YUJI
YUGI 

Pagi tadi, Ayu yang pernah menjuarai program realiti televisyen, One In A Million (OIAM), tampil sebagai tetamu Mornink Blues dalam program bual pagi di Utusan Online untuk berkongsi pengalaman dalam bidang pertanian.

Sejak mula-mula membuka ladang menanam cili padi sekitar tahun 2016, kata Ayu, semangat dan kecekalan suaminya untuk terus berbudi pada tanah akhirnya membuahkan hasil bagi mereka sekeluarga.

"Apabila kita bukan dilahirkan dalam kalangan keluarga yang senang, kita perlu bekerja keras dan gigih untuk menambah pendapatan dan itulah yang kami katakan kepada anak-anak.

"Anak sulung kami, Syed Nashrul yang kini berusia 10 tahun, turut diajar cara-cara menanam cili dan menjaga petak-petak semaian supaya dia tahu bagaimana sukarnya kita mencari rezeki," kata Ayu yang sentiasa memberi semangat dan dorongan kepada suaminya untuk terus maju dalam bidang pertanian atau fertigrasi.

Kata Ayu lagi, atas usaha suaminya, mereka kini memiliki ladang seluas empat ekar dan walaupun tanah ladang yang terletak di Batu 22, Hulu Langat, Selangor itu disewa, sekurang-kurangnya di situlah punca pendapatan mereka.

MORNINK BLUES

HASIL tuaian timun yang ditanam sendiri oleh Syed Poji. - GAMBAR/FACEBOOK NORAYU DAMIT

Untuk rekod, tanah seluas empat ekar yang disewa selama setahun itu adalah milik orang Asli dan mendapat kebenaran daripada Tok Batin dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Ayu berkata, dalam bidang pertanian, mereka pernah menempuh saat-saat sukar kerana dua kali tanaman yang ditanam, tidak menjadi.

"Mula-mula dulu, Dudy (panggilan Ayu kepada suaminya) tanam nenas dan kelapa mataq tetapi kedua-dua tanaman itu tidak menjadi kerana ditenggelami air disebabkan oleh banjir.

"Justeru kami mengalami kerugian kerana modal permulaan yang dikeluarkan adalah antara RM20,000 ke RM30,000," katanya.

Apabila jatuh terduduk sebanyak dua kali kerana apa yang diusahakan tidak menjadi, ujar Ayu, Dudy mengambil masa hampir setahun untuk bangkit semula dan kali ini, Allah kurniakan rezeki kepada mereka.

"Dudy berjaya mendapatkan 6,000 anak-anak pokok cili bara dan selama 12 jam sehari, dia akan berada di ladang cili. Dia mula bekerja dari pukul 6 pagi sehingga 7 petang.

"Alhamdulillah, berkat usahanya, dalam tempoh enam bulan, pokok-pokok cili bara atau cili padi membuahkan hasil dan kami dapat balik modal awal yang dikeluarkan," kata Ayu sambil menambah, di ladang seluas empat ekar itu turut ditaman dengan terung dan timun.

CILI BARA

CILI BARA dipetik segar dari ladang yang diusahakan oleh suami Ayu Damit, Syed Poji di Hulu Langat, Selangor. - GAMBAR/FACEBOOK NORAYU DAMIT

Kata Ayu lagi, mereka suami isteri ligat berfikir, apakah lagi yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan kerana walaupun Ayu akui masih aktif menyanyi namun dia perlu bijak untuk mencari peluang perniagaan.

"Apabila saya menyuarakan hasrat untuk berniaga, Dudy cakap, kena buat lain daripada yang lain. Artis-artis ramai sudah berniaga pakaian, tudung dan sebagainya.

"Jadi, Ayu pun fikir, kalau macam tu, apa kata Ayu buat cili padi jeruk sebab cili-cili padi yang Dudy tanam, segar dari ladang. Maka terhasillah cili jeruk Yugi yang dijual pada harga RM10 sebotol.

"Syukur, dalam sebulan, Ayu boleh hasilkan 500 botol cili jeruk dan dijual di gerai-gerai IKS (Industri Kecil dan Sederhana)," katanya.

Selain cili jeruk, Ayu juga menjual biskut cili yang terkenal dalam kalangan rakyat Sabah dan boleh ditempah pada bulan puasa kelak.

Ayu menambah, dalam bidang fertigrasi atau pertanian, cabaran utama yang terpaksa dihadapi ialah serangan serangga perosak iaitu white flag.

mornink

AYU DAMIT dan suami, Syed Poji bersama tiga orang cahaya mata mereka. - GAMBAR FACEBOOK/ NORAYU DAMIT

"Serangga perosak adalah musuh utama kerana serangga-serangga kecil ini menyerang tanam-tanaman. Pernah kami terpaksa membuang 6,000 pokok disebabkan serangga perosak dan sebagai langkah kawalan untuk mengelakkan daripada berjangkit kepada pokok-pokok lain, terpaksalah dibuang sahaja pokok-pokok ini.

"Serangga perosak ini halus-halus berwarna putih dan sekali pandang, ia kelihatan seperti rama-rama. Apabila berhadapan dengan serangga perosak ini, apa yang Ayu boleh katakan ialah sabar ajelah," ujarnya.

Kata Ayu yang mempunyai tiga orang cahaya mata hasil perkahwinannya bersama Syed Poji, apabila melibatkan diri dalam bidang pertanian, mereka perlu bijak dan harus dilengkapi dengan ilmu pertanian.

"Dalam bidang perniagaan pula, kita perlu rajin dan tekun. Usaha dan terus usaha memandangkan pendapatan sebagai penyanyi ada pasang dan surutnya," kata Ayu yang sentiasa mngaminkan kata-kata orang bahawa beliau adalah Jutawan Cili Padi. - UTUSAN ONLINE