Sami ditahan 'songlap' derma kuil lebih RM38 juta

Sami ditahan ‘songlap’ derma kuil lebih RM38 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang sami kerana didakwa menyeleweng dana lebih AS$9 juta daripada sebuah kuil Buddha terkenal, yang dibiayai melalui derma penganut.

Penyiasat dari Biro Siasatan Pusat (CIB) menuduh Phra Thammachiranuwat dari Wat Rai Khing memindahkan lebih 300 juta baht (RM38.4 juta) daripada akaun bank kuil ke akaun peribadinya.

Penyiasat mengesan dana dari kuil yang terletak di pinggir barat Bangkok itu disalurkan ke rangkaian perjudian dalam talian haram yang menjalankan permainan kad bakarat, menurut media tempatan.

Kuil-kuil di Thailand, negara majoriti penganut Buddha, amat bergantung kepada pendapatan daripada upacara ‘membuat kebajikan’, di mana mereka penganut memberi sumbangan dengan harapan memperoleh tuah dan kelahiran semula yang lebih baik.

Timbalan Pesuruhjaya CIB, Jaroonkiat Pankaew berkata, Thammachiranuwat didakwa atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

“Tindakan (penahanan) ini adalah untuk memurnikan agama kita,” katanya.

Pihak berkuasa turut menahan seorang lagi suspek dan menyiasat kemungkinan terdapat individu lain terlibat.

Wat Rai Khing, dipercayai diasaskan pada 1851, menempatkan replika tapak kaki Buddha.

Penahanan itu juga mencetuskan reaksi meluas di media sosial.– AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN