Program yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini dijangka menghimpunkan seramai 1,200 usahawan MARA di seluruh negara.

Ketua Srikandi negeri Perak, Norhaslinda Zakaria berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menurut beliau, Mercu yang bertemakan Aspirasi Keusahawanan Bumiputera memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkasakan usahawan sedia ada selain melahirkan usahawan baharu.

"Antara program yang diadakan nanti seperti seminar keusahawanan, padanan perniagaan, pameran dan jualan, klinik keusahawanan dan institusi pendidikan Mara.

"Bagi pihak Srikandi, kita mahu orang ramai khususnya golongan wanita mengintai peluang-peluang yang disediakan oleh pelbagai agensi seperti Mara untuk bergelar usahawanita," ujarnya ketika ditemui.

Majlis Perasmian Mercu dijadual akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang juga Ketua Srikandi Nasional pada Jumaat ini.

Pengunjung juga akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan terak makanan, pertandingan Mobile Legend, Beyblade Burst, pertandingan mewarna kanak-kanak dan persembahan pentas. - UTUSAN ONLINE