Lagu malar segar hari raya gamit nostalgia - Utusan Malaysia

Lagu malar segar hari raya gamit nostalgia

Black Dog Bone popular dengan lagu Cahaya Aidilfitri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sambutan Aidilfitri pada setiap tahun bagaikan hambar sekiranya tanpa alunan lagu-lagu raya yang menghinggapi gegendang telinga kita. Di antara lagu raya yang sering bergema di corong radio adalah lagu-lagu klasik era silam. Lagu ini tetap menjadi pilihan kerana iramanya malar segar serta keindahan liriknya selain terakam nostalgia lampau.
Meskipun pada setiap era dan zaman, ada sahaja lagu raya dirakamkan oleh penyanyi yang muncul silih berganti, lagu-lagu klasik era 70-an hingga 90-an tetap menjadi siulan dan digemari ramai.
Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya bagaimana lagu-lagu lama sebegini mampu bertahan dalam kancah hiburan tanah air yang mempunyai selera pendengar yang berbeza.
Di antara lagu klasik raya yang paling lama bertahan dalam arena hiburan tanah air adalah Dendang Perantau nyanyian seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Kekuatan dan keistimewaan lagu irama sentimental yang ditulis oleh S.Sudarmaji ini bukan sahaja iramanya yang mendayu-dayu tetapi liriknya puitis dan penuh dengan estetika seni meruntun jiwa.
Hal ini dapat diperhatikan daripada judul lagu ini yang mempunyai manifestasi konsep merantau bagi anak-anak desa mencari kerja di kota. Maka, apabila menjelang hari raya kesayuan perantau yang tidak dapat pulang bertemu keluarga diluahkan melalui lagu ini. Perhatikan bait-bait lirik yang sangat menyentuh perasaan ini diluahkan oleh seniman agung kesayangan ramai ini.

Di hari raya
Terkenang daku pada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana
Ayah serta bondaku.

Sudah tentu mereka yang tidak dapat pulang ke kampung kerana tugasan akan mengimbau kenangan terhadap suasana desa. Hal ini disentuh melalui bait-bait berbunyi:-

Di tepian mandi
Danauku hijau yang damai selalu
Nun di sanalah tempatku bertemu
Aku dan dia.

Lagu yang dirakamkan pada 1950-an dengan irama daripada muzik orkestra ini meskipun sudah berusia lebih separuh abad tetapi melodinya yang meruntun kalbu tetap malar segar menjadi siulan ramai.
Bayangkan lagu ini diputarkan di pagi raya hingga menyebabkan ribuan perantau yang tidak berkesempatan pulang ke desa akan menitiskan air mata kesedihan. Pada akhir lirik, ada ungkapan yang lebih menyentuh perasaan:-

Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang-kenangan
Hanya rangkaian kata dengan lagu
Dendang perantau

Satu lagi lagu hari raya pada era silam yang memberi impak besar kepada emosi pendengar adalah nyanyian Black Dog Bone iaitu Cahaya Aidilfitri. Mendengar irama awalnya sudah cukup menyentuh kalbu hingga tidak disedari air mata mengalir di pipi.

Bila tiba hari raya
Semua insan bergembira
Tetapi bagiku hanya kesedihan
Yang menyelubungi hidup

Lirik ciptaan S. Atan pada 1981 dengan sentuhan irama rock ini dianggap sebagai antara lagu raya yang begitu memberi kesan kepada peminat khususnya yang tidak bernasib baik. Bagaimana perasaan seorang anak yatim piatu yang baru kematian ibu bapa untuk menyambut hari raya dijelaskan melalui bait-bait lirik yang meruntun kalbu.

Ayah dan juga ibuku
Telah pergi selamanya
Terbiarlah aku ibarat musafir
Yang haus di padang pasir.

Sebagaimana lagu Dendang Perantau yang memfokuskan kepada musafir atau perantau di hari raya, begitulah juga lagu Black Dog Bone ini yang turut sama menelusuri liku hidup anak yatim yang perlukan pembelaan dan perhatian daripada banyak pihak.

Siapakah yang sudi
Menghulurkan simpati
Kepada nasibku ini
Agar dapat kurasa
Nikmatnya hari raya
Seperti insan yang lain

Black Dog Bone melalui wadah lagu Cahaya Aidilfitri ingin menyarankan kepada semua agar sentiasa membantu insan terpinggir seperti anak yatim, golongan fakir dan gelandangan demi memastikan nasib dan keperluan mereka terbela terutama menjelang hari raya.
Bagi peminat lagu raya yang suka irama pop dengan melodi rancak, sudah tentu Suatu Hari di Hari Raya hasil sentuhan Dato M. Nasir dianggap sebagai wajib ada pada Aidilfitri.
Lagu yang dirakamkan pada 2013 ini adalah karya yang mempunyai lirik yang penuh nilai estetika, falsafah dan berciri kesufian. Hal ini dapat diperhatikan pada bait-bait dari awal hingga akhir.

Suatu hari di hari raya
Kulihat cahaya bersinar indah
Langit cemerlang tak terkira
Tanda kuasa yang Maha Esa
Memberi nikmat pada manusia.

Sudah tentu bagi insan yang beribadat sepanjang Ramadan, anugerah hari raya merupakan nikmat tidak terkira. Justeru, tiada lain yang perlu diucapkan sesudah berjaya menjalani ibadah puasa selain rasa kesyukuran dikurnia dengan sambutan Syawal yang indah.

Suatu hari di hari raya
Kudengar irama yang sungguh indah
Kucuba mendekati padanya
Kira irama itu adalah
Suara pujian pada Yang Esa.

Sebagai hamba, meraikan hari raya dengan bertasbih dan bertahmid adalah cara terbaik memuji Ilahi. Lagu bersifat kerohanian ini meski dalam melodi rancak tetap menginterpretasikan umat untuk kembali ke jalan benar iaitu bertakwa kepada Allah serta menginsafi kekhilafan silam. Inilah disampaikan dalam lirik terakhir Suatu Hari di Hari Raya.

Suatu hari di hari raya
Aku menangis tanda gembira
Aku menangis tandaku cinta kepada-Nya.

Irama malar segar yang tidak jemu didengar selain bait-bait lirik yang puitis dan romantis pasti menzahirkan kerinduan betapa kemeriahan sambutan hari raya yang semakin kurang berseri dan sedikit terencat kemeriahannya dari setahun ke setahun. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.