dengan nada suara tinggi dan keras. Pada masa sama, kedua-dua tangan kau menepuk-nepuk seluruh tubuh kau yang terus-terusan dihinggapi nyamuk. Sambil menepuk, kau menggaru-garu pula seluruh tubuh kau yang dipenuhi bintat yang sangat gatal.
“Pokoknya…”
“Tak ada pokok-pokok. Aku suruh kutip telur, bukan suruh tanam pokok!” kau memintas percakapan pekerja kau yang lain.
“Tapi, kapan bapak mau bayar uang kami? Udah delapan bulan begini, pak.”
“Tak habis-habis dengan kapan, kapan, kapan. Nanti aku bungkus kamu semua dengan kain kapan, baru tahu. Ingat, kamu semua datang ke sini hendak cari makan, bukan? Jadi, kerja elok-elok. Sudah, pergi kutip semua telur sekarang juga. Kali ini jangan sampai telur-telur aku pecah lagi walaupun sebiji!” Nada suara kau tetap tinggi dan keras. Kau berada di puncak kemarahan.
“Loh…, masakan telur bapak bisa pecah. Yang pecah telur ayam, bukan telurnya bapak.”
Perasaan kau bercampur antara geram dan marah. Terasa hendak tergelak juga. Tetapi kau berusaha untuk menahannya. Kau tidak mahu memberi muka langsung kepada pekerja kau.
Agak lama juga kau tercegat berdiri, memerhatikan pekerja-pekerja kau itu menyempurnakan segala arahan kau. Tiada sekelumit simpati pun tersemat di hati kau. Kau tahu, mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka semua pendatang asing tanpa izin yang kau seludup masuk ke negara ini secara rahsia.
Tiba-tiba kau terasa bahu kau ditepuk dari belakang. Kau berpaling serta-merta. Kau hampir terpekik. Seorang lelaki berjubah putih, berserban, berjanggut tebal serta berjambang tercegat di hadapan kau. Wajahnya tampak bersih dan tenang.
“Er,” kau tergamam. Fikiran kau ligat memikirkan kehadirannya di kawasan yang sunyi, terpencil dan dikelilingi hutan simpan pula.
“Tuan tampak murung dan gelisah. Tergaru-garu juga seperti kera kena belacan,” lembut sekali bicara lelaki yang muncul secara tiba-tiba itu.
“Kehidupan saya amat terganggu. Nyamuk di mana-mana. Di rumah, di tempat kerja, bahkan di dalam kereta. Saya digigit tanpa henti baik siang mahupun malam. Setiap masa, darah saya hendak dihisap. Yang peliknya, isteri dan anak-anak saya tidak diusik pula,” kau berkata jujur.
“Barangkali ada yang tidak beres dalam kehidupan tuan.”
“Maksudnya?”
“Barangkali tuan juga seorang penghisap darah…”
“Hei!” Kau meradang. Spontan pula kau menggenggam penumbuk tangan kanan.
“Tuan dan nyamuk-nyamuk itu tidak ada bezanya. Sama-sama mencuri darah, penghisap darah!” Kali ini nada suara lelaki berjubah putih itu amat tegas sekali. Pandangan matanya bersinar dan tajam menikam ke dalam mata kau.
“Apa maksud kata-katamu ini, wahai orang tua yang tidak kukenali?” Nada suara engkau juga sangat keras.
“Lihatlah pekerja-pekerja tuan itu. Tubuhnya kurus kering. Mereka cukup menderita. Tuan sedang menghisap darahnya.”
“Mereka pendatang asing tanpa izin…”
“Benar, tetapi tuan ambil kesempatan untuk mempergunakan mereka.”
“Saya masih tak mengerti!”
“Tuan akan mengerti sekiranya tuan bertanyakan hati nurani tuan dengan jujur.”
Kau tertunduk.
“Yakinlah, kesulitan yang tuan alami ini barangkali suatu peringatan daripada Tuhan. Dan hanya Dia saja yang dapat menghapuskan kesulitan tuan ini. Jadi, usah bertangguh lagi. Kembalikan hak pekerja-pekerja tuan itu. Mereka sedang teraniaya.”
“Isteri dan anak-anak saya tidak pula…,” Entah mengapa, kau ingin mengulangi kalimat yang telah pun kau lontarkan sebelum ini.
“Mereka tidak bersalah. Tuan pandai merahsiakan pernindasan yang tuan lakukan daripada pengetahuan mereka, bukan?” Lelaki berjubah putih, berserban, berjanggut tebal serta berjambang itu memintas kata-kata kau.
Kau terkedu, kehilangan kata-kata. Kau tertunduk lesu. Pada masa sama, kau semakin banyak serangga itu menyerbu dan menghinggapi tubuh kau.
Saat kau mengangkat kepala beberapa detik kemudian, kau tidak lagi melihat kelibat lelaki berjubah putih, berserban, berjanggut tebal serta berjambang itu. Kau dilanda kehairanan yang teramat. Bingung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×