Menurut beliau, walaupun saranan itu mungkin akan menguntungkan perniagaan pasar raya Mydin kerana ramai pelanggannya beragama Islam, beliau menganggap tindakan seumpama itu sebagai bersifat perkauman.

"Secara dasarnya, saya tak setuju walaupun boikot itu mungkin memberi kelebihan kepada saya (Mydin). Yang penting adalah barang buatan Malaysia. Kalau ada barangan orang Cina atau India, kalau halal, apa salahnya (beli).

"Boikot tidak akan membantu, cerita-cerita boikot ini adalah permainan politik. Kita warganegara biasa Malaysia, nak kerja dan makan halal. Belilah dengan sesiapa asalkan halal dan harga berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Mydin 62 Tahun : Utuh Bersama Malaysia di Seremban 2 di sini. Yang turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Isu memboikot produk bukan Islam ditularkan dalam media sosial oleh sesetengah pihak apabila timbul perselisihan berkaitan isu kaum sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Ameer Ali berkata, pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk menutup mana-mana outlet miliknya walaupun dalam suasana ekonomi yang kurang baik ketika ini.

Jelasnya, hasil pendapatan syarikat itu meningkat sebanyak 6.7 peratus sehingga Julai lalu berbanding tahun lalu meskipun industri peruncitan negara mengalami kemerosotan.

Sementara itu, beliau berkata, trend orang ramai berbelanja secara dalam talian tidak menjejaskan perniagaan Mydin kerana jumlah pengguna yang berbuat demikian adalah kecil.

"Jangan lupa barang dalam online itu dijual oleh pasar raya besar, akhirnya kembali semula ke outlet yang sama. Kadang-kadang mereka yang jual baju kurung secara online pun beli dari Mydin," katanya. - UTUSAN ONLINE