Berbekalan modal sebanyak RM50,000 yang disumbangkan ahli keluarganya, anak muda kelahiran Jerteh, Terengganu itu kini memiliki ladang ternakan lembu yang diberi nama Ladang Ayoh.

Berkat usaha tidak pernah jemu dan niat sucinya pulang ke kampung untuk menjaga kedua-dua orang tuanya, Ladang Ayoh yang mula beroperasi pada 2016 dengan hanya 12 ekor lembu, kini semakin berkembang dan memiliki kira-kira 30 ekor lembu.

Menyingkap semula keputusannya untuk pulang ke kampung dan melupakan ijazah yang diperolehi, Ahmad berkata, dia nekad berbuat demikian kerana mahu menjaga ibu bapanya yang kurang sihat.

Tambahan pula, dia sememangnya memiliki minat untuk menceburi bidang perniagaan dan penternakan.

“Semasa tahun akhir pengajian di universiti, saya mula mencari peluang dengan menyertai kursus-kursus berkaitan penternakan.

“Habis sahaja pengajian pada 2016, saya terus fokus dengan meluangkan masa selama setahun untuk menyertai sebanyak mana kursus yang boleh.

“Bukan mudah untuk beralih bidang, daripada kejuruteraan kepada penternakan. Banyak yang saya perlu belajar semula,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, dia turut berdepan cabaran dari segi modal permulaan, namun urusan itu dipermudahkan apabila mendapat sokongan daripada keluarga dan isteri.

Bagi menjimatkan kos, Ahmad mengambil keputusan untuk membina sendiri Ladang Ayoh yang terletak di Kampung Tok Dor, Jabi, Besut menggunakan barangan terpakai seperti zink dan kayu daripada rumah lama.

Kandang serta stor pemprosesan dan penyimpanan makanan lembu dibina sendiri dengan tulang empat keratnya.

Hanya sesekali dia menggunakan khidmat pekerja luar, itu pun bagi kerja-kerja di luar kemampuannya.

“Sudah pasti ibu dan ayah adalah pendorong terkuat untuk saya menceburi bidang ini, begitu juga dengan adik beradik saya. Mereka memberi sokongan penuh dalam setiap apa yang saya lakukan.

“Isteri turut berkorban sama dan sanggup tinggal berjauhan demi melihat impian saya menjadi penternak berjaya dicapai,” katanya.

Memasuki tahun ketiga operasinya, pasaran Ladang Ayoh kini sudah memasuki beberapa daerah di Terengganu dan setiap kali tiba musim perayaan terutama Aidiladha, pendapatan yang diperolehinya mencecah RM100,000.

Malah dengan pencapaian dalam tempoh singkat itu, Ahmad telah dijadikan contoh serta rujukan oleh mereka yang mahu berjinak-jinak dengan bidang penternakan.

Menurut Ahmad, masyarakat terutama golongan belia sepertinya perlu bijak mengambil peluang yang ada walaupun ia mungkin bukan pilihan utama.

“Golongan belia mesti berani untuk menyahut cabaran dalam bidang perniagaan, jangan hanya berfikir untuk kerja makan gaji sahaja.

“Bagi mereka yang masih memandang rendah terhadap kerjaya sebagai petani atau penternak, persepsi ini harus diubah. Bidang ini sebenarnya menjanjikan pulangan yang baik sekiranya ada ilmu dan rajin berusaha,” ujarnya.