Bagaikan tetamu istimewa, kumpulan kucing yang menginap di Kitty’s Cottage akan dilayan dengan begitu sempurna, malah diberikan sepenuh kasih sayang oleh pemilik ‘hotel kucing’ itu.

Apa yang lebih menarik, semua kucing yang dijaga di hotel Kitty’s Cottage akan mendapat pemantauan daripada kakitangan Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty’s Cottage yang terletak di bahagian bawah pusat jagaan haiwan tersebut.

Begitu bertuahnya kucing-kucing yang diserahkan kepada pemilik hotel kucing, A. Hamid Matt Mariano untuk dijaga buat sementara waktu sama ada bagi tempoh masa singkat atau lama, mengikut keperluan tuan empunya haiwan peliharaan tersebut.

Kata A. Hamid, selain memberi keutamaan terhadap tahap kebersihan tempat penginapan kucing itu, dia juga mengambil berat aspek kesihatan dan keselesaan kucing jagaannya termasuk meletakkan jubin pada bahagian lantai sangkar haiwan itu.

Menurutnya, bukan sahaja sangkar yang disediakan mempunyai keluasan sesuai bagi mengelakkan haiwan peliharaan itu mengalami stres, malah vaksin turut diberikan kepada kucing yang mengalami masalah kesihatan.

“Apa yang istimewanya, Kitty’s Cottage seumpama sebuah pusat sehenti buat semua pencinta kucing. Tidak sahaja menyediakan khidmat menjaga, malah pemilik kucing juga boleh mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan di klinik haiwan yang terletak di bawah premis.

“Di Kitty’s Cottage juga pelbagai jenis aksesori kucing boleh diperoleh dengan mudah termasuk sangkar, barang permainan, makanan, Litter Crystal yang mempunyai pelbagai wangian istimewa dan kelengkapan yang diperlukan oleh seekor kucing.

“Bukan sahaja boleh menjimatkan masa, pemilik kucing juga tidak perlu khuatir dengan perkhidmatan yang diberikan kerana kami mempunyai kakitangan pakar termasuk doktor haiwan,” katanya kepada Mega Rona.

Mengulas lanjut, A. Hamid berkata, selain empunya kucing tidak perlu bimbang meninggalkan haiwan kesayangan masing-masing bagi tempoh lama di hotel Kitty’s Cottage, jumlah kucing yang banyak juga diterima untuk dijaga daripada seorang pemilik.

Jelasnya, menerusi ‘Sangkar Banglo’ yang disediakan, seorang pemilik yang mempunyai banyak kucing boleh menempatkan kesemuanya di dalam satu tempat yang sama, sekali gus tidak bercampur dengan kucing daripada pemilik lain.

Katanya, bagi menjamin tahap keselamatan di premis penjagaan kucing itu dan mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini, pihaknya menempatkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau secara 24 jam menerusi telefon pintar.

Tambahnya, bagi memastikan tidak ada kucing jagaan terlepas keluar dan melarikan diri, jaring besi dipasang di seluruh di kawasan premis itu.

Menurutnya lagi, setiap sangkar mempunyai buku catatan sendiri bagi memastikan segala aktiviti, pemberian ubat sekiranya perlu dan tarikh kemasukan kucing ke pusat jagaan itu dicatat.

Katanya, atas perkhidmatan terbaik yang disediakan termasuk Klinik Haiwan Kitty’s Cottage, hotel kucing miliknya mendapat sambutan luar biasa daripada pencinta kucing.

“Pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, kami menerima lebih daripada 150 ekor kucing untuk dijaga. Alhamdulillah kami berjaya mengendalikan kesemua kucing yang ditinggalkan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, wad di Klinik Haiwan Kitty’s Cottage boleh menempatkan 10 ekor kucing dalam satu-satu masa bagi khidmat pembedahan termasuk pakej pemandulan kucing.

Selain itu katanya, antara perkhidmatan lain yang disediakan adalah klinik grooming kucing, membersih kucing tanpa tuan yang dihantar oleh orang ramai serta sesi bermanja dengan pelbagai jenis kucing secara percuma.

“Apa yang mendorong saya membuka perniagaan ini adalah kerana saya seorang pencinta kucing. Malah perasaan cinta dan kasih sayang yang mendalam kepada haiwan itu ‘turun’ kepada anak saya, Dr. Nurzaty yang merupakan doktor di Klinik Haiwan Kitty’s Cottage. Beliau sekali gus menjadi rakan niaga saya sejak mula bisnes ini dijalankan bersama seorang lagi rakan kongsi, Hurairi Ismail,” katanya.