Semasa kecil Caroline dan keluarganya tinggal di Kuala Lumpur. Bapanya, Tristan Russell akan membawa Caroline dan abangnya ke ladang teh di Cameron Highlands sekerap mungkin. Di Cameron Highlands, mereka menginap di sebuah banglo yang dibina sekitar tahun 1930-an. Caroline yang kini berusia 50 tahun merupakan waris ketiga keluarga pemilik ladang teh sejak dimulakan oleh datuknya John Archibald (J.A) Russell pada tahun 1927.

Meskipun berbangsa Inggeris, namun Caroline mengakui Malaysia terlalu dekat di hatinya.

“Saya ialah warganegara Malaysia. Begitu juga dengan dua anak saya,” ujarnya yang dibesarkan di Kuala Lumpur sehingga umurnya 12 tahun.

Caroline kemudian dihantar ke sekolah berasrama di United Kingdom dan kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajiannya.

Dibesarkan dalam keluarga yang menerajui perniagaan teh, Russell mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai teh. Namun Russell amat meminati bidang antropologi dan arkeologi serta pernah bercita-cita mempunyai karier dalam bidang tersebut.

“Saya minat sejarah tetapi apabila melanjutkan pelajaran di peringkat universiti saya tidak mengambil bidang itu sebaliknya melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan.

“Mungkin ia sudah menjadi darah daging saya. Selepas tamat pengajian saya terus menyertai syarikat dan meneruskan legasi yang ditinggalkan keluarga,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boh Plantations Sdn. Bhd. itu.

Mengimbau sejarah kewujudan ladang teh di Malaysia, ia bermula apabila J.A Russell yang ketika itu berusia tujuh tahun tiba di Malaysia pada tahun 1890 bersama bapanya. Setelah terlibat dalam perusahaan getah, perlombongan dan pembukaan kawasan-kawasan baru, J.A melihat potensi teh sebagai hasil tanaman yang mampu menjana ekonomi Tanah Melayu yang ketika itu disumbangkan oleh getah dan bijih timah.

Berbekalkan sebuah jentera penggelek, beberapa pekerja dan beberapa pedati J.A dan penanam teh veteran dari Ceylon, A.B. Milne mengubah hutan di Cameron Highlands menjadi ladang teh pertama Malaysia. J.A meninggal dunia pada tahun 1933 ketika umurnya 50 tahun. Perniagaan beliau diambil alih oleh anak lelakinya Tristan Russell. Hari ini ia diwarisi oleh Caroline dalam keadaan syarikat itu telah pun stabil.

Pada tahun 1998, Caroline dilantik sebagai pengurus besar syarikat sebelum menjawat jawatan sebagai Ketua Pengawai Eksekutif lima tahun kemudian. Sepanjang lebih dua dekad menerajui syarikat tersebut, Caroline telah membuka sebuah ladang teh di Sungai Palas, Cameron Highlands.

“Kepercayaan diberikan keluarga mengendalikan syarikat perlu dijaga dengan baik bagi memastikan ia terus relevan dengan kehendak pasaran semasa. Sokongan semua ahli keluarga, khususnya ayah yang memiliki pemikiran dan idea sangat bernas menjadi panduan kepada saya untuk terus mengemudi syarikat. Untungnya, saya menerajui syarikat yang telah sedia kukuh dari segi penjenamaan,” jelasnya.

Caroline berkata, bekerja dengan syarikat milik keluarga ada kelebihan tersendiri kerana rasa itulah hak warisan perlu dipertahankan, selain perlu konsisten dalam membuat sebarang keputusan.

“Saya tidak sahaja membawa bersama nama keluarga, tetapi lebih penting pada keseluruhan operasi syarikat, pekerja dan pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai seorang ibu dan isteri Caroline memberitahu, dia perlu bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

“Dengan jadual kerja yang padat, saya akan pastikan sentiasa berada di sisi anak-anak pada acara penting sekolah mereka,” jelasnya.

Sementara itu, sempena meraikan ulang tahun ke-90 Boh, Pusat Teh Boh di Sungai Palas kini mempunyai suatu keunikan yang baharu. Sayap serba baharu bergelar Tristan’s Terrace atau Teres Tristan, dinamakan sempena nama Pengerusi Boh yang telah berkhidmat dari Ogos 1966 sehingga Julai 2019.

“Pusat Teh Sungai Palas sememangnya direka untuk berintegrasi dengan landskap tanah tinggi semula jadi. Dibina pada tahun 2007 sebagai Pusat Teh setempat dengan gaya seni bina kontemporari dan dilengkapi dengan balkoni ‘tergantung’ setinggi 6.1 meter, yang kini dikenali sebagai Balkoni J.A. dan pengunjung dapat menikmati pemandangan yang indah.

“Pusat Teh kami bertujuan untuk menyajikan para pengunjung pengalaman santai yang mengujakan pancaindera daripada mengenali warisan dan pencapaian Boh dengan lebih mendalam hinggalah kepada selok-belok penanaman, pemprosesan dan fakta tentang teh. Beribu-ribu pengunjung telah melawat Pusat Teh kami dan mereka berasa seronok dengan panorama ladang teh yang menawan, sambil menikmati secawan teh Boh yang lazat,” kongsi Caroline.