Presiden Pertubuhan Wanita Anggun Malaysia (Anggun), Datin Faridah Ahmad berkata, wanita dan perniagaan dilihat begitu sinonim pada hari ini dan ramai golongan hawa yang melakar kejayaan sehingga menjadi peneraju dalam pelbagai bidang keusahawanan.

“Ramai wanita minat berniaga tetapi untuk menjadi ejen atau stokis memerlukan modal besar manakala sistem ‘dropship’ pula tidak memberikan mereka peluang memegang produk untuk menunjuk dan meyakinkan pelanggan selain mereka tidak boleh menjual di mana sahaja secara efektif.

“Rebut peluang bersama Anggun untuk tukar masa anda menjadi duit, dengan cara ini Anggun mahu melahirkan lebih ramai usahawan wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Faridah berkata, Anggun menyediakan inisiatif Program Niaga Tanpa Modal (PNTM) untuk membantu wanita yang berdaftar sebagai ahli menjana pendapatan sekali gus memajukan diri.

Selain itu, katanya, pertubuhan tersebut juga menganjurkan kursus asas berhubung strategi pemasaran menerusi kelas bimbingan yang dijalankan dari semasa ke semasa.

“Apa yang penting kita mesti mempunyai keinginan, semangat dan tekad yang tinggi untuk berjaya dan membuktikan tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Mereka yang berminat boleh hubungi talian 014-3371010 untuk bantuan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE