Beberapa hari berkesempatan menunggangnya untuk urusan kerja ternyata lebih memudahkan serta melancarkan pergerakan saya. Apatah lagi digunakan di Lembah Klang yang lalu lintas sentiasa sesak dengan kenderaan. Dengan panjang 1,930 milimeter (mm) dan lebar 700 mm, berat bersih hanya 102 kilogram (kg), ternyata bukan cabaran untuk meredah kesesakan kota metropolitan. Ia pantas mencilok dan mencelah deretan kenderaan.

Dipasang enjin empat lejang bersesaran 125 cc, ia menghasilkan kuasa maksimum 6.6 kilowatt (kW) pada 8,000 rpm dan daya kilas maksimum 8.6 meter Newton (Nm) pada 6,000 rpm. Memang tidak cukup laju dan berkuasa untuk kaki pecut. Paling laju saya mampu tunggang pun setakat 105 kilometer sejam (km/jam), sudah habis pulas pendikit. Barangkali berat tubuh saya yang mencecah 80 kg menjadi punca jarum meter kelajuan sukar melepasi 105 km/jam, walaupun sudah membongkokkan badan dan tundukkan kepala! Tapi untuk tunggangan dalam bandar sudah memadai dan selamat dengan kelajuan sedemikian. Lainlah kalau di lebuh raya, mungkin sedikit ‘menyeksakan’ bagi perjalanan jauh.

Walau bagaimanapun, saya pasti ia bukan isu besar. Apa yang penting, keselesaan yang disediakan kepada penunggang. Dengan tempat duduk yang lebar dan kedudukan kaki serta reka bentuk bar hendal yang merelakskan tubuh, perjalanan pergi-balik untuk urusan kerja dari pejabat di Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Shah Alam, Selangor sejauh kira-kira 70 kilometer ternyata cukup selesa meskipun di bawah terik matahari pada bulan Ramadan. Tidak memenatkan.

Dari segi penampilan, Valentine 125 memang nampak maco. Itu tidak menghairankan kerana reka bentuknya dari Itali. Pengeluar-pengeluar motosikal dari negara tersebut sememangnya dikenali dalam menghasilkan reka bentuk jentera dua roda yang ‘stylo’ dan elegan. Saya juga difahamkan, di negara kita, model ini menjadi pilihan anak-anak muda. Mungkin gaya penampilannya sesuai diadun dengan gaya hidup hipster.

Saya ada memuat naik gambar Valentine 125 dalam akaun media sosial dan mendapat beberapa maklum balas daripada rakan-rakan. Bagi yang meminati skuter, mereka menyifatkan penampilan model ini nampak bergaya dan authentic. Kata mereka lagi, meskipun tanpa warna garang atau cerah, Valentine 125 tetap menyerlah.

Didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu matt black (hitam) dan matt grey (kelabu), Valentine 125 dijual pada harga RM8,817 termasuk insurans dan cukai jalan.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, pengedarnya, CMC Motorcycles mengadakan promosi Ramadan Top Up kepada bakal pembeli. Menerusi promosi ini, CMC Motorcycles akan menggandakan jumlah bayaran pendahuluan yang dikeluarkan pembeli. Contohnya, jika pembeli membayar RM1,000 sebagai wang pendahuluan, CMC Motorcycles akan menambah lagi RM1,000 menjadikan jumlahnya RM2,000. Walau bagaimanapun, had maksimum yang akan dibayar CMC Motorcycles adalah RM1,500.

Apa tunggu lagi, jom bergaya dengan Valentine 125 pada hari raya nanti!

VALENTINE 125

ENJIN: 4-lejang, Sesaran 125 cc

BOR x LEJANG: 52.4 x 57.8 mm

NISBAH MAMPATAN: 10.5:1

KUASA MAKSIMUM: [email protected],000 rpm

DAYA KILAS MAKSIMUM: [email protected] 6,000 rpm

PANJANG x LEBAR x TINGGI: 1,930x 700 x 1,170 mm

JARAK RODA: 1,380 mm

BERAT BERSIH: 102 kg

PENCUCUHAN: CDi

TRANSMISI: Automatik

SISTEM PENGHIDUP: Elektrik/Tendang

BREK: Cakera (depan & belakang)

BAHAN API: 6.8 liter

TAYAR: 120/70-12 (depan), 130/70-12 (belakang)