KUALA LUMPUR: Soka Gakkai Malaysia (SGM) dengan kerjasama Satu: Creative Collective akan menganjurkan sebuah pameran berkumpulan dinamik bertemakan ‘Harmoni: Warna & Jalinan’ bermula 23 Mei hingga 28 Jun ini.
Pameran itu bakal menampilkan karya enam seniman negara iaitu Ady Ezwan Nordin, Elias Yamani Ismail, Faizal Suhif, Fakir Md. Noor, Mohd Nizam Radzaly dan Nik Mohd Husyaidie.
Acara yang akan berlangsung di Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia itu merupakan pameran kali ke-25 yang turut meraikan ulang tahun ke-25 penubuhan wisma berkenaan yang merupakan sebuah mercu tanda budaya di ibu kota yang giat mempromosikan seni, budaya dan dialog.
“Pameran itu berteraskan konsep mélange, iaitu gabungan pelbagai idea, gaya, bahan dan pengaruh budaya untuk menghasilkan ekspresi seni yang baharu dan bermakna.
“Melalui kepelbagaian teknik dan media, pameran ini mengetengahkan karya yang berlapis, diperkaya dengan naratif peribadi, eksperimen visual serta refleksi terhadap persekitaran dan pengalaman hidup para pengkarya.
“Setiap pengkarya menampilkan suara dan pendekatan tersendiri, namun secara kolektif membentuk satu dialog yang mencerminkan kepelbagaian dan kekayaan landskap seni kontemporari Malaysia.
“Warna, bentuk dan tekstur dalam karya-karya ini bukan sekadar elemen visual, tetapi turut berfungsi sebagai medium penceritaan, ekspresi identiti dan resonans emosi,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Dengan mengangkat semangat mélange, pameran itu mengajak para pengunjung untuk menghayati seni sebagai satu proses hidup yang terbentuk melalui interaksi, eksperimen dan kesatuan kreatif.
Pameran itu meraikan kepelbagaian bukan sebagai perbezaan yang memisahkan tetapi sebagai kekuatan yang menyatukan serta mencetuskan sinergi kreatif.
Pameran akan dibuka pada setiap hari bermula dari pukul 11:00 pagi hingga 5:00 petang, kecuali ditutup pada Isnin. Masuk adalah percuma.
Pelbagai program pendidikan akan dianjurkan termasuk sesi khas bersama Sasterawan Negara, ceramah seni, perbincangan meja bulat serta bengkel cetakan dan seni potongan kertas.









