Presiden KUA, Mohd. Aminurasyid Mohd. Fauzi yang disantuni wartawan Utusan Online melahirkan penghargaannya kepada penaja hadiah utama pada malam itu, Toyota yang sanggup menaja sebuah kereta jenis Toyota CHR bernilai hampir RM150,000 yang menjadi milik Samsul Mohd. Zain.

Ternyata gabungan yang dijalin oleh 25 usahawan IKS sejak Ogos tahun lepas membantu melonjakkan jualan melebihi RM10 juta.

"Jaringan kerjasama atau kolaborasi ini menawarkan lebih 60,000 kupon kepada para pelanggan dan insya-Allah, pada akan datang, mungkin kita akan teruskan kerjasama ini dengan kempen yang berlainan pula," katanya.

Beliau berkata, walaupun pada peringkat awal, kempen Kereta Untuk Abah agak kabur dari segi hala tujunya namun semakin lama, para usahawan IKS yang terbabit dalam kempen ini dapat melihat bahawa ia sebagai satu platform yang menguntungkan.

Pada majlis yang sama, turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi SME Corp, Azmi Said serta Duta Toyota, Fattah Amin.

Bagi Azmi, usaha yang dilakukan oleh 25 syarikat IKS ini mendapat pujian daripada pihak beliau.

"SME Corp sentiasa membantu usahawan IKS dalam pelbagai bentuk dan kita juga melatih belia-belia yang berusia 30 tahun ke bawah untuk bergelar usahawan.

"Kita perkenalkan program Buddy System selama setahun yang mana menerusi program seperti ini, kita bina usahawan dalam bentuk kluster dan selepas program ini, mereka boleh bergerak sendiri," katanya dalam ucapan perasmian menutup kempen KUA.

Azmi berkata, apa sahaja aktiviti atau program pembangunan usahawan amat digalakkan dan apa yang dilakukan oleh 25 syarikat malam itu adalah salah satu cara untuk memupuk kerjasama berpasukan. - UTUSAN ONLINE