Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, daripada 11 kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Terengganu itu, sembilan orang telah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Beliau memberitahu, pengesahan itu dibuat berdasarkan semakan yang dilakukan Polis Kontinjen Terengganu berkaitan kanak-kanak hilang bagi tempoh 2015 hingga Mei tahun ini.

“Merujuk akhbar Mingguan Malaysia pada 9 Jun lalu berkaitan bilangan kanak-kanak yang dilaporkan hilang adalah seramai 11 orang bagi seluruh kontinjen Terengganu.

“Hasil semakan dalam tempoh tersebut, kita dapati hanya dua orang kanak-kanak perempuan yang masih dilaporkan hilang manakala bakinya iaitu sembilan orang lagi yang dilaporkan hilang telah pun kembali ke pangkuan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Allaudeen seterusnya menjelaskan, dalam tempoh tahun 2010 hingga 2014, tiada kes kehilangan kanak-kanak dilaporkan di Kontinjen Polis Terengganu.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati kesemua kanak-kanak yang dilaporkan hilang dalam tempoh 2010 hingga Mei 2019 yang kembali ke pangkuan keluarga masing-masing tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

“Sehubungan itu, Polis Kontinjen Terengganu menasihati orang ramai khususnya ibu-bapa agar beri perhatian serta awasi anak-anak bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan seramai 831 kanak serta remaja dilaporkan hilang di seluruh negara dengan Terengganu mencatatkan kes kehilangan mangsa paling sedikit iaitu 11 orang berbanding 13 negeri lain. - UTUSAN ONLINE