Pekhidmatan itu menjanjikan penyelesaian digital tanpa sempadan yang lancar untuk pasaran di Malaysia.

i-Solutions mensasarkan dua segmen pasaran utama iaitu syarikat telekomunikasi tempatan, penyedia perkhidmatan internet dan operator pasaran serta pelanggan perniagaan merentasi semua industri.

Pengarah Urusan CMI Malaysia, Hew Chee Chung yang melancarkan perkhidmatan itu berkata, sebagai permulaan, CMI akan memperkenalkan i-Solutions kepada sektor kerajaaan, peruncitan dan sektor pendidikan.

Jelas beliau, dengan memanfaatkan rangkaian infrastruktur China Mobile yang luas di China, serta pelaburan berterusan di peringkat global menerusi sistem kabel bawah laut dan membina platform kesinambungan untuk persekitaran multi cloud membolehkan syarikat dari kedua-dua segmen memiliki akses yang luas dari segi kualiti, perkhidmatan dan kos yang kompetitif.

Chee Chung berkata, komuniti perniagaan tempatan boleh melihat ke depan untuk menilai keberkesanan dan keupayaan CMI bagi mewujudkan ruang kesinambungan global menerusi platform MultiCloud yang direka untuk membolehkan pengguna cloud berhubung antara satu sama lain di peringkat global.

“Malaysia adalah pasaran utama CMI di rantau ini kerana terdapat banyak potensi perniagaan yang boleh diteroka serta membolehkan kami berkembang dan menonjol.

"Dengan penerimaan Revolusi Industri 4.0 dalam kalangan perusahaan tempatan dan multi nasional yang begitu aktif dipromosikan oleh kerajaan, ia merupakan visi yang jelas untuk maju ke hadapan untuk kita semua yang begitu banyak melabur di dalam ruang untuk memacu pertumbuhan penerimaan dan perubahan teknologi,” jelas Chee Chung.

Menurut Chee Chung, CMI yakin syarikat itu mampu menjadi rakan ideal dalam menawarkan platform teknologi bagi perkhidmatan perhubungan global kepada pemilik perniagaan tempatan

Ini berdasarkan teras perniagaan mereka di China Mobile dan sebagai operator terbesar di dalam perniagaan telekomunikasi di dunia.

CMI menubuhkan operasinya di Malaysia lebih dari tiga tahun lalu. Syarikat tersebut berpusat di Hong Kong merupakan anak syarikat milik penuh China Mobile Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham New York dan Bursa Saham Hong Kong.-UTUSAN ONLINE