Menerusi Projek Usahasama dengan Usahawan yang digerakkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Sentral, peniaga kecil dan sederhana yang giat berniaga ditawarkan dana lapan dalam satu termasuk dana minima berjumlah RM10,000.

Datuk Paduka Zaidi Che Mat yang diundang sebagai tetamu segmen Mornink Blues di Utusan Online, di sini pagi tadi berkata, fasa pertama Projek Usahasama dengan Usahawan ini dibuka kepada 1,000 orang peniaga sama ada menjalankan perniagaan secara online atau pun secara fizikal di seluruh negara.

"Ini adalah satu projek usahawan membantu usahawan di mana kita tahu, terdapat banyak peluang perniagaan yang terbuka tetapi tidak ramai yang merebutnya.

"Dengan sentuhan modal minima RM10,000 yang diberi kepada usahawan atau peniaga kecil dan sederhana ini, kita bantu juga secara holistik yang berbangkit dalam perniagaan yang mereka jalankan," katanya yang merupakan seorang jurutera awam yang pernah berkhidmat di Wisconsin, Amerika Syarikat selama 11 tahun.

Menurut Zaidi lagi, modal RM10,000 yang dihulurkan kepada usahawan atau peniaga Melayu , akan dipastikan menjana pendapatan peniaga itu dengan cara yang betul manakala pembayaran balik dilakukan tanpa faedah dikenakan ke atas penerima.

Oleh yang demikian, ujarnya, Projek Usahasama dengan Usahawan ini boleh dilihat fungsinya sebagai pengagih dana dalam kalangan peniaga Melayu untuk menjalankan perniagaan mereka.

Berpegang kepada prinsip, usahawan bukan dibentuk tetapi dilahirkan, Zaidi menambah, Projek Usahasama dengan Usahawan ini turut menawarkan bantuan menyediakan kertas kerja yang mana, tidak ramai yang tahu bagaimanakah caranya untuk membuat satu kertas kerja yang lengkap.

"Menyediakan satu kertas kerja yang lengkap amat penting supaya kertas kerja itu tidak ditolak. Ini kerana kebanyakan kertas kerja ditolak oleh institusi perbankan atas alasan, kertas kerja itu tidak lengkap.

"Bantuan menyediakan kertas kerja dibuat berdasarkan data daripada usahawan dan kita tidak mengubah bentuk perniagaan yang dijalankan tetapi kita bantu dalam menyediakan kertas kerja," jelasnya.

Selain daripada itu, Zaidi menambah, usahawan atau peniaga yang ingin mendapatkan bantuan menerusi Program Usahasama ini, perlu terlebih dahulu mendaftar perniagaan mereka dengan SSM.

MORNINK BLUES
 

"Ada SSM, anda warganegara Malaysia, bawa kad pengenalan dan kita bantu segala aspek termasuk pemasaran, memantau sistem kewangan, aliran tunai dan diajar juga cara-cara membaca kenyataan untung dan rugi," katanya.

Bagi usahawan Melayu yang ingin bergerak maju, mereka memerlukan bimbingan dan sokongan tetapi tidak perlu bimbang kerana Projek Usahasama dengan Usahawan tidak mengikat seseorang itu dengan mesyuarat wajib hadir.

"Seperkara lagi, pengurusan usawahan. kita yang kendalikan manakala peniaga hanya membawa branding Yayasan Sentral. Terkini, kita membantu seorang usahawan yang menjalankan perkhidmatan Spa Bergerak, dari rumah ke rumah.

"Pendekata, mana-mana aspek yang kabur bagi seseorang usahawan itu, Yayasan Sentral menerusi Projek Usahasama dengan Usahawan akan membantu kerana kita ada komuniti usahawan yang duduk di dalam yayasan ini," katanya. - UTUSAN ONLINE