Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, perkara tersebut dapat dicapai sekiranya usahawan mempersiapkan diri sebaiknya untuk berhadapan dengan cabaran dalam dunia perniagaan.

“Saya perlu membahagikan masa dan memberi fokus yang sama rata pada semua jenis perniagaan yang saya ceburi. Saya perlu tolak rasa penat dan sentiasa menguatkan azam untuk memajukan syarikat dan memberi semangat kepada staf supaya cintakan syarikat serta jenama.

“Dalam masa sama, saya perlu memastikan pesakit dirawat dengan sempurna setiap hari di klinik. Tetapi yang pasti dalam setiap perniagaan, jika kita mengekalkan etika, jujur dan memastikan pelanggan sentiasa berasa diutamakan dan dihargai, insya-Allah perniagaan akan berkekalan,” katanya.

Memegang status sebagai seorang ibu dan usahawan dalam satu masa tidak sedikitpun menganggu fokus doktor jelita ini.

DR. IRMA SHIDA ABU SAMAH bersama produk keluarannya, Angel White.
DR. IRMA SHIDA ABU SAMAH bersama produk keluarannya, Angel White. 

“Saya pastikan masa untuk keluarga dan anak-anak diperuntukkan secukupnya setiap minggu. Seperti isteri dan ibu-ibu lain, saya akan masak untuk keluarga apabila pulang dari bekerja. Saya masak yang ringkas sahaja.

“Keluar riadah dan libur pada hujung minggu serta bercuti dengan suami dan anak-anak ke luar negara paling tidak pun setahun sekali.

Sebelum ke klinik pada pukul 10 pagi, saya pastikan segala arahan dan senarai semak harian dibentangkan kepada saya oleh pengurus dan setiap malam mereka akan hantar laporan pencapaian syarikat untuk pemantauan saya,” jelasnya.

Prinsipnya, perniagaan yang dijalankan harus dikaji terlebih dahulu untuk mengelakkan ditipu selain mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga terdekat.

“Cabaran paling besar adalah untuk mengekalkan momentum dan sentiasa relevan dalam arus moden kerana keadaan dan trend berubah dengan cepat.

“Kita perlu merangka perancangan tiga tahun ke hadapan dan pastikan mempunyai modal paling tidak untuk enam bulan pertama perniagaan. Paling penting pilih bidang yang anda minat dan kaji kelangsungan dan ketahanan perniagaan yang dipilih itu,” ujarnya lagi.

Berkat kerja keras itu, perniagaan kosmetiknya sudah mula menembusi pasaran negara jiran bermula tahun ini. Produk itu kini dieksport ke Indonesia setelah mendapat izin Badan Pengawas Obat dan Makanan Indonesia dan perjanjian importir dengan PT Sehat Cantik Djelita.

Sisi lain Dr. Irma

Tidak hanya cenderung kepada bidang kedoktoran dan estetik, wanita hebat ini juga berminat bereksperimentasi dengan muzik sehingga tertubuhnya Dr. Irma Entertainment dua tahun lalu.

Bidang muzik adalah saluran untuk mengekspresi diri dan mengetengahkan sisi kreatifnya sebagai komposer dan penulis lirik.

“Dr. Irma Entertainment ditubuhkan pada 2017 dan aktif mengeluarkan dan mengedar lagu-lagu baharu. Dalam bidang muzik dan penciptaan lagu, ia lebih kepada minat yang mendalam pada muzik dan saya berasakan ia boleh dikembangkan.

“Pada tahun ini kami menceburi bidang perfileman dengan menghasilkan runut bunyi dan kesan bunyi bagi filem Amukan Kuntilanak keluaran Millionnaire Films Production yang akan ditayangkan pada 2020,” katanya.

Untuk rekod, Dr. Irma Entertainment telah berjaya menghasilkan lebih 20 lagu dalam masa kurang dua tahun dan berkolaborasi dengan penyanyi terkenal seperti Azharina Azhar dan Ferhad.