Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah, ada ketika mereka tiada langsung pendapatan dan terpaksa mengikat perut untuk meneruskan kehidupan.

Dalam kepayahan suami mencari sesuap nasi untuk keluarga, wanita berusia 31 tahun ini tabah menguruskan anak-anak yang masih kecil.

Nasib mereka berubah selepas percubaan Norain menjual produk lulur badan buatan sendiri mendapat sambutan. Sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi.

NORAIN NGAH menunjukkan pembungkusan terbaharu produknya, Super
NORAIN NGAH menunjukkan pembungkusan terbaharu produknya, Super Scrub Beauty.

Tidak pernah wanita muda ini terfikir lulur badan yang dihasilkan daripada cengkih mendapat permintaan tinggi sejak ia dikongsi dalam media sosial.

“Selepas melahirkan anak keempat, saya berpantang sendiri. Sebelum ini arwah ibu menjaga saya berpantang tiga anak terdahulu. Arwah ibu menyediakan bahan lulur cengkih sebagai pilis, dari kelahiran anak pertama.

“Arwah ibu merupakan bidan kampung dan lulur ini digunakan selepas mengurut orang bersalin. Sedikit sebanyak ada ilmu yang saya pelajari daripadanya termasuk menghasilkan lulur ini,” katanya kepada Mega Rona.

Norain tidak menyangka perjalanan hidup mereka berubah 100 peratus selepas produk yang dinamakan Super Scrub Beauty (SSB) membawa rezeki buatnya sekeluarga.

“Jika diingat kembali kepayahan yang pernah dilalui iaitu hanya bergantung kepada pendapatan suami yang tidak menentu, ia betul-betul mengajar kami erti bersyukur.

“Bayangkan pernah barangan yang dijual suami di pasar malam langsung tidak laku kerana hujan dan kami terpaksa mengikat perut untuk berjimat-cermat,” katanya.

Norain berkata, SSB adalah produk herba hasil resipi turun-temurun keluarga. Ia mengandungi minyak akar kayu, minyak zaitun, rempah-ratus, buah manjakani dan cengkih sebagai bahan utama.

Jelasnya, keistimewaan lulur ini adalah mampu membantu mengecutkan peranakan wanita, membuang angin dan melangsingkan badan.

Cara memakainya sangat mudah iaitu menyapu ke anggota badan tertentu dua kali sehari selepas mandi.

“Pengguna akan berasa sedikit panas seketika pada bahagian yang disapu SSB.

“Ia boleh disapu di seluruh badan dan satu bekas SSB bertahan antara satu hingga dua bulan mengikut cara penggunaan,” ujarnya.

Menurut anak jati Kuala Terengganu ini, pada mulanya, dia menghasilkan 10 botol yang dipesan rakannya dengan hanya menggunakan mesin pengisar makanan di dapur rumah.

Katanya, rakan tersebut mula berminat untuk menjualnya dan sejak itu permintaan semakin meningkat dari sehari ke sehari sehingga berjaya menjual 100 botol kepada 10 ejen.

Tempahan semakin meningkat membuatkan Norain perlu membeli mesin pengisar industri yang lebih canggih selepas lima mesin pengisar makanan yang biasa digunakan di dapur pecah dan rosak.

Suami yang kasihan melihat kesukaran Norain menguruskan tempahan seorang diri akhirnya nekad berhenti berniaga di pasar malam untuk membantunya mengembangkan perniagaan.

“Memang saya akui perjalanan hidup saya tidak mudah. Ketika itu kami tinggal di rumah flat di tingkat teratas iaitu tingkat empat. Apabila ada tempahan untuk dipos, saya akan turun naik tangga mengangkat bungkusan dengan empat anak kecil.

“Mujurlah suami sanggup membantu dan dia berhenti berniaga kerana melihat saya tidak berdaya menyiapkan tempahan seorang diri,” katanya

Melihat jualan SSB terus naik mendadak, Norain bersyukur kerana sistem ejen yang ditawarkan berjaya menarik ramai suri rumah dan ada antara mereka mampu menjana pendapatan sampingan lebih RM1,000 sebulan.

Baginya, kejayaan yang dikecapi kini bukan hasil usahanya seorang diri. Ia turut dibantu suami yang sanggup berkorban demi keluarga.

Hari ini, Norain memiliki lebih 300 ejen di seluruh negara di bawah naungan syarikatnya, Ain Alieya Resources.

Jualan produk kini mencecah 30,000 unit sebulan dan dia turut membuat pembungkusan baharu dengan bekas lebih cantik.

“SSB kini sudah memasuki pasaran Indonesia,” katanya yang bersyukur kerana telah berpindah ke banglo dua tingkat di Marang kira-kira setahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Fairul yang kini merupakan Pengurus Operasi syarikat yakin produk lulur badan tersebut dapat dijual melebihi angka sekarang menjelang hujung tahun ini.

“Kami akan memperkenalkan produk terbaharu yang dijangka berada di pasaran pada awal tahun depan,” katanya.

Mereka yang berminat menjadi ejen atau mendapatkan SSB, boleh menghubungi talian +6011-29272413 atau layari Facebook: Norain Ngah.