Beliau sebelum ini bekerja lebih 10 tahun sebagai pegawai pengimejan perubatan (radiografer) di pusat perubatan tempatan melihat potensi luas perniagaan makanan bukan sahaja kepada dirinya malah terhadap ratusan ejen di luar sana.

Sabrina yang lebih selesa menggelarkan diri sebagai mama berkata, selain berkongsi rezeki dengan 50 kakitangan Mamasab Bakery, melalui perniagaan, keuntungan dapat dijana bersama menerusi konsep dropship, ejen, stokis dan master stokis.

“Mama sering tekankan kepada stokis supaya jangan cari ejen untuk memenuhkan poket semata-mata, sebaliknya betulkan niat untuk menolong lebih ramai orang tidak mempunyai pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sabrina akui memang tidak terfikir perniagaan dijalankan boleh pergi jauh kerana beliau dan suami tidak mempunyai latar belakang perniagaan sama sekali.

“Mama bukan seorang yang pandai membuat kek. Masa itu (2014) musim orang suka makan Durian Crepe, mama pergi ke kelas dan belajar. Apabila bawa ke pejabat, kawan-kawan suka dan banyak tempahan diterima.

“Pada 2016, mama ­mengambil keputusan berhenti kerja, pada mulanya, ibu bapa dan mertua juga terkejut lebih-­lebih lagi apabila sudah berada di zon selesa,” sambil menambah suaminya turut sama ­berhenti kerja.

Malah, Sabrina juga me­ngikuti kelas perniagaan dan pemasaran untuk memantapkan lagi model perniagaan sehingga ke peringkat di mana ­beliau berada sekarang.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan ­konsep budaya di tempat kerja yang mana beliau mahu ­menerapkan persekitaran yang baik buat kakitangan.

“Di sini, kami mahu para pekerja berlumba-lumba ­menyimpan duit siapa paling ba­nyak. Mama tidak mahu pekerja berlumba-lumba memakai baju jenama mewah sebaliknya menasihatkan mereka berjimat dan menyimpan wang,” katanya.

Mamasab Bakery

» Ditubuhkan sejak 2017.

» Mempunyai 4 cawangan di Petaling Jaya, Cyberjaya, Sentul dan Kuantan.

» Tawar lebih 300 pilihan kek dan biskut.

» Rancang buka cawangan di Johor Bahru tahun ini.

» Antara produk popular, termasuklah Devil Food Chocolate Cake dan Nutella Cheesetart.