DATUK DR SUHAINI KADIMAN
DATUK DR SUHAINI KADIMAN 

Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Datuk Dr Suhaini Kadiman berkata, beliau merasa terkesan dengan apa yang berlaku dan sedar bahawa NGO seperti Papisma perlu melipatgandakan usaha biarpun sejak dahulu aktif membuat pelbagai program bersama Kementerian Kesihatan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Institut Jantung Negara (IJN) berkata, Papisma tidak terlibat secara langsung dengan masyarakat Orang Asli di Kuala Koh tetapi pernah mengadakan program seperti perkhidmatan berkhatan untuk Orang Asli yang memeluk Islam.

“Dalam keadaan kita begitu selesa dengan kehidupan di bandar masih lagi terdapat masyarakat yang begitu daif di kawasan pedalaman.

“Sepatutnya kita tidak terlepas pandang, kita tidak boleh mengaku sebagai orang yang mensyukuri nikmat sedangkan ads lagi yang kita terlepas pandang dan memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui Utusan Online di majlis Tautan Ukhuwah Papisma Education and Community Empowerment Program (PEACE) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Papisma negeri, Dr Tengku Ahmad Damitri Al-Astani Tengku Din.

Pada majlis itu juga, Dr Suhaini menyampaikan sumbangan Papisma berjumlah RM2,000 kepada Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-kanak Hospital USM (PekaHUSM) yang diwakili Yang Dipertuanya, Prof Madya Dr Ariffin Nasir.

Sementara itu, Dr Suhaini berkata, Papisma yang ditubuhkan sejak 2004 kini mempunyai 1,300 ahli terdiri kalangan doktor, pengamal perubatan dan ahli kesihatan di 13 cawangan seluruh negara.

“Matlamat kami adalah untuk mengerat hubungan dan semangat kerjasama di kalangan tenaga amal perubatan terutama untuk membantu meningkatkan taraf kesihatan dan kebajikan dalam masyarakat,”katanya.

Beliau berkata, semasa banjir besar pada penghujung 2014 di Kelantan, Papisma adalah antara NGO awal yang turun ke lapangan dan memberi bantuan kepada mangsa banjir..

“Melalui hubungan baik dengan pelbagai pihak kita berjaya menyalurkan bantuan berjumlah RM1.3 juta berbentuk bekalan air bersih dan makanan asas kepada mangsa banjir di Kota Bharu, Kuala Krai dan Gua Musang,” katanya.

Pihak yang ingin menyumbang kepada perbelanjaan aktiviti kebajikan Papisma atau Dana Kebajikan Papisma (Dakap) boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam 0301810157785 di bawah nama Tetuan Papisma Kelantan. - UTUSAN ONLINE