Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, promosi sehingga 13 Oktober itu akan menawarkan harga rendah melibatkan 62 jenis barangan yang dijual di rangkaian pasar rayanya.

"Sebagai contoh kita jual ikan tilapia merah pada harga 62 sen seekor. Begitu juga satu ketul rusuk ayam serta sekilogram kentang dan bawang merah ditawarkan pada harga 62 sen.

"Melalui sambutan ini pelbagai aktiviti dan promosi dirangka bagi menzahirkan penghargaan kami kepada pelanggan dan masyarakat yang memberi sokongan serta menjadikan Mydin pilihan utama untuk membeli-belah," katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Mydin 62 Tahun : Utuh Bersama Malaysia di Seremban 2 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman serta wakil syarikat pembekal dan usahawan tempatan.

Dalam majlis itu, Mydin turut melancarkan video sempena Hari Kebangsaan Ke-62.

Menurut Dr. Ameer Ali, selain itu wang tunai berjumlah lebih RM500,000 boleh dimenangi para pelanggan yang membeli barangan dengan menggunakan perkhidmatan MyDebit.

"Bagi menghargai pelanggan berumur 62 tahun pada tahun ini, mereka akan menerima baucar bernilai RM5, manakala pemilik kad keahlian Meriah juga boleh menukar satu mata ganjaran dengan AirAsia Big Point dan berpeluang menebus mata ganjaran tiket penerbangan," katanya.

Ujarnya, bagi mengukuhkan segmen digital, Mydin turut bekerjasama dengan rakan kongsi eksklusif dalam talian, Shopee dalam usaha menawarkan penjimatan lebih besar kepada para pelanggan.

Beliau berkata, Mydin ketika ini mempunyai lebih 8,000 kakitangan dengan 74 cawangan iaitu 26 pasar raya besar, 17 emporium, tiga bazar, lapan supermarket, 12 MyMart, lima Mydin Mart dan tiga cawangan kedai premium Sam's Groceria.

Dikenali dengan slogan 'Mengapa Bayar Lebih? Belilah Dengan Harga Borong!', Mydin diasaskan oleh Allahyarham Mydin Mohamed Ghulam Hussien pada 1957 dan perniagaannya mula bertapak di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN ONLINE