Ada syarikat yang dapat bertahan lama dengan menggunakan pelbagai jenis strategi pemasaran dan tidak kurang juga hanya bertahan dalam masa singkat.

Walau bagaimanapun, pengasas syarikat kosmetik dan kesihatan Almas Beauty & Health, Datin Maziah Mohamed percaya dengan memastikan kualiti yang sentiasa konsisten, produk keluarannya dapat bertahan dalam pasaran.

MAZIAH MOHAMED
MAZIAH MOHAMED

“Bukan mudah untuk saya keluarkan satu-satu produk kerana saya ingin memastikan kualiti produk itu dan kadang kala penyelidikan dan pembangunan (R&D) sahaja mengambil masa satu tahun.

“Kita tidak mahu keluarkan produk setiap bulan tetapi produk itu tiada kualiti kerana saya tahu pembeli-pembeli saya bukan semua orang senang yang mudah untuk berbelanja.

“Saya mahu pembeli yang mengeluarkan duit rasa berbaloi dan mereka dapat lihat serta rasa sendiri kesannya. Kepuasan saya adalah apabila mendapat testimoni positif daripada pembeli,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Bermula dengan set pencerah dan losen, Almas kini sudah mempunyai lebih 40 produk. Antara yang paling laris ialah Jus Nusantara, Charisma, Jus Kasih Sayang, Jamu Seri Dara, Almas Cafe dan Slimdah Fiber Sol Cafe.

Dalam pada itu, Maziah berkata, untuk tahun ini, Almas mempunyai perancangan besar yang akan didedahkan tidak lama lagi termasuk mengeluarkan beberapa produk baharu.

“Almas tidak berhenti di sini dan akan terus mengeluarkan produk berkualiti khas untuk pembeli setia kami.

“Kami percaya apabila kita keluarkan produk berkualiti, orang akan percaya dengan jenama ini sendiri dan tidak ragu-ragu untuk membeli walaupun produk baharu,” katanya.

Menurut Maziah, beliau menyasarkan satu produknya yang mendapat permintaan ramai dan terbukti keberkesanannya, Jus Nusantara Gold untuk dimiliki oleh setiap rumah di Malaysia.

“Itu juga sebabnya kita menurunkan harga Jus Nusantara (RM148) kepada Jus Nusantara (RM98) dengan kualiti dan kuantiti yang sama kerana mahu ia menjadi produk kesihatan yang mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.”

“Jika sebelum ini penggunaan Jus Nusantara Gold ini hanya tertumpu kepada warga emas, saya ingin tegaskan bahawa jus ini boleh diambil seawal usia empat tahun,” katanya.

Menceritakan faktor kejayaannya dalam bidang perniagaan, Maziah berkata, beliau menjadikan ibunya sebagai idola dalam bidang itu.

“Sejak kecil saya suka ikut ibu berniaga. Kegigihan ibu dalam berniaga membentuk cita-cita saya untuk menjadi sepertinya.

“Apabila saya mula berniaga juga, semasa itu ibu masih hidup, dia merupakan penyokong utama saya.

“Dalam apa yang saya lakukan, saya sentiasa letakkan ibu sebagai yang utama. Percayalah sesiapa pun anda, jika anda meletakkan ibu yang utama, hidup pasti tenang dan diberkati,” katanya.