Beliau berusaha untuk mencari kaedah alternatif bagi ibunya dan secara kebetulan, disarankan supaya mencari madu kelulut untuk diberi kepada ibunya.

"Alhamdulillah. Sakit yang dideritai oleh ibu beransur pulih selepas mengamalkan minum madu kelulut tetapi kami berhadapan dengan satu masalah apabila stok untuk mendapatkan madu kelulut hampir putus.

"Ini kerana lazimnya ibu akan ada sekurang-kurangnya lima botol stok madu kelulut sedangkan yang ada dalam simpanan hanya dua botol. Ini kerana produksi madu kelulut sebenarnya bermusim iaitu antara bulan Februari sehingga Julai sahaja," kata Nur Raziana atau lebih dikenali dengan panggilan Nana Orang Asli.

Menyambung ceritanya, beliau menghubungi abangnya yang tinggal di Pahang dan daripada nasihat seorang ustaz yang menyarankan agar madu kelulut ini elok diternak sendiri, maka hari ini, anak keempat daripada lima orang adik beradik ini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif kepada syarikat Trigona Asli yang menghasilkan madu kelulut asli.

Menurut Nur Raziana, beliau mula menternak madu kelulut dengan tiga sarang pada tahun 2013 di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Selangor dan sarang-sarang itu membiak sehingga 50 sarang setahun kemudian.

"Hari ini, di atas sebidang tanah seluas tiga ekar, kita berjaya menghasilkan 150 sarang madu kelulut dan mempunyai 650 sarang ladang kontrak di kampung-kampung Orang Asli khususnya di sekitar Johor.

"Dan saya berbangga apabila menjadi wanita Orang Asli pertama yang menjadi penternak dan usahawan madu kelulut," katanya ketika tampil sebagai tetamu segmen bual pagi, Mornink Blues di Utusan Online, di sini hari ini.

Walaupun mengakui pada awalnya tidak berminat untuk menjadi usahawan madu kelulut namun minat itu bertukar kerana sudah tiba masanya, masyarakat Orang Asli mempunyai produk mereka sendiri berasaskan alam semula jadi yang dikomersialkan di pasaran tempatan.

"Saya sentiasa bercakap, mana satu produk Orang Asli yang duduk dalam pasaran? Tiada. Itu sedih. Adalah menjadi harapan saya untuk melihat produk Orang Asli dalam pasaran," ujarnya.

Nur Raziana berkata, setiap sarang madu kelulut, akan ada seekor Ratu yang bertelur dan apabila telur-telur ini menetas, ia mampu menghasilkan ribuan telor yang menghasilkan kelulut.

Oleh itu, menjaga Ratu amat penting kerana Ratu-Ratu ini amat sensitif terhadap asap dan racun rumput.

MADU KELULUT
 

"Ratu akan mati kalau terkena asap. Maka itulah, kalau diikutkan, radius dalam satu kilometer, tidak boleh berlaku apa-apa pembakaran.

"Racun rumput boleh mengancam Ratu. Memang rumput yang tumbuh tidak boleh diracun sebaliknya perlu dimesin kerana jika diracun, bunga rumput yang menjadi makanan Ratu dan anak-anak kelulut akan mati," katanya.

Nur Ruziana berkata, beliau menghargai jasa Abu Hasan Jalil yang dianggapnya sebagai sifu kerana kepercayaan yang diberikan oleh Abu Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Abu, menjadikan Nur Ruziana sebagai Nana Orang Asli yang menghasilkan madu kelulut.

"Terima kasih kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang mengangkat saya sebagai usahawan madu kelulut dengan bantuan dan bimbingan yang dihulurkan oleh para pegawai JAKOA," katanya mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE