Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong berkata, ini bagi membolehkan bentuk tindakan susulan yang sewajarnya diambil mengikut lunas undang-undang.

Menurutnya, ketika ini maklumat-maklumat berkenaan sedang dikemas kini dan dijangka dilengkapkan menjelang minggu depan.

Katanya, kementerian juga akan memohon perintah mahkamah bagi memerintahkan penceroboh mengosongkan tanah diikuti tindakan penguatkuasaan.

“Kita akan menjalankan siasatan kerana isu pencerobohan tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini merupakan perkara serius.

“Tindakan yang akan diambil termasuk melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika terdapat unsur salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Perak di Hotel Perdana Taiping di sini hari ini.

Sebanyak 480 orang veteran tentera menerima PJM atas pengorbanan dan sumbang bakti mereka kepada negara.

Mereka termasuk 24 orang veteran tentera yang mengalami kecacatan akibat tercedera semasa operasi.

Mengulas lanjut kata Chin Tong, pihak ATM juga telah mengambil inisiatif mengeluarkan arahan pengawasan dan kawalan ke atas pencerobohan tanah-tanah milik kementerian itu.

“Antara negeri-negeri terlibat ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan semalam berkata, sebanyak 16 lokasi tanah milik ATM dikenal pasti terbabit aktiviti pencerobohan sehingga bulan lalu. - UTUSAN ONLINE