“Mereka yang bekerja atas kapal ada kecenderungan untuk berasa keseorangan dan sepi kerana rutin harian hanyalah berkisar kepada makan, tidur dan kerja. Sebab itu, jika hari cuti, satu kepuasan jika dapat berhabis duit untuk berseronok,” ujar pengasas Wasapower Marketing, Mohd. Khairil Izham Khairul Azhari, 33.

Mohd Khairil merupakan bekas jurutera yang pernah berkhidmat dengan salah sebuah syarikat perkapalan terbesar di Malaysia. Ketika masih bekerja, dia perlu mengikuti kapal belayar sekurang-kurangnya enam bulan berturut-turut tanpa dapat bertemu keluarga. Meskipun bergaji besar, dia akhirnya nekad untuk menceburi bidang keusahawanan bagi membolehkannya meluangkan lebih masa bersama keluarga dan lebih penting melihat anak-anak membesar di hadapan mata.

“Pada 2016, saya nekad untuk berhenti kerja dan terjun sepenuhnya dalam bidang keusahawanan. Dari saat itu, saya mencuba pelbagai jenis perniagaan. Pernah menjadi dropship, ejen dan stokis pelbagai produk sama ada produk kecantikan, kesihatan, dekorasi rumah, ejen hartanah dan insurans. Banyak pengalaman yang saya lalui dan jatuh bangun pada waktu tersebut,” katanya.

Pada 2017, Mohd. Khairil menceburi pula bidang bimbingan khusus kepada usahawan-usahawan dalam talian (online) yang baru hendak bermula. Ada yang percuma dan ada berbayar.

Ketika menjadi pembimbing usahawan dalam talian, dia tidak dapat memberi tumpuan kepada perniagaannya lantas pada 2018, dia mengambil keputusan untuk kembali fokus kepada bidang keusahawanan dalam usaha memantapkan lagi modul sistem ejen yang dirintisnya.

“Untuk sediakan modul, saya perlu uji dan lalui sendiri cara membangunkan sistem ejen tersebut. Dari situ, saya akan memperoleh teknik dan strategi berkesan untuk memantapkan lagi modul. Kemudian saya memilih untuk terlibat dalam bidang penerbitan buku kerana kurang persaingan. Kebetulan pula salah seorang ahli pasukan saya menawarkan diri untuk menjadi stokis buku yang dijual secara dalam talian. Saya mula membangunkan sistem ejen saya sendiri sehingga saya menjadi penerbit buku sendiri sehingga sekarang,” katanya.

Uniknya, buku-buku yang dihasilkan tiada dijual di kedai dan kandungan buku kebanyakannya diolah daripada pengalaman penulis dengan mengambil kira masalah kelemahan anak-anak dalam menguasai sesuatu subjek teras. Selain itu, Mohd. Khairil memberitahu, buku yang diterbitkan lebih fokus kepada anak-anak yang masih lemah dalam sesuatu subjek teras dan buku-buku ini dijual secara dalam talian atau pun secara offline.

Walaupun tiada pengalaman dalam bidang penerbitan, usahawan muda ini yakin menerusi pengalaman dan pembacaan dia mampu melebarkan sayapnya dengan menerbitkan pelbagai bahan ilmiah untuk sekolah rendah dan menengah.

Menggunakan teknik pemasaran menerusi sistem ejen, Mohd. Khairil menga­kui cabarannya apabila dia terpaksa membangunkan dan melatih mereka tanpa menggunakan sebarang kos pengiklanan di mana-mana medium media sosial.

“Kelemahannya pula apabila sistem ini membabitkan emosi manusia. Biasanya jika membabitkan emosi manusia, kita tidak mampu memuaskan hati semua orang. Apapun semakin baik kita menjaga ejen insya-Allah semakin tinggi jualan,” katanya.

Namun kepuasan pelanggan tetap menjadi keutamaan. Menyediakan rangkaian buku berkualiti dan memenuhi kehendak ibu bapa serta keperluan pelajar pastinya menjadi matlamat utama.

Katanya, dia gembira apabila menerima maklum balas positif daripada ibu bapa mengenai perkembangan anak-anak mereka yang semakin fokus membaca. Ada juga yang memberitahu anak mereka mula bersemangat melakukan aktiviti di rumah.