PETALING JAYA: Keanggotaan Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menjadi titik permulaan dalam memberi amaran keras kepada rejim Zionis yang melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, Palestin boleh membuat aduan kepada PBB secara langsung apabila negara itu menjadi anggota penuh.
Menurutnya, ini kerana setiap ahli mempunyai hak dan keistimewaan yang termaktub dalam piagam PBB.
Katanya lagi, keanggotaan penuh Palestin dalan PBB akan menjadi langkah permulaan untuk memberhentikan penindasan Israel.
“Lebih banyak perkhidmatan sokongan di bawah PBB boleh diakses oleh Palestin tanpa melalui Israel kerana sebelum ini, Palestin dilihat sebagai satu wilayah yang ditakluki Israel.
“Palestin juga boleh mencadangkan pelbagai resolusi di PBB dan memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) serta mendapatkan perlindungan daripada serangan Israel.
“Ini akan memberikan amaran kepada Israel bahawa mereka tidak boleh membuat sesuatu perkara sewenang-wenangnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) meluluskan resolusi untuk mempertimbangkan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai badan dunia itu.
Resolusi itu diluluskan dengan 143 negara mengundi menyokong, sembilan menentang dan 25 berkecuali.
Teks yang dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyeru Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mempertimbangkan semula perkara itu dengan baik.
Draf itu menyatakan Palestin layak untuk menjadi ahli PBB mengikut Perkara 4 Piagam PBB dan harus diterima masuk sebagai ahli.
Jismi Johari berkata, umat Islam jangan sesekali lupa atau mengalihkan perhatian ke Rafah kerana Israel semakin berani menyerang orang awam di sana.
“Dari segi teknikal, persempadanan Palestin dan Israel perlu dikenal pasti. Pada 1967, peristiwa Nakba menyaksikan rejim Zionis mengusir lebih 350,000 rakyat Palestin.
“Sejak itu, penempatan haram dibina atas tanah-tanah rakyat Palestin dan didaftarkan sebagai wilayah Israel,” katanya. – UTUSAN










