KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mendedahkan kerja-kerja tanah melibatkan Pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) naik kepada RM14 juta.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia merangkumi rawatan dan kerja-kerja tanah di kawasan berkenaan.
Katanya, sebelum ini kos tersebut dianggarkan sekitar RM8 juta hingga RM12 juta.
“Rawatan tanah ini bertujuan memastikan kawasan tersebut stabil dan kukuh. Kerja-kerja tanah merangkumi sistem saliran, tambun serta penggantian tanah asal kepada yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, kos perbelanjaan untuk projek tersebut masih lagi terkawal.
Utusan Malaysia pada 12 Mac 2023 lalu melaporkan, pembinaan projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bernilai RM64 juta di Mukim Pendek akan dimulakan dalam tempoh terdekat.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek yang dibangunkan sebagai kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di atas kawasan seluas 2.02 hektar itu dijangka siap pada 2026.-UTUSAN










