Syarikat perkhidmatan dan keselamatan kebakaran itu yang pada awalnya hanya menjadikan stor di tepi rumah sebagai tempat beroperasi kini mempunyai pejabat selesa di Jempol, Negeri Sembilan selain cawangan di Melaka dan Selangor.

Menurut Abdul Hakam, syarikat yang beroperasi pada 2007 itu hanya bermula dengan lima kakitangan yang terdiri daripada ahli keluarga, namun kini memiliki 22 orang kakitangan.

Menceritakan kepayahannya bersama keluarga membangunkan syarikat yang dibina atas impian ayahnya, Arshad Hashim, 64, beliau berkata, mereka pernah mengikat perut dan menggadai barang kemas untuk membayar gaji pekerja dan memastikan syarikat terus beroperasi.

“Itu antara kesusahan yang pernah dilalui satu ketika dahulu. Ia menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Hari demi hari dan sedikit demi sedikit kami mengorak langkah dengan lebih agresif untuk berada pada kedudukan sekarang," katanya ketika ditemui Mega Rona di pejabatnya di Taman Serting Jaya, Bahau dekat Jempol baru-baru ini.

Abdul Hakam membuat keputusan tepat apabila meninggalkan pekerjaannya sebagai juruteknik dalam bidang perkapalan di Johor Bahru untuk menceburi perniagaan bagi meneruskan impian ayahnya yang juga bekas anggota bomba.

Menurutnya, beliau yang dibantu isteri, Nor Effa Mohd. Nor dan adiknya dalam menyediakan perkhidmatan, membekal peralatan dan khidmat nasihat keselamatan kepada beberapa syarikat juga bakal membuka sebuah kilang sendiri di Bandar IOI Bahau tidak lama lagi.

“Kilang yang dibina dengan kos jutaan ringgit itu umpama satu tangga kejayaan yang baharu buat syarikat ini. Malah, selepas ini kami bercadang menyertai cabang perniagaan yang sama tetapi di bawah industri marin.

“Selain itu, kami juga akan memperluaskan lagi operasi dengan membuka cawangan baharu di Sarawak dan Terengganu,” jelasnya.

Mengulas mengenai impiannya, Abdul Hakam berkata, beliau mahu kilangnya nanti membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan di sekitar Jempol.

Katanya, selaku anak muda yang mempunyai syarikat di kawasan luar bandar, adalah menjadi kewajipannya untuk membantu golongan itu mencari rezeki di kawasan tempat kelahiran mereka.

Syarikat miliknya bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan semata-mata, tetapi juga membentuk mereka menjadi kakitangan berpengetahuan tinggi dalam bidang masing-masing.

Bercerita lanjut Abdul Hakam berkata, sebagai contoh salah seorang kakitangannya hanya bermula dengan sifar pengetahuan dalam bidang kejuruteraan dan sekadar lulus Sijil Pelajaran Malaysia.

Namun, setelah lebih tujuh tahun berkhidmat bersama syarikat tersebut dan berbekalkan pengalaman, pekerja itu kini menjadi jurutera yang berjaya setelah tamat pengajian di institusi pengajian tinggi.

“Kami tidak memandang kepada kelulusan akademik semata-mata. Jika mereka ada minat dan ingin menimba ilmu pengetahuan, kami sedia memberi tunjuk ajar,” jelas anak kedua daripada tujuh beradik ini.

Selain itu beliau memberitahu, syarikat berkenaan juga memberikan perkhidmatan percuma berkaitan penyelenggaraan keselamatan kebakaran di pusat tahfiz yang kurang berkemampuan sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.

Jelasnya, syarikat itu turut giat turun padang untuk menjalankan kempen kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya mempunyai alat pemadam api di setiap rumah sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kebakaran.